MYDIN PERLUAS PASARAN IKS MELALUI KEMPEN ‘LOKAL LAGI GEMPAK'!
KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus memperhebatkan kerjasama strategik dengan sektor peruncitan utama negara bagi memperkasakan produk buatan tempatan dan membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Sinergi ini dizahirkan menerusi pelancaran kempen ‘Lokal Lagi Gempak’ anjuran Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) bersempena Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025.
Majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri KPDN, Senator Datuk Dr. Hajah Fuziah Salleh di MYDIN Subang Jaya, menekankan kepentingan sokongan semua pihak terhadap produk negara.
Dr. Fuziah dalam ucapannya menggariskan peranan penting peruncit seperti MYDIN dalam merangsang ekonomi tempatan.
“Usaha yang dilakukan oleh MYDIN ini bukan sahaja membuka ruang pasaran yang lebih luas dan adil untuk IKS dan PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana), malah ia membantu pengguna mendapatkan barangan berkualiti pada harga yang lebih kompetitif. Ini adalah sinergi penting antara kerajaan dan sektor swasta demi kelangsungan ekonomi tempatan dan kesejahteraan rakyat,” ujar beliau.
Majlis yang dihadiri bersama Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin diserikan dengan kehadiran penyanyi lagenda, Datuk Khadijah Ibrahim dengan persembahan dua buah lagu.
Sementara itu, (Dr) Haji Ameer menegaskan bahawa inisiatif memperkasakan produk tempatan telah lama menjadi teras perniagaan syarikat.
“Kami memberi peluang sama rata kepada semua usahawan tempatan tanpa mengira saiz perniagaan. Yang penting adalah kualiti produk dan kemampuan memenuhi permintaan pelanggan. Tahun ini kami menganggarkan peningkatan jualan sebanyak 15% bagi produk tempatan khususnya IKS dan PMKS, ” katanya.
Sebagai sebahagian daripada promosi kempen, karnival jualan ‘Lokal Lagi Gempak’ turut diadakan di MYDIN USJ, yang berlangsung selama empat hari mulai 20 hingga 23 November 2025, menampilkan pelbagai produk jualan langsung daripada usahawan tempatan.
Pada majlis yang sama, MYDIN turut menyampaikan Sijil Penghargaan Usahawan Tempatan 2025 sebagai pengiktirafan kepada rakan pembekal tempatan baharu yang berjaya menembusi dan memasarkan produk mereka di rangkaian pasar raya tersebut.
Kempen ‘Lokal Lagi Gempak’ menampilkan pelbagai promosi dan aktiviti menarik, dan akan dijalankan di semua cawangan MYDIN seluruh negara sehingga 31 Disember 2025.
#KempenBeliBaranganMalaysia2025 #LokalLagiGempak #MYDIN #KPDN #fyp







Tiada ulasan:
Catat Ulasan