MIBS 2025 TEKANKAN PRODUK HALAL SEBAGAI PEMACU PERDAGANGAN GLOBAL!
KETIKA permintaan dunia terhadap produk halal terus mencatat pertumbuhan pesat, Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia ke-20 (MIBS 2025) tampil memperkukuh agenda halal sebagai komponen utama ‘showcase’ mereka tahun ini.
Dengan sokongan rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), MIBS 2025 disifatkan sebagai platform penting dalam memacu Malaysia sebagai hab antarabangsa bagi perdagangan, penjenamaan dan inovasi produk halal.
Pameran edisi ke-20 itu dijadual berlangsung dari 4 hingga 6 Disember 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) melibatkan Dewan 2, 3, 4 dan 5.
Dalam majlis pelancaran yang diadakan baru-baru ini, penganjurnya, Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia (PROMAS) memperkenalkan fokus utama pameran, senarai pempamer serta penyertaan antarabangsa yang dijangka memeriahkan edisi tahun ini.
Ia turut disokong oleh Persekutuan Persatuan Barangan Am & Pakaian Tekstil Malaysia dan Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM) dengan pengiktirafan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Kemaskini mengenai skala pameran, program perniagaan dan objektif strategik turut dikongsikan kepada media serta pemimpin industri.
Hadir pada majlis sidang media yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur terdiri dari Presiden PROMAS, Datuk Chong Chong Tik; Presiden Kehormat Sepanjang Hayat PROMAS, Lady Puan Sri Dr. Susan Cheah; Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia, Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor dan ramai lagi termasuk pemain industri.
Menurut Chong Chong Tik, MIBS menekankan tumpuan terhadap peningkatan penyertaan pempamer yang mempromosikan produk halal merentas segmen makanan, kecantikan, gaya hidup dan komoditi pintar selaras dengan perkembangan pasaran halal global bernilai trilion dolar.
Pameran ini turut menarik penyertaan pavilion antarabangsa dari beberapa wilayah utama China seperti Zhejiang, Guangxi, Shenzhen, Yunnan dan Guangzhou, selain penyertaan dari Korea, Indonesia, Bangladesh, Thailand, Jepun dan negara lain.
“Kehadiran mereka ini menunjukkan keyakinan global terhadap Malaysia sebagai pusat perdagangan yang stabil dan mesra perniagaan, khususnya dalam ekosistem halal,” jelas Chong Tik.
Menyokong usaha tersebut, Abu Hassan berharap MIBS 2025 bukan sahaja berperanan sebagai salah satu ekspedisi perniagaan antarabangsa Malaysia tetapi turut menjadi sebuah platform dinamik yang menzahirkan kewujudan dan peranan negara kita dalam lanskap sejarah global sejak zaman terdahulu.
“MIBS 2025 bukan sekadar medan pameran produk dan inovasi, tetapi sebuah gerbang yang memperlihatkan keupayaan masyarakat serta potensi industri negara. Ekspedisi ini terus berkembang sebagai platform strategik yang memainkan peranan penting dalam menghubungkan kepakaran, membina kerjasama, dan memacu masa depan ekonomi serantau,” ujar Abu Hassan.
Menerusi ruang pameran yang lebih luas, MIBS 2025 bakal menghimpunkan lebih 500 booth dalam enam kategori utama: produk kesihatan dan kecantikan; peralatan pintar; makanan dan minuman termasuk budaya teh; fesyen dan barangan kulit; dekorasi rumah; serta hadiah dan produk pengguna.
Penganjur menjangkakan peningkatan ketara bagi pempamer yang membawa produk dan bahan patuh syariah untuk pasaran tempatan serta eksport.
Untuk memperkukuh hubungan dagang, MIBS 2025 menawarkan Program Pembeli, Sesi Padanan Perniagaan, serta Seminar Industri yang memberi tumpuan kepada strategi eksport, peluang pasaran halal dan trend pengguna global.
Inisiatif ini diharap dapat membuka laluan baharu bagi pempamer tempatan dan antarabangsa menjalin kerjasama jangka panjang.
Sebagai platform perdagangan import dan eksport bertaraf antarabangsa, MIBS 2025 terus memainkan peranan penting dalam memperkuat kedudukan Malaysia sebagai hab global dalam penjenamaan, perdagangan antarabangsa dan industri halal.
Pameran ini dijangka menjadi medan utama bagi pengeluar, pengedar dan usahawan untuk meneroka pasaran baharu serta meluaskan rangkaian perniagaan mereka di rantau ini.
MIBS 2025 mengalu-alukan penyertaan pemimpin industri, usahawan dan profesional perdagangan untuk turut serta dalam pameran berprestij ini, yang membawa tema “The Link to Global Emerging Market.”
#MIBS2025 #KLCC #ProdukHalal #MATRADE #PatuhSyariah #ChinaMalaysia #fyp




Tiada ulasan:
Catat Ulasan