Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

TOURISM MALAYSIA, OPPO PERKASA PROMOSI MALAYSIA MENERUSI LENSA DIGITAL!


KEINDAHAN
Malaysia kini bakal dipersembahkan menerusi perspektif lebih kreatif dan dekat dengan generasi digital apabila Tourism Malaysia menjalinkan kerjasama strategik bersama OPPO Malaysia bagi memperkukuh promosi pelancongan negara menerusi kuasa fotografi mudah alih.


Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Kerjasama (MoC) antara Tourism Malaysia yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia bersama Pengarah Pemasaran OPPO Malaysia, Monica Qin.


Majlis yang berlangsung di Hilton Kuala Lumpur pada semalam, 8 Oktober 2026 itu sekali gus membuka ruang kepada pelbagai aktiviti promosi dan pengalaman pelancongan berteraskan teknologi digital.


Malah, usaha  berkenaan jelas mencerminkan komitmen bersama dalam memacu inovasi pelancongan digital serta mengubah cara pelancong merakam keindahan landskap negara.


“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan OPPO Malaysia kerana kerjasama ini bukan sahaja mengetengahkan keindahan dan karakter unik Malaysia, tetapi turut meraikan kreativiti jurugambar kita yang berbakat melalui seni dan imej,” ujar Mohd Akbal.



Menurut beliau, kerjasama itu hadir pada masa yang tepat susulan peningkatan akses penerbangan terus dari Singapura dan Jakarta ke Kota Bharu, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai pelancong serantau meneroka Kelantan.


“Kerjasama ini juga meneruskan Strategic Communication Programme terdahulu di Kelantan yang membabitkan 15 peserta daripada OPPO Malaysia. Kami gembira dapat meneruskan kolaborasi ini dalam mengetengahkan destinasi serta pengalaman unik Malaysia menerusi kuasa penceritaan visual,” tambahnya.


Katanya lagi, Kelantan mempunyai keunikan tersendiri sebagai destinasi budaya menerusi kekayaan warisan, seni tradisional serta sajian ikonik tempatan seperti nasi kerabu dan pelbagai juadah tradisional.


Menerusi MoC berkenaan, Tourism Malaysia dan OPPO Malaysia akan melaksanakan pelbagai aktiviti promosi bersama serta inisiatif pelancongan berasaskan pengalaman dengan memanfaatkan teknologi telefon pintar berkemampuan tinggi OPPO.


Kerjasama itu turut memberi fokus kepada fotografi mudah alih yang digabungkan dengan tawaran gaya hidup bagi memperkayakan pengalaman pelancong, selain berpotensi meningkatkan tempoh penginapan dan penerimaan hasil pelancongan negara.



Sementara itu, Monica berkata, OPPO percaya imej mempunyai kuasa besar dalam menyampaikan sesuatu kisah, terutama dalam mengetengahkan kepelbagaian pengalaman yang terdapat di Malaysia.


“Di OPPO, kami sentiasa percaya bahawa kisah paling berkuasa disampaikan menerusi imej, dan Malaysia sememangnya tidak pernah ketandusan cerita yang wajar dikongsi.


“Kami amat menghargai Tourism Malaysia atas kerjasama berterusan dalam menjayakan kempen ini. Kami terus kagum dengan jurugambar dan pencipta kandungan yang menerokai siri Find dan menjadikannya sebagai karya mereka sendiri.


“Keupayaan mereka menemukan keindahan dalam sesuatu yang tidak dijangka memberikan jiwa kepada kempen ini. Bersama-sama, kami berharap imej ini dapat memberi inspirasi kepada dunia untuk melihat Malaysia bukan sekadar destinasi, tetapi satu pengalaman yang menanti untuk diterokai,” ujar Monica.



Kerjasama berkenaan turut dilihat selari dengan kesinambungan kempen Visit Malaysia 2026–2027 yang membuka lebih banyak peluang untuk memperkukuh daya tarikan Malaysia di peringkat antarabangsa.


Pendekatan menerusi teknologi pengimejan pintar dijangka dapat merangsang interaksi digital, selain menggalakkan pelancong meneroka lebih banyak tarikan tempatan dan berkongsi pengalaman autentik mereka menerusi platform digital.


Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia merekodkan 28.8 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, meningkat 1.8 peratus berbanding 28.2 juta dalam tempoh sama tahun lalu.


Kempen itu turut menghimpunkan jurugambar dan pembikin filem untuk merakam 10 kisah mengenai dedikasi mereka terhadap seni masing-masing, yang kemudiannya dihimpunkan dalam sebuah buku meja kopi sebagai dokumentasi dan khazanah untuk generasi akan datang.


Kerjasama strategik antara Tourism Malaysia dan OPPO Malaysia dijangka dapat menyumbang kepada momentum positif itu menerusi pendekatan promosi yang menggabungkan teknologi, kreativiti dan pengalaman pelancongan.


“Kami mahu memperluaskan usaha itu dengan merakam lebih banyak kisah berkaitan seni, warisan dan budaya Malaysia. Dalam dunia digital hari ini, telefon pintar yang dilengkapi kamera berkeupayaan tinggi bukan sahaja menjadi alat untuk menghasilkan kandungan, malah boleh menjadi sahabat terbaik kepada jurugambar dan pencipta kandungan profesional dalam menyampaikan kisah yang lebih bermakna,” sambung Monica.


Beliau turut melahirkan rasa teruja untuk memperkenalkan generasi baharu telefon pintar flagship Find X10 Series yang bakal dilancarkan pada 22 Oktober. 


Selain itu, OPPO akan memperkenalkan OPPO Studio yang menawarkan siri kelas master fotografi dan videografi bagi membantu pengguna memanfaatkan sepenuhnya kemampuan telefon pintar OPPO, untuk menghasilkan karya dan cerita yang lebih bermakna.


Tourism Malaysia pada masa sama kekal komited untuk memperluaskan kerjasama dengan peneraju teknologi bagi memanfaatkan inovasi digital dalam memodenkan penceritaan destinasi, merangsang permintaan pelancongan serta menyokong pertumbuhan sektor pelancongan Malaysia secara mampan. - Kak Fas Online.



#TourismMalaysia #OPPOMalaysia #FindX10Series  #OPPOStudio #TelefonPintar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan