Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

GENERASI MUDA DISERU HIDUPKAN WARISAN KULINARI, SERTAI MYHC 2027, PENYERTAAN DIBUKA!



WARISAN
kulinari Malaysia tidak seharusnya sekadar kekal sebagai resipi yang diwarisi daripada generasi terdahulu, sebaliknya perlu terus hidup melalui penghayatan, amalan dan kreativiti generasi muda bagi memastikan khazanah berkenaan kekal relevan pada masa hadapan.


“Apabila kita berbicara mengenai warisan, ia bukan sahaja merujuk kepada bangunan warisan, tapak warisan atau objek yang mempunyai nilai warisan. Warisan negara turut merangkumi warisan budaya tidak ketara termasuk adat dan tradisi, seni persembahan, pengetahuan dan kemahiran tradisional serta warisan kulinari yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat Malaysia,” ujar Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan teks ucapan Ketua Setiausaha MOTAC, Dato Shaharudin Abu Sohot, yang tidak dapat hadir atas urusan rasmi sekali gus melaksanakan majlis pelancaran pertandingan Malaysian Young Heritage Chef 2027 (MYHC 2027) yang berlangsung di Tourism Centre (MaTiC), Kuala Lumpur pada semalam, 17 September 2023.


MYHC 2027  yang dianjurkan SAMA Premier International Sdn. Bhd., dengan kerjasama Professional Culinaire Association (PCA), akan berlangsung pada 15 hingga 17 Januari 2027 di Lanai, MaTiC, Kuala Lumpur, dengan mempertandingkan dua kategori utama iaitu Malaysian Heritage dan Asian. 


Majlis turut menyaksikan kehadiran antaranya Presiden Sama Premier International, Prof Ts Dr. Sabaianah Bachok; Presiden PCA, Chef Kamaruddin Adnin, yang lebih dikenali sebagai Chef Bob; Timbalan Pengarah 2 MaTIC, Siti Nur Bsizura Mokhtar dan  Pengarah Pembangunan Perniagaan Neatness Group Sdn Bhd, Datuk Suzana Zakaria.



Berkongsi lanjut, Mohamad Muda berkata, setiap hidangan tradisional membawa cerita yang lebih besar daripada sekadar rasa kerana di sebaliknya terdapat sejarah, pengetahuan, teknik penyediaan, penggunaan bahan tempatan serta nilai budaya yang diwariskan dari satu generasi kepada generasi seterusnya.


Sehubungan itu, katanya, pemeliharaan warisan kulinari bukan sekadar menyimpan atau merekodkan resipi, sebaliknya memastikan ilmu, teknik, nilai dan cerita di sebalik sesuatu hidangan terus difahami, diamalkan dan diwariskan.


“Kearifan tempatan ini harus diwarisi dan dilestarikan agar ia terus hidup dalam masyarakat,” tambahnya sambil memaklumkan, dalam konteks warisan kulinari, MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara turut memainkan peranan menerusi pewartaan makanan sebagai warisan kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).


“Sehingga kini sebanyak 223 makanan telah diwartakan di bawah Akta 645,” tambahnya.


Menurut beliau, cabaran utama ketika ini adalah memastikan warisan terus hidup dalam dunia yang sentiasa berubah, selain memastikan generasi muda mengenali makanan warisan, mengetahui asal-usul sesuatu hidangan, memahami kaedah penyediaannya dan menghargai nilai budaya yang terkandung di dalamnya.


Pada masa sama, golongan muda perlu diberikan ruang untuk membawa warisan makanan ke hadapan tanpa mengabaikan identiti dan nilai asalnya.


“Atas sebab itulah saya melihat penganjuran Malaysian Young Heritage Chef 2027 mempunyai nilai yang tersendiri. Program seperti ini membawa generasi muda lebih dekat kepada dunia kulinari dan pada masa yang sama membuka ruang untuk mereka mengenali kekayaan makanan serta budaya negara,” ujarnya.


Tambah Mohamad Muda,  pertandingan berkenaan juga boleh menjadi satu proses pembelajaran apabila peserta berpeluang mengembangkan kemahiran, kreativiti, disiplin dan profesionalisme, di samping memahami bahawa setiap hidangan yang dihasilkan membawa identiti serta cerita masyarakat yang mewarisinya.


DR. Sabaainah menyampaikan cenderahati kepada Mohamad Muda (kanan) sambil diiringi Chef Bob (kiri).

Sementara itu, Dr. Sabaainah memberitahu, pertandingan kulinari yang dianjurkan lahir daripada aspirasi pihaknya untuk menyediakan ruang kepada generasi muda mengembangkan potensi serta membina masa depan dalam bidang kulinari.


“Kami mahu menyediakan platform yang memberi peluang kepada generasi muda untuk menampilkan bakat, mengasah kemahiran, membina keyakinan serta memperoleh pendedahan daripada chef dan penggiat industri yang berpengalaman.


“Lebih penting, kami mahu generasi muda memahami bahawa masakan warisan bukan sekadar hidangan yang diwarisi turun-temurun. Di sebalik setiap hidangan terdapat sejarah, budaya, identiti dan cerita masyarakat kita yang perlu terus dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi seterusnya,” katanya.


Menurut beliau, pihaknya berharap MYHC 2027 dapat melahirkan chef muda yang bukan sahaja kreatif dan berkemahiran, tetapi mempunyai rasa bangga terhadap warisan kulinari Malaysia serta berani membawa identiti tersebut ke tahap lebih tinggi.


Tambah Dr. Sabaainah, penyertaan MYHC 2027 bagi peringkat saringan dibuka tanpa bilangan had namun hanya 28 kumpulan dijangka mara ke peringkat separuh akhir sebelum 16 kumpulan terbaik bersaing di pentas final.


Pendaftaran dibuka sehingga 15 Oktober dan pertandingan berkenaan terbuka kepada peserta berusia antara 18 hingga 25 tahun, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi, lepasan sekolah serta mereka yang mempunyai latar belakang atau pengalaman dalam bidang kulinari.


Malah, peserta yang tidak mempunyai latar belakang formal dalam bidang masakan turut dialu-alukan menyertai pertandingan berkenaan.


Penyertaan adalah secara berkumpulan membabitkan dua orang peserta bagi setiap kumpulan dengan yuran RM98 seorang atau RM196 bagi satu kumpulan.


Juara MYHC 2027 berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000  disusuli RM3,000 bagi tempat kedua dan RM1,500 untuk tempat ketiga, selain hadiah saguhati kepada peserta lain.



Dalam masa sama, sebagai rakan kerjasama profesional, PCA menyumbang kepakaran dalam aspek teknikal kulinari, standard pertandingan, penilaian serta penjurian. 


Penglibatan PCA bersama barisan chef profesional turut memberi peluang kepada peserta untuk memahami tahap disiplin, kemahiran dan profesionalisme yang diperlukan dalam industri kulinari. 


“Jangan takut untuk masuk pertandingan. Jangan fikir anda terlalu muda atau belum cukup bagus kerana pertandingan ini bukan hanya tempat untuk menang tetapi tempat untuk belajar dan mengenali siapa diri anda sebagai seorang chef,” pesan Chef Bob.


Beliau turut melihat pelajar universiti, kolej dan institusi latihan kulinari sebagai antara generasi yang bakal menentukan wajah masakan Malaysia pada masa hadapan.


Justeru, beliau menyeru institusi pendidikan, pensyarah dan pusat latihan kulinari di seluruh negara supaya memberikan peluang kepada bakat muda untuk mendapatkan pengalaman serta berada di pentas pertandingan.


“Kita tidak akan tahu sejauh mana mereka mampu pergi sehinggalah kita memberikan mereka pentas dan peluang untuk melangkah,” katanya.


Beliau berharap penganjuran Malaysian Young Heritage Chef 2027 dapat membantu melahirkan generasi chef Malaysia yang berilmu, berkemahiran tinggi, berdisiplin dan mempunyai sikap profesional, selain menjadi penerus kepada warisan kulinari negara.


“Angkat warisan, asah kemahiran, bina keyakinan, cipta masa depan yang gemilang dan yang paling penting, kita angkat nama Malaysia,” akhiri Chef Bob.


Maklumat lanjut  berkaitan penyertaan boleh menghubungi talian 012-287 2539 (Masnita)  atau melalui e-mel info@samapisb.com. - Kak Fas Online.



#MalaysianYoungHeritageChef2027 #JabatanWarisanNegara #MaTIC #MOTAC #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan