NONA RAI JUBLI DELIMA, ANGKAT INSPIRASI WANITA SELEPAS 40-AN!
EMPAT dekad mengangkat kisah inspirasi wanita, NONA kini melangkah ke fasa baharu dengan meraikan legasi sambil membuka ruang kepada generasi muda untuk mencipta nama menerusi sambutan Jubli Delima sempena ulang tahun ke-40 jenama gaya hidup wanita itu.
Sambutan berkenaan dimulakan menerusi NONA Media Soirée yang menampilkan pratonton eksklusif NONA Gala Awards 2026 di The Heritage Club, Royale Chulan Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Dibawakan secara eksklusif oleh NONA bersama SeeNI, dengan sokongan SFJ sebagai penaja utama, majlis bertemakan 'An Afternoon Among Trailblazers & Icons' itu menjadi penghormatan kepada wanita yang berani mencipta perubahan, menerajui bidang masing-masing dan membuka laluan kepada generasi seterusnya.
Sejak penubuhannya pada 1986, NONA bukan sahaja menjadi sebahagian daripada perkembangan dunia gaya hidup wanita, malah turut mengangkat kisah kejayaan, kepimpinan dan aspirasi wanita Malaysia merentasi generasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata, sambutan ulang tahun ke-40 itu bukan sekadar mengenang pencapaian lalu, sebaliknya turut membuka peluang untuk menghubungkan generasi muda dengan platform yang meraikan pencapaian serta aspirasi wanita.
“Menerusi sambutan ulang tahun ke-40 ini, kami bukan sekadar mengenang legasi yang telah dibina, malah turut membuka peluang untuk menghubungkan generasi muda dengan sebuah jenama yang menjadi wadah untuk meraikan pencapaian, kepimpinan dan aspirasi wanita.
“Kami mahu memastikan NONA terus relevan sebagai sebuah jenama yang meraikan wanita, memberikan inspirasi dan berkembang bersama mereka untuk empat dekad yang akan datang,” katanya.
Antara tumpuan utama sambutan itu ialah pengenalan NONA Rising 40 Under 40, inisiatif yang mengetengahkan 40 individu berusia bawah 40 tahun yang sedang mencipta perubahan dan membawa pengaruh positif dalam bidang masing-masing.
Inisiatif berkenaan memberi pengiktirafan bukan sahaja kepada individu yang sudah dikenali, malah turut membuka ruang kepada wajah baharu yang berpotensi menjadi peneraju industri pada masa hadapan.
Menerusi pendekatan itu, NONA mahu memastikan bakat muda mendapat peluang untuk berkembang, menyerlahkan potensi serta dikenali berdasarkan pencapaian dan sumbangan mereka.
Dalam masa sama, NONA People’s Choice Icons of the Year turut diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha meraikan individu yang memberi inspirasi kepada masyarakat.
Orang ramai berpeluang memilih calon kegemaran masing-masing menerusi undian di laman Instagram rasmi NONA bermula 20 hingga 31 Oktober ini.
Justeru, peminat digalakkan mengambil bahagian dan mengajak rakan-rakan untuk turut mengundi bagi menentukan penerima pengiktirafan berkenaan pada malam gala nanti.
Malam kemuncak NONA Gala Awards 2026 turut dijadualkan disiarkan secara langsung pada 18 November 2026 menerusi saluran YouTube dan Facebook rasmi NONA serta Mingguan Wanita, membolehkan orang ramai mengikuti detik penghargaan itu.
Arul Saiful Tidak Kejar Populariti:
Antara individu yang berkongsi perjalanan dan aspirasi mereka dalam industri kreatif ialah pasangan pereka fesyen Arul Martin dan Saiful Izham yang bergabung di bawah jenama Arul Saiful.
Berkongsi mengenai pendekatan mereka membangunkan jenama itu, Arul berkata kejayaan sesebuah perniagaan tidak seharusnya diukur berdasarkan populariti semata-mata, sebaliknya kemampuan untuk terus bertahan dan berkembang dalam industri.
Menurutnya, kelestarian perniagaan atau sustainability menjadi keutamaan mereka dalam memastikan jenama Arul Saiful kekal relevan.
“Bagi saya, kekuatan sesuatu jenama bukan terletak pada popularitinya semata-mata. Perkara paling penting dalam perniagaan ialah kelestarian. Kita mesti mampu bertahan dan berkembang dalam industri ini.
“Kami tidak pernah mengejar populariti. Sebaliknya, kami mahu hasil kerja dan rekaan kami yang menjadi bualan orang ramai. Bagi saya, pemasaran yang paling berkesan ialah melalui promosi dari mulut ke mulut,” katanya.
Tambah Arul, pengiktirafan yang diterima turut menjadi pemangkin kepada mereka untuk terus mempertingkatkan mutu kerja serta memikul tanggungjawab lebih besar dalam memastikan jenama itu terus mendapat kepercayaan pelanggan.
Mengulas mengenai pasaran antarabangsa, Arul menjelaskan bahawa mereka memberi tumpuan kepada pelanggan di rantau Asia, khususnya Indonesia, termasuk golongan kenamaan dan isteri menteri.
Katanya, mereka tidak terlalu mengejar peluang untuk menggayakan selebriti terkenal, sebaliknya lebih mengutamakan pelanggan sebenar yang menjadi tunjang kepada kelangsungan perniagaan.
“Saya lebih menumpukan perhatian kepada pelanggan sebenar yang menjadi pasaran utama perniagaan kami. Bagi saya, perkara paling penting ialah memastikan perniagaan terus berjalan dan berkembang.
“Sasaran untuk menggayakan selebriti antarabangsa pula saya serahkan kepada ketentuan Tuhan. Kalau ada rezeki, insya-Allah, ia akan datang dengan sendirinya,” katanya.
Arul turut berkongsi bahawa minat terhadap dunia fesyen dan usaha menghasilkan karya berkualiti menjadi antara keutamaan mereka, tanpa perlu terlalu mengejar nama atau individu tertentu untuk digayakan.
Malah, peluang berada dalam lingkungan industri fesyen dan menerima pengiktirafan menerusi platform seperti Nona disifatkan sebagai sesuatu yang bermakna, apatah lagi mereka turut membesar dengan membaca majalah berkenaan.
Arul Saiful yang sudah bekerjasama selama 13 tahun juga mengakui pengalaman bersama membolehkan mereka memahami cita rasa, idea dan pendekatan rekaan masing-masing, termasuk aspek teknikal seperti pemotongan pola atau pattern cutting.
Kedua-duanya mula berkenalan menerusi sebuah pertandingan dan turut mempunyai latar belakang sebagai pensyarah universiti sebelum memutuskan untuk bekerjasama dalam perniagaan fesyen.
Keserasian itu membolehkan mereka menggabungkan idea serta kepakaran bagi menghasilkan rekaan yang mencerminkan identiti bersama.
Buat masa ini, Arul Saiful memberi tumpuan sepenuhnya kepada pakaian wanita.
Selepas empat dekad, mesej yang dibawa NONA kekal relevan: setiap wanita mempunyai kisah tersendiri untuk diraikan, suara untuk didengari dan potensi untuk mencipta perubahan.
-
Menerusi NONA Gala Awards 2026, jenama itu meneruskan usaha menghubungkan pengalaman, aspirasi dan inspirasi, di samping meraikan wanita serta individu yang berpotensi mencorakkan masa depan industri kreatif dan gaya hidup Malaysia.
#NonaMediaSoiree #JubliDelima #SeeNi #JubliDelima #ArulSaiful #NonaGalaAwards2026








Tiada ulasan:
Catat Ulasan