'MOON OF COMPASSION 2026' SATUKAN KOMUNITI DALAM SEMANGAT KASIH SAYANG!
BERADA di tengah-tengah kemeriahan sambutan 'Moon of Compassion 2026', Kak Fas dapat merasai suasana yang cukup berbeza apabila cahaya tanglung, kemeriahan tetamu dan aktiviti kemasyarakatan bergabung dalam satu acara yang sarat dengan mesej kasih sayang.
Lebih menarik, sambutan Pesta Tanglung ‘Moon of Compassion 2026’ yang berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort itu bukan sekadar mengajak tetamu menikmati tradisi kebudayaan, sebaliknya turut membuka ruang untuk mengenali nilai kemanusiaan yang menjadi tunjang kepada penganjurannya.
Kira-kira 200 individu daripada pelbagai latar belakang budaya dan komuniti hadir memeriahkan acara bertemakan “Sharing Light, Sharing Love” anjuran Persatuan Penganut Dei Mou Ciu Gwong Gung (DMCGG) yang dipimpin oleh Pengerusinya, Damien Foo (gambar atas, lima dari kanan) itu.
Daripada suasana sambutan yang meriah hinggalah kepada perkongsian mengenai kerja kebajikan, jelas kelihatan bagaimana tradisi Pesta Tanglung dijadikan medium untuk menyampaikan mesej tentang kesyukuran, kemurahan hati, kebersamaan dan semangat membantu mereka yang memerlukan.
Damien berkata, sambutan berkenaan mencerminkan kepercayaan persatuan bahawa tradisi budaya boleh menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat tanpa mengira perbezaan latar belakang.
Selain itu, ia juga berupaya memupuk persefahaman yang lebih mendalam, hubungan yang lebih erat serta semangat kekitaan yang lebih kukuh dalam komuniti.
“Kami sentiasa percaya bahawa konsep ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ adalah kekuatan terbesar kita sebagai sebuah negara berbilang budaya.
“Sambutan hari ini membuktikan bahawa apabila kita sudi untuk berkongsi rezeki yang dikurniakan kepada kita, sesuatu perayaan itu akan menjadi jauh lebih bermakna,” katanya.
Bagi Kak Fas, antara perkara yang menarik perhatian sepanjang acara ialah bagaimana unsur perayaan dan kebajikan bergerak seiring, menjadikan sambutan itu lebih daripada sekadar acara kebudayaan.
Damien turut memaklumkan, nilai di sebalik perayaan tradisional sebenarnya boleh dikongsi oleh semua masyarakat kerana kasih sayang, kesyukuran dan keinginan untuk membantu sesama insan merupakan nilai sejagat.
“Kita tidak perlu menganuti budaya atau kepercayaan tertentu untuk memahami erti silaturahim, kesyukuran dan perkongsian, atau semangat untuk membantu keluarga lain.
“Semua ini merupakan nilai sejagat yang harus dijadikan pegangan serta dihubungkan melalui sifat belas kasihan,” ujarnya.
Menurut beliau, 'Moon of Compassion 2026' turut menjadi platform untuk DMCGG memperkenalkan usaha kebajikan yang dilaksanakan secara berterusan demi membantu komuniti yang memerlukan.
Dalam pada itu, DMCGG turut memberi perhatian kepada golongan muda dengan menggalakkan lebih ramai belia menyertai aktiviti kesukarelawanan dan khidmat masyarakat sejak usia awal.
Jelas Damien, pengalaman menjadi sukarelawan mampu memberikan pengajaran yang tidak semestinya diperoleh di dalam kelas, terutama dalam membentuk empati, tanggungjawab dan kesedaran terhadap masyarakat.
“Melalui acara ini, kami juga berharap untuk menggalakkan lebih ramai belia merasai pengalaman kesukarelawanan seawal mungkin.
“Beberapa pengajaran paling penting dalam hidup tidak boleh diajar di dalam kelas semata-mata. Apabila anda menjadi sukarelawan, anda akan belajar tentang empati, tanggungjawab dan erti sebenar memberi sumbangan kepada masyarakat,” tambahnya.
Berteraskan nilai Dei Mou atau Ibu Bumi yang melambangkan khidmat bakti tanpa mementingkan diri, kasih sayang dan keharmonian, DMCGG menyalurkan usaha kemasyarakatannya menerusi enam teras sosial utama.
Ia merangkumi pembasmian kemiskinan dan kebuluran, pemerkasaan wanita, kesihatan mental dan kesejahteraan, pendidikan, penjagaan alam sekitar serta bantuan kemanusiaan global.
Keseluruhan usaha berkenaan dipandu prinsip “Inspired by Compassion, Driven by Service, Nurturing Humanity”, selaras dengan hasrat DMCGG untuk membina komuniti yang lebih prihatin, inklusif dan saling menyokong.
Dan mungkin itulah makna sebenar cahaya yang dikongsi pada malam itu – ia bukan hanya tentang tanglung yang menerangi suasana, tetapi tentang bagaimana sedikit cahaya daripada setiap insan mampu dikongsi untuk menerangi kehidupan orang lain termasuklah pemeliharaan haiwan.
#MoonOfCompassion2026 #DMCGG #DeiMou #SharingLightSharingLove #ForYouPage








Tiada ulasan:
Catat Ulasan