Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

MIBS 2026 SASAR PERDAGANGAN, KOLABORASI MERENTAS ASEAN, BERMULA 3 DIS!


MENGHUBUNGKAN
perniagaan dengan perniagaan serta membuka akses kepada pasaran baharu menjadi fokus utama Pameran Penjenamaan Antarabangsa Malaysia  (MIBS 2026) yang bakal menghimpunkan pemain industri tempatan dan antarabangsa di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Disember ini.


Lebih 700 ruang pameran membabitkan syarikat dan delegasi dari Malaysia serta pelbagai negara dijangka merancakkan MIBS 2026 yang akan berlangsung dari 3 hingga 5 Disember ini.


Penganjuran edisi ke-21 itu bukan sekadar mengetengahkan produk dan jenama, malah memberi tumpuan kepada padanan perniagaan, jaringan industri serta peluang syarikat tempatan dan antarabangsa meneroka pasaran Malaysia dan ASEAN.


MIBS 2026 dianjurkan Persatuan Perniagaan Antarabangsa Promas Malaysia

(PROMAS) dan Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), dengan sokongan MATRADE,  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan rakan strategiknya iaitu Agensi Halal Antarbangsa Malaysia (MIHA) serta 60 persatuan perdagangan dan organisasi perniagaan tempatan dan antarabangsa.


Presiden Kehormat Seumur Hidup PROMAS, Lady Puan Sri Dr. Susan Cheah berkata, selepas lebih dua dekad, MIBS terus memainkan peranan menghubungkan perniagaan dengan perniagaan serta membantu syarikat mencari pembeli, pengedar dan rakan strategik untuk menembusi pasaran baharu.



Menurut beliau, dalam landskap perniagaan global yang berubah pantas, produk yang baik sahaja tidak mencukupi untuk membawa sesebuah syarikat ke pasaran antarabangsa.


“Perniagaan memerlukan hubungan yang tepat dengan pembeli, pengedar dan rakan niaga untuk memasuki pasaran baharu dan berkembang di peringkat antarabangsa.


“Dengan kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah Asia Tenggara, MIBS menyediakan platform kepada perniagaan Malaysia dan antarabangsa untuk berhubung serta meneroka peluang di pasaran Asia yang lebih luas,” katanya pada sidang media MIBS 2026 yang berlangsung di Riverside Tanjung, WTC pada semalam, 29 September 2026.


Turut hadir antaranya Presiden PROMAS, Datuk Chong Chong Tik; Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), Datuk Seri Abu Hassan Mohd Nor dan Pengerusi Zajas Sdn Bhd merangkap rakan strategik MIHA , Datuk Zainal Abidin Jaafar dan ramai lagi.



Menyambung ucapan aluannya, Dr. Susan Cheah memaklumkan, MIBS 2026 akan menampilkan penyertaan dari Malaysia, Jepun, Korea Selatan, India, Zhejiang, Jilin dan Bozhou di China, Taiwan, Indonesia, Singapura, Bangladesh serta beberapa negara dan wilayah lain, dengan kira-kira 10,000 pengunjung perdagangan dan perniagaan dijangka hadir sepanjang tiga hari pameran.


Sementara itu,  Zainal Abidin berkata, ekonomi halal kini berkembang jauh melangkaui makanan dan minuman, merangkumi sektor kesihatan dan kesejahteraan, penjagaan diri, kosmetik, farmaseutikal, produk pengguna, logistik serta perkhidmatan.



Jelasya, konsep halal tidak seharusnya dilihat hanya sebagai keperluan pensijilan kerana ia turut membantu membina keyakinan pengguna, memperkukuh kualiti produk, meningkatkan akses pasaran dan menyokong pengembangan perniagaan ke peringkat global.


“Produk yang baik sahaja tidak mencukupi untuk berjaya di pasaran baharu. Perniagaan perlu memahami keperluan pasaran, berhubung dengan pembeli dan pengedar serta, paling penting, bertemu rakan niaga yang tepat.


“Di sinilah platform seperti MIBS 2026 boleh memainkan peranan penting dengan menghimpunkan pengilang, pemilik jenama, pengimport, pengeksport, pengedar dan pembeli,” tambahnya.


Katanya, pendekatan itu berpotensi membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan Malaysia untuk berkembang di rantau ASEAN dan pasaran antarabangsa lain.


“Saya menggalakkan usahawan dan pemilik jenama memanfaatkan sepenuhnya MIBS 2026 untuk bertemu pembeli, memahami keperluan pasaran, meneroka kerjasama dan membina perkongsian baharu,” akhirinya.


Dalam masa sama, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia atau MIDA selaku rakan strategik turut menyambut baik penganjuran MIBS sambil berkata, penjenamaan bukan sekadar berkaitan logo atau penampilan sesuatu produk, sebaliknya bagaimana sesebuah syarikat membina nilai dan reputasi yang mampu membawa jenama ke pasaran lebih luas.


MIDA komited untuk terus menjadi platform yang menghubungkan usahawan, pemain industri dan agensi strategik, khususnya dalam membuka peluang perdagangan, pelaburan, kolaborasi dan pengembangan pasaran.


MIBS 2026 turut mengetengahkan sektor yang pelbagai, antaranya dalam bidang e-dagang bagi membantu produk Malaysia dan China menembusi pasaran masing-masing.


Sehubungan itu, Pengurus Besar Osor Trading Sdn Bhd Malaysia yang bertanggungjawab terhadap perdagangan antara Malaysia dan Guangzhou, Robbin Hou (kiri), berkata, lebih 60 hingga 70 peratus pempamer tahun ini dijangka terdiri daripada peserta antarabangsa, khususnya dari China, selain penyertaan dari Taiwan menerusi Taiwan Selected Pavilion.



Katanya, pavilion berkenaan akan mengetengahkan produk terpilih dari Taiwan, selain membuka peluang kepada pemain perniagaan Malaysia yang mempunyai hubungan dengan Taiwan untuk meneroka kerjasama baharu.


Beliau berkata penggunaan e-dagang turut menjadi antara pendekatan bagi membantu pempamer dari Malaysia dan China memperluas pasaran masing-masing.


“Selain padanan perniagaan, kami turut bekerjasama dengan platform e-dagang seperti Pinduoduo, TikTok dan Xiaohongshu bagi membantu pempamer mempromosikan produk mereka.


“Kami berharap melalui e-dagang, kami dapat membantu pempamer dari China dan Malaysia memperluas pasaran serta meningkatkan peluang perniagaan,” katanya.


MIBS 2026 turut memberi perhatian kepada bidang kesihatan tradisional menerusi Malaysia International Traditional & Complementary Health Forum (MTH 2026) serta forum khas ASEAN-China 4+3 berkaitan perubatan tradisional Cina dan herba.


Robbin menambahkata, forum itu dijangka menghimpunkan pakar dan profesional dari Malaysia, China, Jepun, Korea Selatan, Indonesia serta beberapa negara lain untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman berkaitan perubatan tradisional.


Dalam pada itu, Mohammad Daniel Yee Abdullah (gambar atas, tengah) selaku Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Tanaman Industri Pembangunan, Jabatan Pertanian Malaysia, yang terlibat dalam industri herba pula berkata, Malaysia mempunyai kepelbagaian warisan penjagaan kesihatan tradisional daripada masyarakat Melayu, Cina dan India yang berpotensi diketengahkan kepada generasi baharu.


“Kita mempunyai pelbagai bentuk perubatan tradisional daripada masyarakat Melayu, Cina dan India. Kita mahu mengumpulkan serta mengetengahkan semua elemen ini untuk dikembangkan sebagai satu pendekatan baharu dalam industri herba dan penjagaan kesihatan tradisional Malaysia,” jelasnya.



Selain pameran, MIBS 2026 akan menganjurkan beberapa sesi padanan perniagaan khusus termasuk Malaysia Tea Culture Forum 2026, Malaysia International Lighting & Electronics Business Matching 2026, Zhejiang Export Products (Malaysia) Business Matching 2026 serta Jilin Export Products & Taiwan Select Business Matching 2026.


Program Business Matching Sessions akan menghubungkan pembeli profesional tempatan dan antarabangsa secara langsung dengan pempamer, termasuk pengilang, pemilik jenama, pengimport, pengeksport dan pengedar.


MIBS 2026 juga akan memperkenalkan Buyer Programme dengan menjemput persatuan perdagangan dan organisasi perniagaan di seluruh Malaysia membawa delegasi pembeli ke pameran berkenaan.


Kumpulan pembeli seramai 25 orang atau lebih akan ditawarkan pengangkutan bas pergi balik secara percuma, manakala pembeli korporat yang layak akan menerima penginapan satu malam di hotel bertaraf tiga bintang.



“Peluang ini perlu disambut oleh usahawan tempatan yang mahu mengembangkan perrniagaan mereka ke peringkat global khususnya bagi mereka yang ingin tahu lebih mendalam mengenai industri AI, “ ujar Abu Hassan kala ditemui.


Berlangsung dari 10 pagi hingga 6 petang, MIBS 2026 menyasarkan untuk terus memperkukuh hubungan antara perniagaan Malaysia dan antarabangsa, selain membantu syarikat meneroka peluang di Malaysia serta pasaran ASEAN.


Dengan tema “Connecting International Brands with ASEAN Markets”, MIBS 2026 mengalu-alukan pemimpin perniagaan, usahawan, pembeli dan profesional perdagangan dari Malaysia serta seluruh dunia untuk membina jaringan, meneroka peluang baharu dan mengembangkan pasaran. - Kak Fas Online.



#MIBS2026 #MalaysiaChina #ASEAN #PROMAS #MATRADE #DPUM #JAKIM #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan