118 MALL BAWA PENGUNJUNG MENYELAMI DUNIA MAGIS KRISMAS!
BAYANGKAN melangkah masuk ke sebuah dunia dongeng yang dipenuhi dekorasi Krismas, hutan ajaib, buku cerita gergasi dan kilang hadiah Santa Claus yang dibina daripada ribuan bata LEGO!
Pengalaman penuh keajaiban itu kini menanti pengunjung di 118 Mall menerusi sambutan perayaan sulung bertemakan The Living Storybook, yang berlangsung dari 19 November hingga 27 Disember ini.
Lebih istimewa, destinasi beli-belah terbaharu di presint ikonik Merdeka 118 itu turut bekerjasama dengan The LEGO Group bagi membawakan LEGO Santa’s Toy Factory, acara Krismas LEGO terbesar di Malaysia setakat ini.
Mengambil ruang keseluruhan seluas 15,000 kaki persegi di The Atmosphere, Aras 4, kedua-dua tarikan itu menjanjikan pengalaman perayaan yang bukan sahaja memukau dari segi visual, malah sarat dengan aktiviti interaktif untuk dinikmati seisi keluarga.
Berlatarbelakangkan kubah kaca berdiameter 88 meter, suasana perayaan di ruang berkenaan tampil cukup istimewa apabila cahaya matahari semula jadi menerangi kawasan itu pada waktu siang, sebelum bertukar menjadi pentas visual berwarna-warni menerusi paparan skrin LED menjelang malam.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Dato’ Ir. Ts. (Dr.) Izwan Ibrahim berkata, sambutan akhir tahun yang julung kali dianjurkan itu dirancang untuk menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung, selain menggalakkan mereka meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan-rakan.
Menurutnya, 118 Mall bukan sekadar destinasi membeli-belah, sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha menghidupkan Merdeka 118 sebagai sebuah presint bertaraf dunia yang menawarkan pelbagai tarikan untuk diterokai.
DUNIA DONGENG YANG MENJADI KENYATAAN
Menerusi The Living Storybook, pengunjung dibawa menyusuri pengembaraan penuh imaginasi bermula dari The Living Storybook Portal, sebuah pintu gerbang yang dihiasi helaian buku cerita bersaiz gergasi serta dekorasi klasik Krismas.
Perjalanan diteruskan melalui Canopy Walkway yang dihiasi pokok-pokok perayaan dan perhiasan berkilauan sebelum pengunjung tiba di Giant Book Staircase, struktur tangga berbentuk buku gergasi yang menjadi antara lokasi menarik untuk merakam kenangan.
Tidak ketinggalan, Enchanted Forest yang dihiasi elemen alam semula jadi dan cahaya lampu berwarna-warni turut menghidupkan suasana seolah-olah berada di sebuah dunia fantasi.
Antara tarikan utama ialah Santa Sleigh yang dihias indah serta Wishing Tree setinggi 40 kaki yang menjadi simbol harapan dan kegembiraan sempena musim perayaan.
Pengunjung juga berpeluang bertemu dan bergambar bersama Santa Claus dan Santarina pada tarikh terpilih, selain menyertai pelbagai bengkel kreatif termasuk menghasilkan hiasan gantung Krismas, perhiasan daripada bahan kitar semula, miniatur perkampungan Krismas serta lampu hiasan daripada bahan terpakai.
Sesi bertemu Santa dan Santarina berlangsung pada 28 November, 5 dan 6 Disember, pukul 3 petang serta 29 November, pukul 6 petang.
Sementara itu, bengkel kreatif dijadualkan pada 29 November serta 5 dan 6 Disember, pukul 4 petang.
Majlis pelancaran sambutan perayaan itu turut diserikan dengan persembahan koir membabitkan 85 ahli The Philharmonic Society of Selangor (The Phil) yang mengalunkan lagu-lagu Krismas.
Selain menghidupkan suasana perayaan, persembahan berkenaan turut mencerminkan komitmen The Phil terhadap aktiviti kemasyarakatan, termasuk menyalurkan sumbangan kepada Persatuan Orang Buta Malaysia serta menganjurkan konsert percuma bagi meraikan warisan muzik Malaysia.
LEGO SANTA’S TOY FACTORY, PENGALAMAN KRISMAS LUAR BIASA
Satu lagi tarikan yang pastinya mencuri perhatian ialah LEGO Santa’s Toy Factory yang meliputi ruang seluas 5,769 kaki persegi.
Menerusi pengalaman interaktif itu, pengunjung khususnya kanak-kanak berpeluang menjadi pembantu Santa Claus dan menyertai misi menghasilkan serta menguruskan hadiah Krismas menerusi empat cabaran permainan LEGO.
Antara aktiviti disediakan ialah Team Photo yang membolehkan pengunjung memilih minifigure LEGO kegemaran dan mendapatkan kad pengenalan minifigure masing-masing.
Cabaran Snowman’s Gift Racer pula menguji kreativiti peserta membina kereta luncur salji mini menggunakan bata LEGO sebelum melancarkannya di landasan untuk melihat sejauh mana ia mampu bergerak.
Pengunjung turut boleh menyerlahkan kreativiti menghias biskut Krismas menerusi Gingerbread’s Bakery, selain menguji ketangkasan dan koordinasi di Santa’s Sorting Station dengan menyusun bata LEGO mengikut warna melalui laluan yang disediakan.
Peserta akan menerima cop bagi setiap cabaran yang berjaya diselesaikan menerusi Factory Mission Badge.
Lebih menarik, kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun berpeluang menebus set LEGO Make & Take eksklusif, sama ada Holiday Ornament Cataclaws atau 30692 Christmas Chimney Fun with Santa.
Manakala peserta berusia 13 tahun ke atas akan menerima baucar LEGO eksklusif, tertakluk kepada ketersediaan stok.
Pengunjung juga berpeluang bertemu dan bergambar bersama maskot LEGO Santa dan LEGO Reindeer pada setiap Sabtu dan Ahad sepanjang tempoh kempen serta 24 dan 25 Disember.
Sesi pertemuan itu berlangsung pada pukul 1 petang, 4 petang, 6 petang dan 8 malam.
Bagi menambah keterujaan, aktiviti Santa’s Gift Launcher turut diperkenalkan kepada pengunjung yang membuat pembelian di ruang jualan LEGO.
Menerusi aktiviti itu, peserta berpeluang menyambut hadiah LEGO eksklusif yang dilambungkan ke udara untuk dibawa pulang. Sebanyak 50 hadiah disediakan bagi setiap sesi yang berlangsung pada pukul 1.15 petang dan 8.15 malam, setiap Sabtu dan Ahad sepanjang Disember serta 24 dan 25 Disember.
Pengurus Besar The LEGO Group bagi Singapura, Malaysia dan Peruncitan Pelancongan Asia Pasifik (APAC), Nina Patricia Da Costa berkata, pihaknya teruja menjadi sebahagian daripada sambutan perayaan pertama 118 Mall menerusi pengalaman yang menggalakkan keluarga meneroka kreativiti dan imaginasi melalui aktiviti bermain bersama.
GANJARAN ISTIMEWA MENANTI PENGUNJUNG
Melengkapkan kemeriahan sambutan, 118 Mall turut menawarkan promosi Hadiah dengan Pembelian (GWP) menerusi penebusan set hadiah LEGO eksklusif.
Pengunjung hanya perlu membuat pembelian minimum RM500 menerusi maksimum tiga resit pada hari sama untuk menikmati tawaran berkenaan.
Bagaimanapun, pemegang Kad Maybank atau pengguna Maybank Scan & Pay boleh menikmati tawaran istimewa itu dengan perbelanjaan minimum RM400.
Keseluruhan pengalaman perayaan ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung menikmati suasana Krismas yang berbeza, malah menjadikan 118 Mall destinasi menarik untuk mencipta kenangan bersama keluarga dan rakan-rakan menjelang penghujung tahun.
Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti, bengkel dan promosi, layari laman web https://118mall-kl.com atau ikuti @118mall menerusi Instagram dan TikTok.
Tertakluk kepada terma dan syarat serta ketersediaan stok.
#Merdeka118. #TheLivingStoryBook #LegosSantaToyFactory #118Mall #SantaClaus




Tiada ulasan:
Catat Ulasan