HI TEA KARYAWAN MERIAH, ARTIS & TETAMU BERJOGET SAMBIL BERAMAL!
BUKAN sekadar hi-tea, pentas bertukar gelanggang hiburan apabila barisan artis menghangatkan suasana, manakala tetamu tanpa segan silu bangkit berjoget dan berdansa, menjadikan majlis Hi Tea Karyawan di Kingston Hotel 12, Kuala Lumpur pada 24 Oktober lalu penuh warna dan meriah.
Dihiburkan dengan persembahan Fredo, Zur Eda, Rahmad Mega, duo Aishahanim dan Datin Ramziela Radzillah, acara yang dikendalikan Liza Abdullah itu bukan sahaja menemukan rakan industri dan peminat seni, malah membawa misi lebih bermakna untuk mengumpul dana bagi membantu karyawan seni tanah air.
Kemunculan barisan artis terlibat nyata menjadi antara tarikan utama apabila lagu-lagu yang dipersembahkan mengundang reaksi spontan tetamu, malah ada yang tidak melepaskan peluang untuk turun ke ruang hadapan bagi berjoget dan berdansa, menjadikan suasana lebih hidup dan menghiburkan.
Suasana yang pada awalnya santai bertukar semakin rancak, sekali gus memperlihatkan kemesraan antara penghibur dan tetamu yang hadir.
Majlis berkenaan turut menghimpunkan beberapa nama dalam industri hiburan, antaranya Dato’ Ziela Jalil, Datin Maria Arshad, Datin Seri Noniswara dan Zara Zya, selain rakan-rakan artis serta tetamu lain yang hadir memberikan sokongan terhadap usaha membantu karyawan seni.
Lebih daripada sekadar acara sosial, Hi Tea Karyawan membawa misi kebajikan dengan menjadikan hiburan sebagai medium untuk menghimpunkan masyarakat bagi menyokong golongan penggiat seni yang memerlukan perhatian dan bantuan.
Penganjuran yang berlangsung dari 12 tengah hari hingga 4 petang itu sebelum ini menyasarkan kehadiran sekitar 500 tetamu dengan harga penyertaan RM85 seorang.
Pun begitu dengan kehadiran lebih kurang 200 tetamu ia tidak kurang menggamatkan suasana malah masing-masing dilihat kekenyangan daripada pilihan 60 jenis hidangan yang tersedia, sekali gus menambah tarikan kepada acara yang menggabungkan elemen gastronomi, hiburan dan amal.
Lebih menarik apabila tetamu yang menyambut hari kelahiran pada bulan Oktober turut di rai dengan pemotongan kek daripada penganjur apatah lagi diiringi nyanyian daripada Rahmad Mega.
Sokongan terhadap usaha itu turut dikaitkan dengan penglibatan pemilik Naans Corner, Datuk Parwiz Kausar, selain sokongan barisan artis yang bersedia menjayakan persembahan pada kadar khas demi membantu menjayakan inisiatif berkenaan.
Secara keseluruhannya, kemeriahan Hi Tea Karyawan membuktikan bahawa acara hiburan mampu menjadi wadah untuk menyatukan penggiat seni, peminat dan sektor perniagaan bagi tujuan yang lebih besar.
#Karyawan #HiTeaKaryawan2026 #ZielaJalil #MariaArshad #ZaraZya #Amal #fyp







Tiada ulasan:
Catat Ulasan