Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

ALAMANDA BAWA 'ADIWARNA RUNWAY' TAMPILKAN FESYEN DIINSPIRASI BUNGA RAYA!


PUTRAJAYA
-  Sambutan Hari Malaysia tahun ini tampil lebih bergaya apabila Alamanda Shopping Centre mengubah ruang pusat beli-belah itu menjadi pentas fesyen tempatan menerusi ADIWARNA RUNWAY, yang berlangsung dari 10 hingga 13 September 2026.


Bukan sekadar acara fesyen, ADIWARNA RUNWAY membawa pengalaman baharu kepada pengunjung apabila koleksi rekaan tempatan dipersembahkan dalam suasana santai dan dekat dengan komuniti, sekali gus menjadikan pusat beli-belah berkenaan sebagai lokasi pertemuan antara fesyen, kreativiti dan gaya hidup.



Dianjurkan dengan kerjasama Malaysian Official Designers’ Association (MODA), acara sulung itu menghimpunkan 22 pereka fesyen tempatan yang masing-masing mempersembahkan karya istimewa menggunakan tekstil eksklusif yang diinspirasikan daripada warna-warni bunga raya, bunga kebangsaan Malaysia.


Sepanjang empat hari penganjuran, 16 pereka turut mengadakan pertunjukan fesyen menerusi koleksi yang merangkumi fesyen sedia pakai kontemporari dan rekaan modest moden.



Antara pereka yang mengambil bahagian ialah 3THELABEL, Ariff Atelier, Arlina Ayou, Bill Keith, CARRO, CASALWA, EL by Ellie Lim, HERA, Justin Yap Atelier, NANALYANA, Outdwell, SITI KHADIJAH, Variante, Yani Bakhtiar, Yuleza dan Zayana Yazed Creations.


Menariknya, pengunjung bukan hanya berpeluang menyaksikan pertunjukan fesyen, malah boleh membawa pulang karya pereka tempatan menerusi Adiwarna Runway Bazaar, yang menawarkan koleksi ready-to-wear untuk dibeli secara terus.


Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Francis Tan, penganjuran ADIWARNA RUNWAY membuka lembaran baharu buat Alamanda sebagai platform fesyen yang mengangkat bakat kreatif tempatan di Putrajaya.



“Bersempena Hari Malaysia, objektif kami adalah untuk menyediakan pengalaman runcit yang menarik sambil meraikan semangat kebanggaan terhadap negara, selain memberi peluang kepada pengunjung, penjawat awam dan keluarga menyaksikan sendiri hasil karya anak tempatan,” katanya pada majlis pelancaran Adiwarna Runway pada semalam. 10 September 2026 di Alamanda Putrajaya.


Turut hadir Presiden MODA, Cyrus Chin dan beberapa tetamu kehormat daripada Tourism Malaysia serta pereka-pereka fesyen terlibat waima majlis diacarakan oleh Juita Jalil.


Kerjasama bersama MODA, katanya, turut mencerminkan komitmen Alamanda dalam menyokong bakat kreatif Malaysia serta meraikan identiti budaya negara.



Sementara itu, Cyrus Chin pula menyifatkan ADIWARNA RUNWAY sebagai ruang bermakna untuk mengetengahkan pereka tempatan selain membantu mereka membina keyakinan, memperluas jaringan dan mengembangkan potensi ke peringkat lebih tinggi.


“ADIWARNA RUNWAY memberi tumpuan kepada bakat pereka tempatan, memberi mereka pentas untuk mengetengahkan hasil karya, menyokong impian serta mengembangkan cita-cita mereka,” katanya.


Selain fesyen, pengunjung turut bakal dihiburkan dengan persembahan artis tempatan seperti Bunga Isme, Daniel Chuer, Daniesh Suffian, Datuk Syafinaz, Ernie Zakri, Farah Dolhadi, Layla Sania dan Yazmin Aziz.


SHAFINAZ tampil pada majlis pelancaran Adiwarna Runway dan Danial Chuer pada sesi persembahan kedua.


Lebih menceriakan suasana ialah Family Fashion Walk, yang menampilkan pemenang Model Search Alamanda terdiri daripada pengunjung dan keluarga yang berpeluang merasai sendiri pengalaman berjalan di pentas peragaan.


Gabungan fesyen, muzik, aktiviti keluarga dan peluang membeli rekaan tempatan menjadikan ADIWARNA RUNWAY bukan sekadar pertunjukan fesyen, sebaliknya sebuah pengalaman gaya hidup yang meraikan kreativiti Malaysia dalam suasana terbuka dan mesra pengunjung.


Dengan mengetengahkan karya pereka tempatan dalam ruang yang dekat dengan masyarakat, acara itu turut memperlihatkan bagaimana fesyen dan warisan budaya boleh menjadi sebahagian daripada pengalaman runcit moden, selain membantu memperkukuh industri kreatif serta perusahaan tempatan.


Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai jadual program dan aktiviti sepanjang ADIWARNA RUNWAY, orang ramai boleh mengikuti laman Instagram Alamanda Shopping Centre dan MODA Malaysia.



#AdiwarnaRunway #MODA #AlamandaShoppingCentre #BungaRaya #fesyen #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan