ABPBH 38 UBAH LANDSKAP POPULARITI, PEMPENGARUH, ATLET LAYAK REBUT 'BINTANG PALING POPULAR'!
POPULARITI dalam industri hiburan tidak lagi dimonopoli penyanyi dan pelakon apabila pempengaruh, atlet serta pencipta kandungan kini turut mendapat tempat dalam arena pengiktirafan seni tanah air menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) edisi ke-38.
Perubahan landskap hiburan yang semakin dipengaruhi platform digital mendorong penganjuran tahun ini memperluaskan takrifan seorang bintang, sekali gus membuka peluang kepada lebih banyak kelompok personaliti untuk bersaing merebut pengiktirafan populariti pilihan peminat.
Malah, lima kategori yang sebelum ini diletakkan dalam kelompok sampingan kini dinaikkan ke kategori utama, sekali gus membolehkan pemenangnya turut bersaing merebut gelaran Bintang Paling Popular berdasarkan undian tertinggi.
Lima kategori berkenaan ialah Gandingan Serasi Drama Popular, Pempengaruh Popular, Atlet Popular, Lagu Paling Boom Popular dan Anugerah Daia Evolusi Gaya Bintang.
Pengarah Projek ABPBH 38 merangkap Pengarang Berita Kanan/Projek Berita Harian, Shamshul Azree Samshir berkata, pembaharuan itu mengambil kira perubahan cara masyarakat menikmati hiburan yang kini tidak lagi tertumpu kepada platform konvensional.
Menurutnya, pencipta kandungan, pempengaruh dan penstrim langsung muncul sebagai antara sumber hiburan alternatif yang semakin mendapat tempat dalam kalangan khalayak, seiring pengaruh media sosial yang semakin meluas.
Dalam era digital, katanya, kemasyhuran bukan lagi terbatas kepada golongan artis atau selebriti, sebaliknya boleh diraih sesiapa sahaja yang bijak memanfaatkan potensi diri secara kreatif dan positif sehingga berjaya menarik perhatian jutaan peminat serta pengikut.
“Sejak 1987, Berita Harian menggalas amanah sebagai wadah pengiktirafan bakat seni berasaskan kuasa undian peminat. Melangkah ke edisi ke-38, tema ‘Kitalah Bintang’ menegaskan bahawa status bintang tidak hanya terhad kepada selebriti di atas pentas semata-mata, sebaliknya dipancarkan bersama oleh peminat yang menyokong tanpa henti.
“ABPBH 38 bukan sekadar medan persaingan populariti, malah suatu perayaan kebersamaan seluruh ekosistem kreatif negara,” katanya pada majlis pelancaran ABPBH 38 di Ombak KLCC, baru-baru ini.
Bertemakan ‘Kitalah Bintang’, ABPBH 38 yang dianjurkan Berita Harian sejak diperkenalkan pada 1987 terus mengekalkan peranannya sebagai platform pengiktirafan bakat dan populariti anak seni, selain merapatkan hubungan antara penggiat industri dengan peminat.
Selepas hampir empat dekad, penganjuran itu turut menjadi saksi evolusi industri kreatif tempatan daripada era cetakan dan analog sehingga perkembangan pesat dunia digital hari ini.
Sebanyak 21 kategori dipertandingkan bagi edisi kali ini, merangkumi pelbagai cabang termasuk muzik, lakonan, penyiaran, komedi, penciptaan kandungan dan sukan.
Antara kategori utama ialah Artis Baharu Lelaki dan Wanita Popular, Penyanyi Lelaki dan Wanita Popular, Aktor dan Aktres Filem Popular, Aktor dan Aktres TV Popular, Aktor dan Aktres Pembantu Filem Popular, Penyampai Radio Popular, Pengacara TV Popular, Artis Komedi Popular serta Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.
Turut dipertandingkan ialah lima kategori yang dinaikkan taraf berkenaan, sekali gus menjadikan persaingan lebih terbuka kepada personaliti daripada pelbagai latar belakang.
Kemuncak pertandingan menyaksikan penobatan Bintang Paling Popular ABPBH 38 menerusi gabungan undian tertinggi peminat dan penilaian juri profesional, dengan format pemarkahan dikekalkan pada nisbah 70 peratus undian orang awam dan 30 peratus markah juri.
ABPBH 38 turut mengekalkan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat bagi mengiktiraf jasa serta sumbangan tokoh industri yang banyak mencurahkan bakti dalam pembangunan seni tanah air.
Bagi edisi kali ini, produk seni yang layak dinilai merangkumi karya diterbitkan sepanjang Januari 2025 hingga September 2026, tertakluk kepada penilaian Jawatankuasa Penganjur dan Lembaga Juri ABPBH 38.
Proses undian bagi calon Top 10 setiap kategori akan dibuka mulai 16 November hingga 6 Disember 2026 menerusi laman web rasmi www.abpbh.com.my.
Setiap peminat yang mendaftar akaun akan menerima 38 mata undian percuma sempena edisi ke-38 itu, yang boleh diagihkan secara fleksibel kepada calon pilihan sama ada secara tunggal atau merentasi beberapa kategori.
Malam Kemuncak ABPBH 38 dijadual berlangsung pada Sabtu, 12 Disember 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam, Selangor.
Acara gilang-gemilang itu akan disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta penstriman eksklusif di aplikasi Tonton pada jam 9 malam, manakala acara karpet merah boleh disaksikan menerusi TikTok @MELODITERHANGAT bermula jam 8 malam.
Penglibatan Daia untuk tahun kedua berturut-turut mencerminkan komitmen jenama itu dalam menyokong platform yang meraikan bakat, kreativiti dan personaliti popular tanah air, selain menghubungkan aspek penjagaan fabrik dengan hiburan serta gaya hidup.
#AnugerahBintangPopularBH #MelodiTerhangat #TV3 #BintangPalingPopular #fyp






Tiada ulasan:
Catat Ulasan