RIANG RIA FEST 2026 - ALL GOT LAH! HIMPUNKAN PELBAGAI AKTIVITI MUSIM CUTI SEKOLAH!
Bayangkan anak-anak teruja mendekati haiwan eksotik, keluarga menikmati persembahan muzik secara langsung, mencuba aktiviti kreatif dan memburu tawaran beli-belah hujung tahun, semuanya di bawah satu bumbung!
Itulah kemeriahan yang menanti pengunjung menerusi Riang Ria Fest 2026 – All Got Lah! yang bakal menghidupkan suasana cuti sekolah di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, dari 4 hingga 6 Disember depan.
Dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, pesta selama tiga hari itu menghimpunkan pelbagai aktiviti permainan, penerokaan, muzik, haiwan peliharaan dan beli-belah bagi menawarkan pengalaman menyeronokkan untuk seisi keluarga, bersempena cuti sekolah akhir tahun serta persiapan kembali ke sekolah.
Antara tarikan utama yang bakal mencuri perhatian ialah bazar haiwan peliharaan, petting zoo dengan hampir 20 jenis haiwan, bengkel muzik dan persembahan bakat muda Malaysia, aktiviti bersama Menara Kuala Lumpur serta pelbagai bengkel interaktif untuk kanak-kanak.
Pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman, hiburan pentas serta tawaran beli-belah hujung tahun yang menjadikan pesta itu destinasi menarik untuk seisi keluarga.
Pengarah Urusan Qube Integrated Malaysia, Jessie Tan berkata, Riang Ria Fest diwujudkan sebagai pilihan aktiviti cuti sekolah yang menyeronokkan, bermanfaat dan mampu dinikmati tanpa membebankan perbelanjaan keluarga.
“Setiap kali menjelang hujung tahun, keluarga di Malaysia sering tertanya-tanya ke mana hendak pergi semasa cuti sekolah. Ibu bapa mahukan aktiviti yang menyeronokkan, bermanfaat dan boleh dinikmati oleh seisi keluarga tanpa membebankan perbelanjaan.
“Riang Ria Fest menawarkan pilihan tersebut, iaitu sebuah destinasi untuk keluarga dan orang ramai berseronok, belajar, membeli-belah dan meluangkan masa bersama,” katanya pada majlis prs pelancaran pesta itu bertempat di MITEC baru-baru ini.

DARI kiri: Jessie dan Zulkifli Ishak.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Faizal Mahmod; Pengerusi Yayasan Amanah Industri Kreatif Kebangsaan (YAIKK), Datuk Zulkifli Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur, Khairil Faizal Hj. Othman; Timbalan Pengarah Urusan Qube Integrated Malaysia, Alicia Thong; Ketua Pegawai Eksekutif MITEC, Mala Dorasamy; wakil KeciMeow Market, Kok Wai Hien serta Pengurus Pembangunan Perniagaan Biolyn, Shawn Lim.
Menurut Jessie, selepas bertahun-tahun berpengalaman dalam penganjuran pameran perdagangan, acara perniagaan dan persidangan, Riang Ria Fest merupakan pesta pertama yang dianjurkan Qube khusus untuk keluarga dan orang ramai.
Katanya, konsep All Got Lah! mencerminkan kepelbagaian pengisian yang disediakan bagi memastikan setiap pengunjung, tanpa mengira usia dan minat, dapat menemukan sesuatu yang digemari pada harga berpatutan.
Selain memberi tumpuan kepada hiburan keluarga, pesta itu turut menyasarkan usaha menyokong pelancongan domestik dan merancakkan ekonomi tempatan, khususnya ketika ramai keluarga merancang percutian sempena cuti sekolah hujung tahun.
“Kuala Lumpur menerima lebih 23 juta pengunjung tahun lalu, manakala penghujung tahun merupakan tempoh apabila ramai keluarga merancang percutian mereka.
“Kami berharap Riang Ria Fest dapat memberikan satu lagi sebab kepada penduduk Lembah Klang dan pengunjung dari negeri lain untuk berkunjung ke Kuala Lumpur, sekali gus menyokong sektor perhotelan, premis makanan, pengusaha pengangkutan dan perniagaan tempatan,” katanya.
Gift of Joy Bawa Sinar Kegembiraan
Dalam kemeriahan pesta yang bakal berlangsung itu, aspek kebajikan masyarakat turut diberi perhatian menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Gift of Joy yang diperkenalkan oleh MITEC dengan kerjasama penganjur.
Inisiatif di bawah program kelestarian #myWorld itu menggalakkan orang ramai menyumbangkan mainan baharu atau terpakai yang masih elok untuk menceriakan kanak-kanak kurang bernasib baik dari rumah kebajikan terpilih sempena musim perayaan.
Malah, kanak-kanak terbabit turut dijangka menyertai pesta berkenaan pada Disember nanti, sekali gus memberi peluang kepada mereka menikmati pelbagai aktiviti dan merasai kemeriahan bersama pengunjung lain.
Jessie berkata, pihak penganjur turut mendekati komuniti perumahan di seluruh Lembah Klang bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam acara itu.
Menurutnya, usaha berkenaan mencerminkan komitmen penganjur untuk menjadikan Riang Ria Fest bukan sekadar platform hiburan, malah ruang yang menghubungkan masyarakat menerusi aktiviti positif dan sumbangan bermakna.
Riang Ria Fest 2026 turut mendapat sokongan beberapa rakan kerjasama yang akan mengisi pesta dengan aktiviti tersendiri.
Yayasan Amanah Industri Kreatif Kebangsaan (YAIKK), selaku Rakan Rasmi Pesta Muzik, akan mengendalikan bengkel untuk pemuzik muda merangkumi alat muzik brass dan tiupan, drumline dan perkusi serta colour guard.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan terpilih sepanjang acara berlangsung.
YAIKK sebelum ini merupakan penganjur Asian Music Games Kuala Lumpur 2026 yang menghimpunkan kira-kira 6,000 pemuzik muda dari sembilan negara.
Sementara itu, MITEC bertindak sebagai Rakan Lokasi Strategik yang menyediakan ruang bagi penganjuran pelbagai aktiviti keluarga, hiburan dan penglibatan komuniti.
Menara Kuala Lumpur pula hadir sebagai Sahabat Riang Ria dengan membawa pelbagai aktiviti, cenderamata dan maskotnya, Kay Elle serta Tawa, untuk memperkenalkan pengunjung kepada pengalaman menarik yang boleh diterokai di mercu tanda ikonik negara itu.
Pengunjung juga berpeluang menikmati tiket berdiskaun untuk menyaksikan panorama Kuala Lumpur 360 darjah serta merasai pengalaman menjamu selera di ORBIT Revolving Dining.
Bagi pencinta haiwan, KeciMeow Market sebagai Rakan Rasmi Bazar Haiwan Peliharaan akan menghimpunkan pengusaha produk dan perkhidmatan berkaitan haiwan, termasuk makanan, perkhidmatan dandanan, hotel haiwan dan pusat perlindungan, di samping mempromosikan kebajikan haiwan.
Bazar berkenaan beroperasi dari 10 pagi hingga 8 malam, manakala petting zoo dibuka dari 12 tengah hari hingga 8 malam.
Antara haiwan yang boleh dilihat pengunjung termasuk arnab, burung kakak tua, landak, meerkat, anjing prairie dan naga berjanggut, menerusi pengalaman yang berteraskan konsep mengenali, mempelajari dan menyayangi haiwan.
Sementara itu, Biolyn sebagai rakan sokongan menawarkan peluang kepada pengunjung menebus hadiah istimewa di reruainya, tertakluk pada kuantiti terhad setiap hari.
Jenama penjagaan rambut, penjagaan diri dan kesihatan yang ditubuhkan pada 2002 itu menggalakkan pengunjung datang lebih awal bagi merebut peluang mendapatkan hadiah berkenaan.
Selain tarikan tersebut, kanak-kanak boleh menyertai pelbagai bengkel seni dan kraf, sains serta muzik yang memberi ruang untuk mereka meneroka kreativiti dan mempelajari perkara baharu menerusi aktiviti praktikal.
Keluarga juga boleh menikmati pelbagai pilihan makanan, minuman, persembahan pentas dan tawaran beli-belah yang sesuai untuk mengisi masa sepanjang cuti sekolah.
Menurut Jessie lagi, lebih banyak rakan kerjasama, pempamer dan aktiviti akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang, sekali gus menjanjikan lebih banyak pilihan kepada pengunjung.
Beliau berharap Riang Ria Fest dapat berkembang menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan keluarga dan orang ramai dengan sokongan berterusan daripada rakan industri serta masyarakat.
Riang Ria Fest 2026 – All Got Lah! dijangka menjadi antara pilihan keluarga untuk mengisi cuti sekolah akhir tahun dengan pengalaman yang menggabungkan hiburan, pembelajaran, kebajikan dan aktiviti komuniti.
#RiangRiaFest2026All Got Lah! #myWorld #GiftOfJoy #YAIKK #Mitec #CutiSekolah





Tiada ulasan:
Catat Ulasan