Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

ROZITA ROHAIZAD KEMBALI JADI TOK BIDAN, KALI INI BELAJAR SILAT!


BUKAN
sekadar kembali ke pentas teater, penyanyi Rozita Rohaizad bakal menghidupkan semula watak Tok Bidan Somah dengan aura berbeza apabila naskhah berkenaan diberi nafas baharu menerusi pementasan Tok Bidan Somah: Asal Kembali.


Kali ini, penonton bukan sahaja bakal menyaksikan kesinambungan kisah yang pernah dipersembahkan sebelum ini, malah berpeluang menyelami sisi lebih misteri dan menyeramkan menerusi olahan baharu produksi Tamu Lestari Solutions (TLS).


Penglibatan Rozita sebagai pelakon utama menjadi antara tarikan produksi berkenaan, apatah lagi beliau sekali lagi diberi kepercayaan menggalas watak utama yang menjadi identiti kepada naskhah berkenaan.



Beliau bergandingan dengan Dahliati Aliruddin yang kembali sebagai Sujenah, manakala watak Jamlid kini dibawakan Rezal Rahman dan Mon Rosli Aswad meneruskan peranan sebagai Tok Penghulu.


Pementasan terbaharu itu turut menandakan satu lagi perkembangan perjalanan seni TLS apabila produksi berkenaan menerima jemputan mengisi slot Festival Teater Indera Loka di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.


Pengasas dan Pengarah Kreatif TLS, Nelly Ahmad menyifatkan peluang itu sebagai penghargaan terhadap usaha mengembangkan karya berkenaan, selain ruang untuk memperkenalkan pendekatan penceritaan yang lebih segar.



Menurutnya, TLS percaya karya yang sama boleh terus berkembang menerusi kreativiti dan pengolahan berbeza, sekali gus menawarkan pengalaman baharu kepada penonton.


Menerusi Tok Bidan Somah: Asal Kembali, kisah asal dikekalkan tetapi diperkaya dengan elemen misteri dan seram bagi memberikan dimensi berbeza kepada pementasan kali ini.


Nelly berkata, meskipun TLS masih sebuah produksi yang sedang berkembang, semangat, pengalaman dan kesepakatan seluruh tenaga produksi menjadi kekuatan utama dalam merealisasikan setiap pementasan.



“Kami mungkin masih bertatih, tetapi kami tidak pernah berhenti berkarya. Setiap pementasan adalah satu langkah untuk membuktikan bahawa sebuah karya boleh terus hidup, berkembang dan memberikan pengalaman baharu kepada penonton,” katanya.


Dalam pada itu, Rozita melahirkan rasa terujanya dapat meneruskan minatnya dalam pementasan teater.


"Ramai yang mengenali saya sebagai penyanyi daripada pelakon teater yang telah saya ceburi sejak tahun 80-an dan kali ini melalui teater Tok Bidan Somah ini saya berpeluang menambahkan kemahiran di mana saya dah belajar bersilat," cerita anak seniwati Mariani Ismail ini.



Menurutnya, beliau rasa lebih selesa apabila pengarah memberikannya kebebasan untuk berlakon mengikut gayanya tersendiri waima beliau belum pernah memegang watak bidan.


Tok Bidan Somah: Asal Kembali yang ditulis dan diarahkan Nelly Ahmad bakal dipentaskan pada 24 November 2026, jam 8.30 malam di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.


Bagi peminat Rozita dan mereka yang pernah mengikuti dua pementasan terdahulu, kemunculan semula Tok Bidan Somah kali ini pastinya dinantikan untuk melihat bagaimana watak berkenaan kembali dengan sisi lebih misteri dan menyeramkan.



#TokBidanSomahAsalKembali @DBP #RozitaRohaizad #NellyAhmad #Teater $fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan