JDT BUKA SISI BERBEZA SOUTHERN TIGERS MENERUSI DOKU 'UNTAMED'!
DI SEBALIK kejayaan menjulang 35 trofi dalam tempoh 13 tahun, tersimpan perjalanan panjang yang penuh cabaran, tekanan, kontroversi dan pengorbanan dalam membina empayar bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Kisah yang selama ini jarang diketahui umum itu kini dibawa ke layar menerusi pelancaran 'UNTAMED', sebuah filem dokumentari eksklusif berdurasi 76 minit yang membuka tirai kehidupan sebenar Southern Tigers, termasuk sisi di sebalik kejayaan kelab berkenaan mencipta nama di pentas bola sepak tempatan dan antarabangsa.
Lebih daripada sekadar merakam kejayaan di atas padang, dokumentari berkenaan membawa penonton menyelami visi dan aspirasi Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik JDT, dalam membangunkan kelab itu sebagai sebuah organisasi bola sepak profesional yang sentiasa berusaha menetapkan penanda aras baharu.
JDT yang kini menduduki ranking No. 1 di Asia Tenggara dan tangga ke-10 di Asia turut mencipta sejarah sebagai pasukan Malaysia pertama menjulang Piala AFC.
Menerusi 'UNTAMED', penonton berpeluang menyaksikan perjalanan sebenar kelab berkenaan, bermula daripada suasana bilik persalinan, sesi latihan dan pengurusan pasukan, sehinggalah tekanan serta cabaran yang membentuk identiti Southern Tigers.
Himpunkan Figura Penting Perjalanan JDT
Menariknya, dokumentari itu menghimpunkan pelbagai figura penting yang menjadi sebahagian daripada transformasi dan kebangkitan JDT, termasuk pemain, bekas jurulatih, pengurusan tertinggi serta personaliti terkenal.
Antara yang tampil berkongsi perspektif ialah Ketua Pegawai Operasi JDT, Alistair Edwards; Pengarah Kewangan JDT, Dato’ Seri Jaifuddin; Pengurus Projek Khas JDT, Kevin Ramalingam dan bekas Pengarah Sukan JDT, Martin Prest.
Dari sudut pemain pula, dokumentari itu menampilkan tonggak Southern Tigers seperti Arif Aiman, Bergson da Silva, Matt Davies dan Corbin Ong, selain bekas pemain Safiq Rahim serta Safee Sali.
Bekas ketua jurulatih JDT, Bojan Hodak turut berkongsi pengalaman dan pandangannya mengenai perjalanan kelab berkenaan.
Lebih istimewa, 'UNTAMED' turut menampilkan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow serta wartawan sukan, Keesh yang memberikan perspektif berbeza mengenai pengaruh dan perkembangan JDT dalam landskap bola sepak negara.
JDT+ Perluas Dunia Kandungan Southern Tigers
Seiring pelancaran dokumentari itu, JDT turut memperkenalkan JDT+, sebuah platform penstriman eksklusif milik kelab yang bakal menjadi hab kepada pelbagai dokumentari, siri original dan kandungan premium.
Mengangkat identiti The Home of JDT Originals, platform itu menawarkan akses kepada kisah-kisah eksklusif yang tidak terhad kepada aksi 90 minit perlawanan, sebaliknya turut mengetengahkan kehidupan pemain dan jurulatih serta perkembangan kelab di luar padang.
'UNTAMED' menjadi kandungan sulung yang diperkenalkan menerusi JDT+, sekali gus membuka lembaran baharu buat kelab itu dalam menghasilkan kandungan original yang mengangkat identiti serta perjalanan Southern Tigers.
Selepas itu, penonton bakal disajikan dengan 'OUTBOUN', sebuah siri dokumentari premium yang merakam perjuangan, cabaran dan pengalaman JDT mengharungi saingan AFC Champions League Elite dari musim ke musim.
Siri berkenaan dijadualkan mula ditayangkan pada November 2026, sebelum disusuli pelbagai kandungan original lain sepanjang musim 2026/27.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, pelancaran 'UNTAMED' dan JDT+ mencerminkan pendekatan kelab yang sentiasa berpandangan jauh dalam membangunkan bola sepak profesional serta memperkukuh kedudukan Southern Tigers sebagai jenama sukan.
Menurutnya, kejayaan sesebuah kelab bola sepak moden bukan hanya diukur berdasarkan keputusan perlawanan atau jumlah trofi yang dimenangi, sebaliknya turut bergantung kepada struktur organisasi, budaya profesional, konsistensi dan keupayaan meningkatkan standard dari semasa ke semasa.
“UNTAMED memberi gambaran tentang apa yang diperlukan untuk membina JDT seperti hari ini, termasuk visi, keputusan penting dan cabaran di sebalik pencapaian kelab.
“Menerusi JDT+, kami membawa pendekatan sama ke luar padang dengan membangunkan platform kandungan premium original milik kelab sendiri.
“Ini bukan sekadar usaha untuk mendekatkan penyokong dengan Southern Tigers, tetapi sebahagian daripada strategi jangka panjang kami untuk terus mengembangkan JDT sebagai sebuah jenama sukan yang mampu bersaing dan mendapat tempat di peringkat antarabangsa,” katanya.
Langganan RM69 Untuk Musim 2026/27
Bagi membolehkan penyokong dan peminat bola sepak menikmati kandungan eksklusif berkenaan, JDT+ menawarkan langganan Season Pass pada harga RM69 bagi musim 2026/27.
Dengan bayaran sekali sahaja, pelanggan memperoleh akses kepada kandungan yang tersedia di platform berkenaan, termasuk dokumentari 'UNTAMED' serta siri original 'OUTBOUND' mengikut jadual tayangan masing-masing.
Peminat boleh mendapatkan langganan menerusi laman web rasmi www.jdtplus.com, selain mengikuti perkembangan terkini platform itu menerusi akaun media sosial @watchjdtplus.
Dengan kemunculan 'UNTAMED' dan JDT+, JDT bukan sahaja membawa kisah kejayaannya lebih dekat kepada penyokong, malah memperluaskan cara perjalanan sebuah kelab bola sepak diceritakan dan dinikmati di luar padang.
#JDT #JDT+ #Untamed #Outbound #AFCChampionsLeagueElite #SouthernTigers






Tiada ulasan:
Catat Ulasan