Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

SAY ASPIRE BUKA LALUAN GLOBAL, LEBIH 200 PKS SELANGOR DIPERKASA!


KUALA LUMPUR
- Produk tisu mandian premium mesra ihram ‘Rehla’ yang membawa RHJ Tijarah Sdn Bhd muncul juara SAY ASPIRE edisi ketujuh, membuktikan idea yang lahir daripada keperluan khusus pengguna mampu berkembang menjadi produk berpotensi untuk pasaran global.


Produk berkenaan direka khusus bagi kegunaan jemaah haji dan umrah, dengan ciri mesra ihram yang membolehkan pengguna menjaga kebersihan diri tanpa penggunaan wangian yang bertentangan dengan keperluan ibadah.


Kemenangan itu melayakkan RHJ Tijarah membawa pulang  antaranya hadiah geran bernilai  RM10,000 yang disampaikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, yang juga Penaung Diraja Selangor Youth Community (SAY)  kepada Pengarah Urusan RHJ Tijarah Sdn Bhd., Siti Hajar Harun.


Selain itu pemenang juga layak mengikuti sesi mentoring eksklusif oleh SAY ASPIRE mahu pun potensi kerjasama dan akses secara terus  kepada agensi Kerajaan khususnya MATRADE.

pada pusingan. akhir 


Kejayaan RHJ menjadi antara sorotan utama pada pusingan akhir Liga Usahawan Eksport Selangor (SAY ASPIRE) edisi ketujuh melibatkan 10 finalis yang berlangsung di Sunway Resort Hotel pada semalam, 2 September 2026 selain memperlihatkan kepelbagaian idea perniagaan yang diketengahkan usahawan pada edisi kali ini.



Menurut Siti Hajar idea menghasilkan produk berkenaan tercetus selepas beliau melihat sendiri cabaran yang dihadapi jemaah ketika berada di Tanah Suci, khususnya berkaitan keadaan kulit akibat cuaca panas dan kering.


“Saya pergi ke bazar Umrah dan Haji dan melihat sendiri apa yang berlaku. Daripada situ, saya nampak ada satu ruang yang kita boleh bantu umat Islam ketika musim haji dan umrah," ujarnya.


Beliau berkata, proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama dua tahun  turut melibatkan ujian secara langsung di Tanah Suci bagi memastikan formulasi yang dihasilkan sesuai dengan keadaan kulit masyarakat Asia dalam cuaca panas dan kering.


“Dalam tempoh dua tahun itu, kami buat semuanya sendiri. Kami pergi semula ke Tanah Suci dan menguji kesesuaian produk terhadap kulit orang Asia. Daripada situ, kami terus memperbaiki formulasi sehingga merasakan ia adalah formulasi terbaik untuk mereka yang mengerjakan ibadah di Tanah Suci.


“Alhamdulillah, produk Rehla kini bukan sahaja berada di 14 negeri di Malaysia, malah turut dipasarkan di Brunei dan Singapura. Produk kami juga kini tersedia dalam penerbangan AMAL by Malaysia Airlines yang membawa jemaah ke Jeddah dan Madinah untuk mengerjakan ibadah umrah dan haji,” akhiri Siti Hajar ketika ditemui.


SAY ASPIRE anjuran SAY Community (SAY) menampilkan peserta daripada pelbagai sektor termasuk kecerdasan buatan (AI), automotif, makanan kesihatan, makanan bayi, produk kecergasan dan minyak enjin.



Naib Juara disandang  Hokido Shop Enterprise yang mengeluarkan produk makanan bayi diusahakan oleh pengasasnya, Aliaa Mohamad Ziyadi


Antara lain yang mencuri perhatian ialah Dataverse. Sdn Bhd., syarikat berasaskan AI yang berjaya meraih tempat ketiga, manakala Nutrivera Manufacturing Sdn Bhd yang menghasilkan bar protein berasaskan bahan seperti gandum, badam dan kacang  menduduki tempat keempat.


Turut menarik perhatian ialah penyertaan usahawan dalam segmen minyak enjin, Go Advanced Sdn Bhd yang berada di tempat kelima, sekali gus memperlihatkan bahawa SAY ASPIRE kini semakin terbuka kepada pelbagai bidang perniagaan dan tidak lagi tertumpu kepada sektor makanan dan minuman (F&B) serta produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sahaja.



Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi yang turut hadir berkata, kepelbagaian peserta itu mencerminkan potensi besar usahawan tempatan untuk menghasilkan produk yang mempunyai nilai tambah dan berupaya diketengahkan ke pasaran antarabangsa.


Beliau berkata, SAY ASPIRE yang kini memasuki edisi ketujuh sejak diperkenalkan pada 2018 telah memperkasakan lebih 200 PKS Selangor menerusi latihan, pendedahan serta peluang membina jaringan perniagaan.


“Matlamat utama SAY ASPIRE adalah untuk memasarkan produk Malaysia ke pasaran global. Inisiatif ini bukan sahaja membantu perniagaan mengembangkan capaian antarabangsa, malah memperkasakan usahawan Selangor untuk membawa produk mereka ke tahap seterusnya.


“Dari SAY ASPIRE, ke dunia,” laungnya ketika berucap pada acara berkenaan.



Menurut Mohd Najwan, program SAY ASPIRE memberi penekanan kepada kursus intensif meliputi aspek pemasaran, pembangunan perniagaan serta persediaan untuk meneroka pasaran eksport.


Katanya, SAY ASPIRE turut dimasukkan dalam RS-2 (Rancangan Selangor Kedua) kerana kerajaan negeri melihat program itu sebagai platform penting dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan Selangor.


“Program ini bukan sahaja menyokong usahawan, tetapi turut menyediakan peluang jaringan, pendedahan dan pengalaman yang penting untuk mereka berkembang,” tambahnya.


Sambung Mohf Najwan, kejayaan program itu tidak seharusnya diukur berdasarkan kemenangan semata-mata, sebaliknya menerusi perkembangan peserta selepas mereka menamatkan penyertaan di mana ramai di antara pemenang terdahulu telah berjaya menembusi beberapa pasaran antarabangsa.


“Ini membuktikan SAYI ASPIRE bukan sekadar platform untuk mencari juara, sebaliknya menjadi pemangkin kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan kapasiti mereka,” katanya.


Dalam usaha membawa lebih banyak produk tempatan ke pasaran luar negara, SAY dan MATRADE turut menjalin kerjasama menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 19 September 2025.


Kerjasama itu membuka laluan lebih luas kepada peserta program untuk mendapatkan pendedahan pasaran antarabangsa, termasuk menerusi Misi Pemecutan Eksport ke Filipina dan Vietnam pada tahun lalu.



Lima syarikat tempatan iaitu Drims Trading, Gritz Sdn Bhd, MTO Resources, Boohaci Infinity Sdn Bhd dan Lotus Cofy House Sdn Bhd., menyertai misi tersebut yang melibatkan lima lawatan pasaran strategik dan lapan mesyuarat perniagaan berprofil tinggi.


Hasilnya, syarikat berkenaan berjaya memperoleh potensi jualan berjumlah AS$2.5 juta, sekali gus menunjukkan peluang eksport yang mampu terhasil daripada pendedahan dan jaringan strategik yang dibina menerusi program.


Mohd Najwan berkata, usahawan perlu memahami bahawa proses menembusi pasaran eksport bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam tempoh singkat kerana ia memerlukan masa, ketekunan dan daya tahan.


Sehubungan itu, beliau menggesa peserta memanfaatkan pengalaman serta peluang yang disediakan SAY ASPIRE untuk terus mengembangkan perniagaan walaupun selepas program berakhir.


Lima usahawan terbaik edisi ketujuh turut menerima insentif daripada pihak SAY serta peluang untuk meneroka pasaran global.



Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan rakan strategik yang menyokong program berkenaan.


Menurutnya, kejayaan usahawan yang dibangunkan menerusi SAY ASPIRE bukan sahaja memberi manfaat kepada perniagaan mereka, malah berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan, mengukuhkan komuniti dan merancakkan ekosistem keusahawanan Selangor.


Jelasnya. pembangunan keusahawanan dan belia perlu terus diberi perhatian bagi melahirkan generasi yang berdaya saing, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri.



#SayAspire #SAY #Rehla #HokidoShop #SayAspireKeDunia #UsahawanSelangor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan