'NPD' BUKAN SEKADAR LAGU, SOMA BAWA MESEJ KESEDARAN!
SETIAP kali menghampiri penghujung tahun, penyanyi yang baharu dua tahun bergelar artis rakaman, Soma tidak terlepas menghadiahkan lagu baharu buat peminat setianya.
Kak Fas antara yang tidak terlepas hadir pada setiap acara yang dianjurkan pemilik bernama penuh Rosmah S. Sengari @ Basar ini sejak pertama kali muncul di majlis pelancaran album sulongnya ‘Perjalanan’ pada 26 Disember 2024.
Susulan itu setahun kemudian pada 14 Disember 2025, meraikan ulang tahun pertamanya sebagai artis rakaman sekali gus menyambut hari jadinya, Soma memilih mengadakan showcase ‘Sebuah Perjalanan’ nun jauh di kampung halamannya di Warisan Hall Studio, Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Selangor.
Malah acara yang menyaksikan Soma mengalunkan 11 buah lagu baharu dan lama itu turut menjadi platform pradengar single baharu berjudul ‘NPD’ hasil ciptaan Belle Fatah dengan lirik ditulis sendiri.
Kak Fas masih teringat ucapannya yang berbunyi,”“Malam ini khas untuk semua yang berada di sini, anda menjadi pendengar pertama saya menyanyikan lagu ’N.P.D’ secara live walau pun lagu tersebut belum dirakamkan vokalnya,” ujar Soma.
Kiranya Kak Fas rasa bertuah juga dapat menjadi wartawan pertama bersama penulis dari portal nokomen.com mendengar ‘NPD’ dialunkan Soma.
Dan terkini, pada 12 November 2026, ‘NPD’ dilancarkan secara rasmi bertempat di lokasi hiburan terunggul di Kuala Lumpur, mana lagi jika tidak di Hard Rock Cafe.
Itu pun tarikh yang di pilih berhampiran ulang tahunnya yang jatuh pada 14 November di mana tanpa pengetahuannya, majlis turut dikejutkan dengan acara potong kek diusahakan oleh rakan-rakan rapatnya.
Judul akronym bermaksud ‘Narcissistic Personality Disorder’ (NPD) itu tentunya kedengaran luar biasa namun itulah cara Soma mahu menyampaikan mesejnya kepada pendengar sekali gus memperlihatkan keprihatinannya terhadap isu kesihatan di kalangan masyarakat.
"NPD adalah sebuah karya yang sangat dekat dengan hati saya. Isu kesihatan mental terutamanya gangguan personaliti narsisistik ini sering berlaku dalam masyarakat tetapi jarang dikupas dalam bentuk karya lagu.
“Melalui lirik yang saya tulis, saya berharap dapat memberi kesedaran tentang kesannya kepada mangsa dan masyarakat, di samping memberikan kekuatan serta cara untuk mengatasinya,” ujar Soma kala ditemi pada majlis pelancaran rasmi ‘NPD’ yang turut disempurnakan oleh Pengerusi KARYAWAN, Datuk Khadijah Ibrahim serta Datuk Nor Hasnal Hashmi selaku Presiden Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia.
Seseorang yang narsisistik bermaksud kecenderungan untuk memuja atau mengagumi diri sendiri secara berlebihan, mempunyai rasa kepentingan diri yang ekstrem, serta taksub dengan cinta diri.
Melalui bait-bait lirik Soma yang matang, lagu ini menawarkan nasihat, sokongan moral, serta jalan keluar dan cara mengatasi kemelut psikologi ini demi membina masyarakat yang lebih sihat dan empati.
“Orang narsisistik jarang rosakkan hidup kita dengan jeritan, kadang mereka rosakkan kita perlahan-lahan melalui kata-kata yang membuat kita hilang diri sendiri,” sambung Soma seolah-olah membayangkan barangkali pernah berhadapan dengan orang bermasalah narsisistik. Wallahuallam!
Apa pun yang pasti, bagi Soma, NPD merupakan karya yang cukup dekat dengan hatinya kerana isu kesihatan mental, khususnya gangguan personaliti narsisistik, masih jarang dibincangkan secara terbuka menerusi karya muzik.
"Saya berharap dapat memberikan kesedaran, sokongan moral dan kekuatan kepada mereka yang berdepan situasi sedemikian, selain menggalakkan masyarakat mengenali tanda-tanda awal sebelum keadaan memberikan kesan lebih besar terhadap kehidupan,” ulang Soma.
Beliau turut menjelaskan bahawa penghasilan lagu itu yang turut mendapat sentuhan melodi Belle Fatah, juga disokong pemuzik hebat tanah air yang memberikan kekuatan tersendiri kepada karya berkenaan.
Sehubungan itu, pelancaran single 'NPD' diserikan dengan persembahan langsung Soma menyampaikan empat lagu daripada album EP 'Perjalanan', diiringi barisan pemuzik berpengalaman seperti Man Keedal dan Ujang (gitar), Eddie (bass), Adam Maulana (dram) serta Belle Fatah (piano).
Kehadiran pemuzik seperti Man Keedal dan Eddie Def Gab C memberikan nilai tersendiri kepada persembahan yang berlangsung dalam suasana intim, sekali gus memperlihatkan sokongan penggiat muzik berpengalaman terhadap perjalanan seni Soma.
Dalam pada itu, kehadiran penyanyi legenda, Khadijah Ibrahim, pada majlis pelancaran berkenaan turut memberi suntikan semangat kepada Soma untuk terus melangkah dalam industri muzik.
Khadijah yang menyampaikan ucapan tahniah atas pencapaian serta penghasilan karya Soma mengingatkan rakan seperjuangannya itu supaya tidak mudah berputus asa dan sentiasa konsisten berkarya.
Beliau menasihatkan Soma agar mengekalkan identiti serta genre muzik yang ingin diketengahkan kerana keyakinan terhadap hala tuju seni sendiri menjadi antara asas penting untuk membina kerjaya jangka panjang.
Mesra dengan panggilan ibu Khaty, beliau selanjutna menyifatkan Soma sebagai seorang wanita hebat yang mempunyai keyakinan diri serta potensi besar untuk mencipta sejarah tersendiri dalam dunia seni.
“Bakat Soma bukan hanya terhad kepada nyanyian, malah turut terserlah menerusi kebolehannya bermain dram serta keupayaan menggunakan platform media sosial seperti TikTok untuk mendekati peminat dan memperkenalkan dirinya kepada khalayak lebih luas,” ujar Ibu Khaty.
Selain itu, beliau melihat kepentingan jaringan kerjasama antara artis lama dan baharu bagi memastikan industri muzik tempatan terus berkembang, selain membuka ruang kepada lebih banyak karya berkualiti.
Sementara itu, Nur Haslan menyifatkan Soma sebagai penyanyi yang mempunyai keyakinan tinggi serta potensi untuk berkembang bukan sahaja dalam bidang nyanyian, malah sebagai individu yang mempunyai pelbagai kebolehan.
Beliau turut mencadangkan supaya Soma diberi peluang menjalinkan kolaborasi dengan artis lama dan baharu bagi memperluas jaringan dan membuka lebih banyak ruang kerjasama dalam industri.
“Aspek jaringan atau networking serta sokongan sesama penggiat seni amat penting bagi membantu bakat baharu membina kedudukan lebih kukuh,” ujarnya.
Haslan turut memuji kebolehan Soma dalam bidang muzik dan nyanyian, selain penglibatannya dalam bidang keusahawanan dan kontraktor.
Ucapan beliau yang diakhiri dengan laungan "Hidup SOMA!" menjadi antara tanda sokongan terhadap perjalanan seni penyanyi itu.
Single NPD kini boleh didengari menerusi platform penstriman digital utama termasuk YouTube, Spotify dan Apple Music.
Tahniah Soma dan sekali lagi Selamat Hari Jadi, semoga terus sukses! - Kak Fas Online.
#Soma #Perjalanan #NPD #KhadijahIbrahim #KARYAWAN #BelleFatah #ForYouPage








Tiada ulasan:
Catat Ulasan