Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

SOMA PILIH ANJUR SHOWCASE 'SEBUAH PERJALANAN' DI KAMPUNG HALAMAN, HADIAHKAN LAGU BAHARU 'NPD'!


KATA
orang ‘jauh perjalanan, luas pemandangan’ tetapi lazimnya ungkapan itu dizahirkan bagi
  mereka yang merantau atau berhijrah jauh dari tempat kedudukan asal masing-masing.


Pun begitu, bagi Kak Fas ungkapan itu masih relevan digunakan apabila menerima jemputan rakan penyanyi Soma yang sentiasa tidak terlepas pandang menjemput Kak Fas ke setiap acara anjuran syarikatnya, Somma Productions.


Kali ini Soma mengadakan showcasenya, ‘Sebuah Perjalanan’ nun jauh di Warisan Hall Studio terletak di kawasan Sijangkang, Teluk Panglima Garang, Selangor iaitu kira-kira 58 km daripada kediaman Kak Fas di Kuala Lumpur.



Sejujurnya ini pertama kali Kak Fas berkunjung ke Sijangkang, jadi tepatlah ungkapan ‘jauh perjalanan, luas pemandangan’ kerana bukan sahaja sebuah perjalanan yang jauh ibarat judul lagunya.tetapi perlu menghadap kesesakan lalu lintas apatah lagi pada hari Jumaat di mana kenderaan berlipat kali ganda di lebuh raya gara-gara pulang dari kerja mahu pun balik kampung.


Apabila menerima jemputan dari Soma timbul soalan,  ‘kenapa buat jauh pada hari Jumaat dan pada waktu malam pula tu waima aturcaranya menunjukan showcasee bermula jam 8.45  selepas jamuan makan malam yang bermula jam 7 petang, dan pastinya juga untuk menghormati waktu Maghrib dan Isyak.


Tetapi akhirnya Kak Fas temui jawapan yang bermain di kotak fikiran, rupanya tarikh 14 November 2025 yang dipilih adalah selari dengan tarikh ulang tahun Soma yang ke-50, diraikan dengan potongan kek hari jadi pada akhir acara showcase yang tamat menjelang jam 11 malam.



Malah lebih istimewa, Soma mahu meraikan hari istimewanya itu di kampung halamannya sendiri justeri memilih Sijangkang, Teluk Panglima Garang bagi mengimbau kembali kisah awal penglibatannyya dalam seni suara, sekali gus meraikan ulang tahun pertamanya sebagai artis rakaman.


Ia juga melambangkan penghormatan kepada tempat asal yang membina jatuh bangunnya sebagai penyanyi, waima menjadi lokasi terbaik untuk memperkenalkan karya terbarunya.’NPD’ kepada penduduk setempat yang bakal dilancarkan secara rasmi pada tahun 2026.


MAJLIS turut memaparkan video mengenai perjalanan Soma untuk mencapai impiannya bergelar penyanyi.


“Perjalanan karier seni Soma bermula di kampug halaman sendiri sebelum melangkah jauh diluar sana. Objektif acara sempena meraikan ulang tahun pertama sebagai artis rakaman  yang jatuh pada usia 50 tahun & pradengar lagu terbaharu menjadikan ia satu memori penting dalam perjalanan karier seni Soma dan atas sebab ini showcase 'Sebuah Perjalanan' diadakan di sini,” jawab Soma  atau nama sebenarnya, Rosmah S. Sengari @ Basar, ketika ditemui.


Turut hadir memeriahkan showcase eksklusif ‘Sebuah Perjalanan’ terdiri daripada antaranya Datuk Seri Nor Hasnal Bin Hashmi, Presiden Dewan Perniagaan Datuk Dato Malaysia (DPDDM); Timbalan Presiden DPDDM, Datuk Sazelan Arbi BashahDato Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi ANGKASA Negeri Selangor; Dato Dr. Haji Nasa, barisan Jawatankuasa DPDDM serta Encik Abdul Razak Bin Khasbullah, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat. 


DARI kiri: Mat Over, Nor Hasnal, Soma, Sazelan, Mohd Alias dan Dr. Nasa.


Seramai  100 orang hadir termasuk 50 peminat yang membeli tiket istemewa berharga RM50 mengikut usianya yang ke-50 manakala majlis diacarakan oleh pelakon dan pelawak, 'Mat Over' atau nama sebenarnya, Sulaiman Yassin.


Sepanjang showcase, Soma membawakan 11 buah lagu baharu dan lama dengan penuh penghayatan, diiringi barisan pemuzik terkenal termasuk Man Kidal (gitar utama), Belle Fatah selaku pengarah muzik serta pemain piano/keyboard, Adam Maulana (dram), Ujang (gitar kedua) dan Yunos (bass). 



Gabungan tenaga profesional ini memberikan dimensi penuh kepada setiap persembahan malam itu yang terbahagi kepada empat segmen dengan salah satunya Soma menjemput penyanyi Korie berduet lagu 'Pergilah Sayang", nyanyian asal Korie bersama kakaknya, Ratu Rock, Ella.



Dalam pada itu, single “NPD” yang bakal dilancarkan pada 2026 merupakan ciptaan Belle Fatah dengan lirik ditulis oleh Soma sendiri. 


Walaupun lagu tersebut masih dalam proses pembikinan, keberanian Soma menyanyikannya secara langsung menggambarkan keyakinannya terhadap karya ini yang bakal menjadi wajah baharu kesinambungan muziknya.


“Anda semua pada malam ini cukup istimewa kerana dapat menjadi yang pertama mendengar Soma menyanyikannya secara 'live' kerana lagu ini yang dah dicipta belum sempat dirakamkan vokalnya lagi,” ujar Soma sambil mendapat tepukan daripada rakan-rakan setia dan keluarga yang sentiasa menyokongnya.



‘NPD’ adalah akronim kepada penyakit gangguan personaliti narsisistik yang berkait rapat dengan keadaan kesihatan mental di mana seseorang itu mempunyai rasa kepentingan diri yang terlalu tinggi.


Berkongsi lanjut, Soma memaklumkan perancangannya untuk terus kekal relevan dalam industri dengan aktif menyertai pelbagai aktiviti seni dan meneruskan komitmen mengeluarkan sekurang-kurangnya sebuah lagu setiap tahun. 


Beliau turut menyatakan hasrat menganjurkan konsert berskala lebih besar pada masa akan datang serta berharap muziknya diterima pelbagai lapisan masyarakat.


Soma yang kini dalam rangka merencana album kedua menganggarkan karya tersebut akan diterbitkan dalam tempoh 1 hingga 2 tahun lagi. 



Mengulas tentang perjalanan kariernya, Soma menegaskan bahawa beliau tidak pernah memikirkan soal berhenti menyanyi. Sebaliknya, impian beliau adalah meninggalkan legasi melalui pembukaan sebuah galeri seni peribadi untuk tatapan generasi akan datang, selain merealisasikan sebuah konsert besar sebelum meniti usia tua.


Menariknya, Soma turut menyatakan minat untuk melebarkan sayap ke bidang lakonan sekiranya diberi peluang. 


Untuk 2026, fokus utamanya adalah mempergiat promosi album, menjayakan siri jelajah di seluruh negara, menghasilkan muzik video baharu serta memperkukuh kualiti vokal dan persembahan sebagai persiapan menuju konsert impiannya.


Showcase Sebuah Perjalanan’ bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi catatan sejarah baharu dalam kehidupan seni Soma — satu titik permulaan yang dirancang untuk berkembang lebih jauh dalam tahun-tahun mendatang.





#ShowcaseSomaSebuahPerjalanan #NPD #ManKidal #BelleFattah #GaleriSeni

Tiada ulasan:

Catat Ulasan