MALAYSIA, HAINAN PERHEBAT KERJASAMA PELANCONGAN SEMPENA VM2026!
SINERGI strategik antara Malaysia dan wilayah pulau Hainan di selatan China kini diperhebat, menjanjikan lonjakan baharu dalam sektor pelancongan kedua-dua destinasi.
Langkah proaktif ini dilihat sebagai permulaan yang signifikan dalam mempererat hubungan pelancongan Malaysia-China, terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), sebuah inisiatif nasional yang bertujuan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dan mengangkat Malaysia sebagai pusat pelancongan global.
China telah lama menjadi antara penyumbang utama kepada industri pelancongan Malaysia.
Pada tahun 2023 sahaja, lebih 1.4 juta pelancong dari negara tembok besar itu telah mengunjungi Malaysia, menunjukkan pemulihan yang kukuh bagi sektor pelancongan pasca-pandemik.
Dengan pelbagai usaha promosi yang giat dijalankan serta penambahan dalam kekerapan penerbangan, sasaran untuk menarik lebih 2 juta pelancong China menjelang penghujung tahun 2025 tampak semakin realistik.
Jalinan penerbangan terus antara pusat-pusat utama di Hainan, iaitu Haikou dan Sanya, dengan Kuala Lumpur juga menunjukkan perkembangan positif.
Syarikat penerbangan terkemuka seperti China Southern Airlines dan AirAsia kini mengendalikan laluan ini, dan perbincangan untuk meningkatkan lagi kekerapan penerbangan sedang berjalan bagi memenuhi permintaan yang terus meningkat.
Keakraban hubungan antara Malaysia dan Hainan menjadi model kerjasama serantau yang berjaya dalam bidang pelancongan dan kebudayaan.
Penganjuran Sesi Pertukaran Pelancongan dan Kebudayaan Hainan di Kuala Lumpur baru-baru ini dilihat sebagai langkah yang tepat pada masanya, selaras dengan persiapan Malaysia menyambut VM2026.
Malaysia menawarkan keunikan tersendiri kepada pelancong Hainan melalui produk pelancongan mesra Muslim, eko-pelancongan, dan pelancongan perubatan yang berkualiti.
Sementara itu, Hainan dengan dasar pengecualian visa yang menarik, keindahan pulau tropika, dan fasiliti pelancongan kesihatan bertaraf dunia membuka peluang pengembaraan yang menarik bagi pelancong Malaysia.
“Hubungan erat antara kedua negara menjadi contoh cemerlang kerjasama serantau dalam pelancongan dan kebudayaan. Maka sesi sebegini adalah tepat pada masanya sekali gus selaras dengan usaha Malaysia untuk mempromosikan VMY2026,” ujar Presiden MATA. Dato Seri Dr. Mohd Khalid Harun pada media di majlis Sesi Pertukaran Pelancongan dan Kebudyaan Hainan yang berlangsung.
Menurutnya, Malaysia menawarkan kepada pelancong Hainan gabungan yang kaya antara pengalaman pelancongan mesra Muslim, ekopelancongan dan pelancongan perubatan.
“Begitu juga kemasukan tanpa visa Hainan serta daya tarikan pulau tropikanya serta pelancongan kesihatan bertaraf dunia menawarkan penggembaraan baharu kepada pelancong Malaysia yang hanya berjarak penerbangan yang singkat,” tambah Dr. Mohd Khalid (gambar bawah, tiga dari kanan).
Acara yang berlangsung itu menjadi platform penting untuk mempamerkan kekayaan budaya, mempromosikan perkhidmatan pelancongan perubatan, dan mewujudkan jaringan kerjasama antara pemain industri pelancongan dari kedua-dua negara, termasuk agensi pelancongan, syarikat penerbangan, dan agensi kerajaan.
Ia mencerminkan komitmen bersama untuk memajukan sektor pelancongan dua hala dan memudahkan perjalanan antara kedua-dua destinasi, pemahaman budaya dan perkongsian perniagaan.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan Xi Jinping pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Lawatan Negara Presiden China itu ke Malaysia baru-baru ini.
Majlis Sesi Promosi dan Pertukaran Pelancongan & Kebudayaan Hainan (China) yang dianjurkan oleh Jabatan Pelancongan, Kebudayaan, Radio, Televisyen dan Sukan Wilayah Hainan turut menyaksikan kehadiran wakil-wakil penting dari Tourism Malaysia, Majlis Pelancongan Malaysia (MCTA), Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), wakil media, serta pelbagai agensi pelancongan.
Kerjasama erat ini dijangka akan terus memacu pertumbuhan sektor pelancongan dan memperkukuhkan hubungan antara Malaysia dan China.
#MalaysiaChina #Hainan #Haikou #Sanya #KualaLumpur #Pelancongan #Fyp







Tiada ulasan:
Catat Ulasan