KUALA COLA MELANGKAH KE PASARAN ANTARABANGSA, SASAR INDONESIA DAN TIMUR TENGAH!
DARIPADA Kuala Lumpur ke pasaran dunia, jenama minuman tempatan Kuala Cola kini mengorak langkah lebih jauh menerusi usaha memperluaskan pasaran eksport, termasuk Indonesia dan rantau Timur Tengah.
Pemiliknya, Neatness Group Sdn Bhd, memperkukuhkan aspirasi pengantarabangsaan jenama itu menerusi Business Presentation Kuala Cola – Indonesia & United Arab Emirates yang berlangsung di MaTiC, Ampang, pada semalam, 24 September 2026.
Mengangkat tema “From Kuala Lumpur to Global Market”, program berkenaan menjadi platform memperkenalkan Kuala Cola kepada bakal rakan niaga, pengedar serta pemain industri dari Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain membuka ruang kepada kerjasama strategik dalam aspek pengedaran, eksport, peruncitan, hospitaliti dan perkhidmatan makanan.
Kuala Cola kini tampil dengan tiga pilihan utama iaitu Original Cola, Mix Cola dan Zero Sugar Cola yang membawa identiti jenama melalui tagline: “3 Rasa Berbeza, Pilihan Malaysia”.
![]() |
| TIGA tunggak utama disebalik Neatness Group - (dari kanan) Hjh Suzana, Dr. Ali dan Dr. Sadona. |
Pengarah Pembangunan Perniagaan Neatness Group Sdn Bhd, Dato Hjh Suzana Zakaria berkata, usaha membawa Kuala Cola ke pasaran luar negara merupakan sebahagian daripada visi jangka panjang syarikat untuk membangunkan jenama Malaysia yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Kuala Cola bukan sekadar sebuah minuman. Ia membawa cerita, identiti dan keyakinan bahawa produk Malaysia mampu bergerak dari pasaran tempatan ke pentas global,” katanya dalam ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut.
Turut hadir, Pengarah Pasaran Eksport Antarabangsa, Dr. Ali Lata Nouri dan Dr. Sadona Tham dari Neatness Group; Gandi Sihombing & Alfred Bonaventura dari Gudang Awal Digital Nusantara, Indonesia dan Abour Altaraf bersama Dr. Thana mewakili negara Timur Tengah manakala syarikat Fikrizq SA Trading Est yang juga dari Timur Tengah diwakili Syed Sirabani Syed Othman.
Berkongsi lanjut, Suzana berkata, Indonesia dilihat mempunyai potensi sebagai pasaran sasaran berikutan hubungan rapat kedua-dua negara dari segi budaya dan perdagangan, manakala UAE (United Arab Emirates) pula mempunyai kedudukan strategik sebagai salah satu pusat perdagangan dan perniagaan antarabangsa.
Sementara itu, Dr Ali memaklumkan, pemilihan Malaysia sebagai pusat pengeluaran Kuala Cola antara lain mengambil kira kedudukan negara sebagai sebuah negara Islam yang dikenali serta mempunyai potensi pasaran yang baik.
Beliau berkata, Kuala Cola dihasilkan sepenuhnya di Malaysia dan melalui proses pembangunan sebelum diperkenalkan dalam tiga pilihan utama.
“Apabila kami memulakan pengeluaran di Malaysia, kami bermula dengan Cola Original yang mempunyai cita rasa hampir sama dengan minuman cola lain di pasaran.

DARI Kiri: Dr. Thana, Dr. Ali, Syed Sirabani dan Dr. Sadona.
“Kemudian kami memperkenalkan tiga pilihan iaitu Original, Zero Sugar dan satu lagi varian yang menggunakan garam Himalaya bagi memberikan keseimbangan cita rasa,” katanya.
Menurutnya, penghasilan Kuala Cola turut menggunakan proses pembuatan tempatan serta mematuhi keperluan pensijilan dan piawaian seperti halal, HACCP dan GMP.
Selain Indonesia dan UAE, Kuala Cola turut menyasarkan pasaran Syria, Arab Saudi, Oman dan Jordan sebagai sebahagian daripada rancangan peluasan antarabangsa.
“Kami telah mendapat kebenaran untuk membawa produk ini ke Syria dan berharap dapat terus mengembangkan pasaran bersama rakan-rakan kami, termasuk Indonesia, Singapura serta pasaran antarabangsa yang lain,” katanya.
Dalam majlis sama, turut berlangsung sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) sebagai simbolik kepada jalinan kerjasama dan penerokaan peluang perniagaan baharu oleh Neatness Group yang diwakili Dr. Ali, Dr Sadona dan Suzana manakala Presiden MITDA, Captain Mahdi Tajmansoh, dijemput sebagai saksi pertukaran MOU berkenaan.
Program yang diacarakan Diana Rusdi turut diserikan dengan tayangan video montaj dan pembentangan perniagaan serta pasaran Kuala Cola, diikuti sesi perbincangan kumpulan dan Hi-Tea & Networking.
Menerusi usaha itu, Neatness Group berharap Kuala Cola dapat membina rangkaian rakan strategik yang lebih luas serta membuka peluang pasaran baharu di luar negara.
Dengan aspirasi “From Kuala Lumpur to Global Market”, Kuala Cola kini membawa satu misi untuk memperkenalkan cita rasa dan identiti produk Malaysia kepada pengguna di peringkat antarabangsa.
#KualaCola #NeatnessGroup #Indonesia #UAE #MoU #FromKL2GlobalMarket #fyp





Tiada ulasan:
Catat Ulasan