'HI TEA KARYAWAN' HIMPUN ARTIS, SASAR DANA BANTU PENGGIAT SENI!
MENIKMATI hidangan sambil berhibur dan pada masa sama menghulurkan sumbangan kepada penggiat seni yang memerlukan, itulah matlamat penganjuran Hi Tea Karyawan yang bakal berlangsung di STEG Hotel Kuala Lumpur pada 24 Oktober ini.
Bukan sekadar acara santai untuk peminat seni, majlis itu membawa misi kebajikan dengan menyasarkan kehadiran kira-kira 500 tetamu, selain menghimpunkan barisan artis yang sedia memberikan sokongan kepada rakan seperjuangan dalam industri hiburan tanah air.
Lebih menarik, tetamu bakal menikmati kira-kira 60 jenis hidangan yang disediakan, sekali gus menjadikan acara berkenaan medan pertemuan antara hiburan, gastronomi dan usaha murni membantu karyawan seni.
Hi Tea Karyawan dijadualkan berlangsung dari 12 tengah hari hingga 4 petang di Level 1, Hotel STEG, Kuala Lumpur, dengan harga penyertaan RM85 seorang.
Antara artis yang bakal memeriahkan acara ialah Rahmat Mega, Zur Eda, Helmi The Gimmick, Datin Ramziela Radzillah dan penyanyi duo kembar seiras, Aishahanim.
Penglibatan mereka bukan sahaja bertujuan menghiburkan tetamu, malah mencerminkan semangat kebersamaan dalam kalangan penggiat seni yang mahu melihat kebajikan rakan seperjuangan terus mendapat perhatian.
“Konsep high tea dipilih kerana suasananya lebih santai dan membolehkan tetamu meluangkan masa untuk menikmati makanan, berbual serta beramah mesra tanpa terikat dengan protokol yang terlalu formal,” ujar Pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Khadijah Ibrahim pada sidang akhbar Hi Tea KARYAWAN yang berlangsung di Transit @Naan Corner, Hotel STEG, Kuala Lumpur pada semalam, 4 Oktober 2026.
![]() |
| DARI kiri: Aishahanim, Syafina, Khadijah Ibrahim, Parwiz, Freddie Fernandez, Zur Eda dan Helmi. |
Turut hadir Pengerusi Naan Corner, Datuk Parwiz Kausar dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shafina Parwiz; Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez serta beberapa barisan artis yang terlibat antaranya Zur Eda, Aishahanim dan Helmi The Gimmick.
Berkongsi lanjut, Khadijah berkata, sokongan daripada pihak industri makanan menerusi Naan Corner memperlihatkan kerjasama antara sektor perniagaan dan penggiat seni dalam menjayakan inisiatif kebajikan berkenaan.
“Kerjasama seumpama itu diharap dapat menggalakkan lebih banyak syarikat korporat dan pemain industri tampil menghulurkan sokongan, sama ada melalui sumbangan mahupun penyertaan dalam program yang memberi manfaat kepada komuniti seni tanah air,” tambah Khadijah atau lebih mesra disapa ‘Ibu Khaty’.
Mengulas sasaran kutipan, Ibu Khaty memaklumkan jumlah sasaran kutipan dana masih belum ditetapkan kerana ia bergantung kepada jumlah sumbangan yang berjaya dikumpulkan pada hari berkenaan.
Sehubungan itu juga, beliau memberitahu, sokongan barisan artis juga menjadi antara kekuatan penganjuran apabila mereka bersedia menjayakan persembahan pada kadar khas sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib karyawan seni.
“Para artis terbabit akan membuat persembahan dengan harga yang dipersetujui bersama, bukan pada harga persembahan mereka yang sebenar. Ia bukan soal untung tetapi kerana mereka sayang kepada karyawan dan menyokong apa yang kita mahu lakukan,” jelasnya.
Bagi Zur Eda, Aishahanim dan Helmi The Gimmick, kesemua mereka menyatakan sokongan padu bagi menjayakan acara berkenaan waima platform seumpama itu memberi ruang kepada penggiat seni untuk berganding bahu dalam membantu rakan seperjuangan, khususnya mereka yang berdepan kesukaran.
Setiap artis yang terbabit dijangka menyampaikan tiga atau empat buah lagu termasuk yang popular mahu pun single terbaharu masing-masing seperti lagu daripada Aishahamim yang dianggotai Nooraisha Farizan dan Hanim Fariza iaitu ‘Terlalu Cinta’ ciptaan komposer Indonesia, Ade Govinda yang baharu dilancarkan minggu lalu.
Selain persembahan artis, KARYAWAN tidak ketinggalan menyediakan ruang kepada pemuzik jalanan atau buskers untuk membuat persembahan awal, sekali gus membuka peluang kepada mereka mendapatkan pendedahan dan platform dalam industri.
Usaha itu selari dengan matlamat menjadikan Hi Tea Karyawan bukan sekadar acara hiburan bermusim, tetapi ruang yang dapat mempertemukan masyarakat, penggiat seni dan sektor korporat dalam satu gerakan sokongan bersama.
Dengan gabungan barisan artis, kira-kira 60 jenis hidangan dan misi kebajikan, Hi Tea Karyawan diharap mampu menarik sokongan masyarakat untuk terus menghargai jasa penggiat seni, selain membantu memastikan kebajikan mereka tidak terpinggir..
Orang ramai yang berminat untuk menghadiri majlis berkenaan boleh membuat tempahan menerusi talian 012-262 2020. - Kak Fas Online.
#HiTeaKaryawan #Transit@NaanCorner #HotelSTEG #Sumbangan #BantuArtis #fyp




Tiada ulasan:
Catat Ulasan