CFA INTERNATIONAL AWARDS 2025 TONJOL KOMITMEN MALAYSIA JUNJUNG KELESTARIAN INDUSTRI KUCING!
KAK Fas memang seorang pencinta kucing dan pernah membela kucing di rumah namun apabila kucing kesayangan hilang dan ada yang mati kerana dilanggar, berderai air mata malah sampai seminggu pun asyik terkenang kucing kesayangan.
Sejak itu, Kak Fas tidak lagi membela haiwan paling comel itu kecuali menumpang membelainya apabila bertembung di jalanan atau di rumah sanak saudara dan kawan yang membela kucing.
Pun begitu apabila ada ‘event’ yang melibatkan kucing, tidak pula Kak Fas menolaknya waima jika ada produk yang diterima sebagai ‘goodies’ Kak Fas menggunakannya untuk memberi makanan kepada kucing jalanan mahu pun memberikannya kepada anak atau saudara mara yang membela kucing.
Sehubungan itu, baru-baru ini apabila menerima undangan untuk hadir ke majlis malam anugerah yang dinamakan CFA International Awards & Banquet 2025 - International Division & China, baharulah sedar rupanya ada anugerah yang berkaitan kucing pemiliharaan.
Sejujurnya belum pernah Kak Fas hadir pada mana-mana majlis anugerah untuk kucing dan apabila diberitahu majlis yang diadakan merupakan julung kalinya Malaysia menjadi tuan rumah tentulah tergerak juga hati hendak menyaksikannya.
Jika Anugerah Festival Filem ke atau Anugerah Skrin ke yang melibatkan selebriti memang dah banyak kali Kak Fas sertai tetapi ini khas untuk kucing… bagaimana agaknya majlis tersebut fikir hati.
Atas 'sweet talk' dan jemputan Pegawai Perhubugan Media, Pet Universe Nourish, Belinda Pinto, yang benar-benar inginkan Kak Fas hadir dengan kata-kata, ‘Ini pertama kali tau event ini dilangsungkan di Kuala Lumpur, ambilah peluang untuk tengok….” Kak Fas akhirnya akur.
Pada awalnya Kak Fas bayangkan mesti dapat melihat pelbagai jenis kucing yang comel comel belaka waima majlis bakal menyaksikan lebih kurang 705 anugerah dalam pelbagai kategori diberikan. Wow! Memang tersangat banyak hingga majlis pun berakhir lewat malam.
Tetapi apabila majlis dilangsungkan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur sudah pasti kelibat kucing-kucing yang bertanding tidak hadir kecuali tuannya.
Acara berprestij anjuran Cat Fancier’s Association (International) yang ditaja Pet Universe Nourish ini memang nampak gilang gemilang apabila setiap yang hadir berpakaian formal dan glamor bagaikan sebuah anugerah bintang filem gayanya.
Kak Fas dimaklum penganjurannya di Malaysia bukan sekadar satu majlis anugerah, tetapi merupakan langkah strategik untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan antarabangsa melalui penganjuran acara bertaraf dunia seperti ini.
Dengan kehadiran peserta global, ia dijangka akan menjana impak positif terhadap sektor pelancongan negara.
Lebih penting lagi, matlamat utama majlis ini adalah untuk meningkatkan piawaian etika serta amalan kompeten dalam pengurusan dan penternakan kucing, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.
Usaha ini diyakini akan merancakkan pertumbuhan industri haiwan kesayangan tempatan dan membuka peluang ekonomi baharu dalam sektor yang sedang pesat membangun ini.
Acara berprestij ini menyediakan platform unik untuk menghimpunkan penternak terkemuka, penggiat industri, badan profesional, dan komuniti pencinta kucing.
Ia juga akan berfungsi sebagai wadah utama untuk pertukaran ilmu, perkongsian pengalaman, dan pengukuhan jaringan kerjasama strategik antara pihak tempatan dan antarabangsa.
Kak Fas percaya penganjuran CFA International Awards ini akan menonjolkan komitmen Malaysia dalam menjunjung nilai tanggungjawab, kecemerlangan, dan kelestarian dalam industri kucing, sekali gus mengangkat nama negara ke persada dunia sebagai pusat rujukan serantau bagi penganjuran pertunjukan kucing yang beretika dan berdaya saing.
Majlis penganugerahan melibatkan penyertaan daripada lebih kurang 15 buah negara antaranya Singapura, Hong Kong, Korea, Thailand, Indonesa, Vietnam, Taiwan. China, Asia Barat (Jordon, Kuwait, Qatar dan Saud) serta Malaysia.
Penyertaan daripada Malaysia menyaksikan kira-kira 59 ekor kucing memenangi hadiah dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan antaranya kucing bernama 'Bella' yang dinobatkan sebagai 'Best Household Pet Of The Year' (International) milik Grace Chong serta 'Akiko Gradus' yang memenangi anugerah 'Best Kitten of The Year (International Division) untuk pemiliknya, Low Wai Leong dan Yuki Tan.
Melihat pada gambar-gambar kucing yang menang dipaparkan pada skrin memang comel-comel belaka. Geram rasa nak belai!
#CFAInternationalAwards&Banquet2025 #InternationalDivision&China #Kucing








Tiada ulasan:
Catat Ulasan