KPDN KAWAL HARGA 11 BARANGAN SEMPENA PERSIAPAN DEEPAVALI!
PENIAGA yang mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan menjelang Deepavali berdepan tindakan tegas apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menguatkuasakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 bermula 4 November ini.
Menerusi skim yang berlangsung selama tujuh hari hingga 10 November itu, kerajaan menetapkan harga maksimum bagi 11 jenis barangan keperluan, termasuk santan dan ubi kentang China yang disenaraikan buat pertama kali berbanding sembilan jenis barangan pada tahun lalu.
Langkah itu bertujuan memastikan pengguna dapat membuat persiapan menyambut Deepavali pada 8 November ini dengan harga berpatutan, di samping mengimbangi kepentingan pengguna dan peniaga menerusi tempoh kawalan harga yang bersesuaian.
Barangan yang tertakluk kepada skim berkenaan ialah bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal Australia, kelapa biji, kelapa parut, santan, tomato dan ubi kentang China.
Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2026 meliputi empat hari sebelum perayaan, hari perayaan dan dua hari selepasnya.
Setakat ini terdapat lebih 3,000 rakan strategik dengan 600 daripadanya ialah kedai runcit di seluruh negara yang bekerjasama dengan KPDN dalam melaksanakan SHMMP termasuk inisiatif Jualan Rahmah MADANI.
Mengumumkan demikian pada sidang media SHMMP yang berlangsung di pasar raya ST Rosyam Mart, Jakel Square, Kuala Lumpur pada hari ini, 29 Oktober 2026, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berharap semua pihak mematuhi ketetapan harga yang ditetapkan bagi memastikan kepentingan pengguna terus dilindungi sepanjang musim perayaan
Menurutnya, analisis perbandingan harga maksimum tahun ini dengan 2025 menunjukkan kebanyakan barangan kawalan mencatatkan trend harga stabil, manakala beberapa barangan mengalami penurunan harga.
Di Semenanjung Malaysia, lima barangan mencatatkan penurunan harga maksimum, iaitu kelapa biji, kelapa parut, bawang merah besar, bawang merah kecil India dan kacang dal Australia. Harga tomato, cili merah serta bawang merah kecil India (Ros) pula kekal.
Di Sabah, harga bawang merah besar dan kacang dal Australia menurun, manakala enam barangan lain mengekalkan harga. Sarawak merekodkan penurunan harga bagi kelapa parut, bawang merah kecil India dan kacang dal Australia, sementara lima barangan lain kekal.
Bagi Wilayah Persekutuan Labuan, kacang dal Australia menjadi satu-satunya barangan yang mencatatkan penurunan harga, manakala tujuh barangan lain mengekalkan harga maksimum masing-masing.
Bagaimanapun, daging kambing biri-biri bertulang import merupakan satu-satunya barangan yang merekodkan peningkatan harga di peringkat borong dan runcit di seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak serta Labuan.
“Penentuan senarai barangan, paras harga maksimum dan tempoh pelaksanaan skim mengambil kira faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca serta kadar upah, selain pandangan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan dan pemain industri,” ujar Armizan.

DARI kiri: Dr. Fuziah, Armizan, Rosyam dan Azman Adam.
Turut hadir pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Rosyam Nor selaku Pengarah ST Rosyam Mart Sdn Bhd; Timbalan Menteri KPDN, Datuk Dr Fuziah Salleh dan Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam.
Berkongsi lanjut, Armizan memaklumkan, kerjasama dengan KPKM turut diteruskan bagi memastikan bekalan barangan terkawal mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim.
Harga maksimum yang ditetapkan di peringkat borong dan runcit boleh disemak menerusi laman web rasmi KPDN di www.kpdn.gov.my. Peniaga juga digalakkan menjual barangan pada harga lebih rendah sekiranya memperoleh bekalan pada kos yang lebih murah.
Sepanjang tempoh skim, pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di lokasi strategik, termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah bagi memantau pematuhan peniaga.
Peniaga diwajibkan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan yang dikawal. Kegagalan mematuhi ketetapan itu boleh mengundang tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, atau dikompaun sehingga RM50,000.
Bagi syarikat, kesalahan sama boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.
Sementara itu, kegagalan mempamerkan tanda harga merah jambu boleh menyebabkan individu didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
Selain SHMMP, KPDN turut melaksanakan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Deepavali bagi membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
Jadual pelaksanaan program boleh disemak melalui portal rasmi PJRM atau aplikasi Info Jualan RAHMAH MADANI.
KPDN juga menganjurkan program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) dengan kerjasama Petronas AutoExpert, membabitkan 124 bengkel di seluruh negara dari 25 Oktober hingga 7 November ini.
Orang ramai boleh membuat janji temu bagi mendapatkan perkhidmatan berkenaan melalui aplikasi SETEL oleh Petronas.
Dalam pada itu. pengguna yang ingin membuat aduan berkaitan harga dan bekalan boleh menghubungi KPDN menerusi WhatsApp 019-848 8000, Pusat Panggilan 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN. - Kak Fas Online.
#KPDN #SHMMP #StRosyamMart #Setel #Petronas #Deepavali #PJRM #Sim@Pax






Tiada ulasan:
Catat Ulasan