MIBS 2025: PELUANG BAHARU UNTUK USAHAWAN TEMPATAN, JANGAN TERLEPAS!
KLCC menjadi tumpuan dunia perniagaan apabila Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia ke-20 (MIBS 2025) membuka tirainya (4 Disember 2025), dengan menampilkan kerjasama strategik antara Malaysia dan China dalam menawarkan peluang luar biasa kepada usahawan tempatan untuk melihat sendiri teknologi global, membina rangkaian antarabangsa dan meneroka pasaran eksport baharu.
MIBS 2025, yang diterajui selama lebih dua dekad oleh penganjurnya, Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia (PROMAS), Persekutuan Persatuan Barangan Am & Pakaian Tekstil Malaysia serta Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM) berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula 4 hingga 6 Disember ini.
Turut mendapat sokongan padu daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), MIBS 2025 terus menjadi landasan kukuh bagi mengangkat jenama-jenama Malaysia ke China melalui pembungkusan yang berkualiti, penjenamaan profesional dan kemampuan pengeluaran yang lebih kompetitif.
Turut bersama antaranya, Presiden Kehormat Sepanjang Hayat PROMAS, Lady Puan Sri Dr. Susan Cheah; Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor dan ramai lagi para tetamu dari China dan Malaysia.
MIBS menampilkan pelbagai produk tempatan termasuk produk pintar, kesihatan, tradisional serta teknologi baharu yang sedang berkembang pesat dalam pasaran global.
Kehadiran teknologi moden dari China — termasuk kecerdasan buatan, peralatan pintar dan kenderaan elektrik — membuka ruang kepada industri kecil dan sederhana (IKS) Malaysia untuk menilai sendiri keupayaan transformasi teknologi dalam meningkatkan produktiviti.
“Melalui pameran selama tiga hari ini, kami menyasarkan kehadiran lebih kurang 10,000 pelawat. Ini peluang besar untuk usahawan tempatan meneroka pasaran baharu dan mendapatkan akses terus kepada pembeli luar negara tanpa berbelanja lebih untuk ke China,” tambah Chong Tik.
Malaysia mempunyai banyak produk berkualiti, tetapi untuk bersaing dalam pasaran seperti China, kita perlu teknologi pengeluaran yang mampu memenuhi permintaan berskala besar," katanya.
Chong Tik menjelaskan bahawa teknologi moden sangat diperlukan bagi memenuhi permintaan besar pasaran luar.
Berkongsi pendapat sama, Abu Hassan memberi contoh bahawa pelabur China kadang-kadang memerlukan sehingga 20 kontena produk sebulan yang sukar dicapai jika pengeluaran masih bergantung pada kaedah manual.
“Kalau kita masih buat secara manual satu-satu, memanglah tak mampu. Sebab itu kita bawa teknologi dari China ke Malaysia, supaya usahawan kita boleh lihat sendiri kemampuan sebenar mesin moden,” ujarnya sambil berharap ramai usahawan kecil mengambil peluang hadir ke MIBS 2025 untuk melihat sendiri bagaimana teknologi moden dari China, dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Menurut beliau, usahawan tidak lagi boleh berfikir kecil atau berniaga sekadar di kampung dan walau pun Malaysia mempunyyai banyak produk berkualiti tetapi untuk bersaing dalam pasaran seperti China, kita perlu teknologi pengeluaran yang mampu memenuhi permintaan berskala besar.
“Kita mesti berani melangkah ke peringkat antarabangsa. Pameran seperti MIBS membuka mata kita tentang bagaimana produk Malaysia boleh pergi jauh. Inisiatif membawa teknologi ke Malaysia ini sangat tepat pada masanya.” jelas Abu Hassan.
Bagi usahawan tempatan, katanya, ini adalah peluang yang tidak harus dilepaskan.
“Datang dan lihat sendiri bagaimana gabungan teknologi China dan produk Malaysia mampu membuka laluan baharu dalam industri. MIBS membuktikan bahawa masa depan ekonomi Malaysia bukan sahaja cerah, tetapi terbuka luas untuk mereka yang bersedia melangkah “dari lokal ke global”, Itu matlamatnya”, akhiri Abu Hassan.
#MIBS2025 #KLCC #DariLokalKeGlobal #PROMAS #DPUM #MATRADE #MACITA








Tiada ulasan:
Catat Ulasan