Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

FIPPER PERLUAS SAYAP GLOBAL, LANCAR 'KUALA LUMPUR TRAVEL PASSPORT'!


DARIPADA
jenama kasut berasaskan getah asli kepada pemain yang turut meneroka industri pelancongan dan gaya hidup, Fipper terus melangkah ke hadapan apabila memasuki tahun ke-18 penubuhannya menerusi perasmian ibu pejabat baharu di Balakong Jaya, Selangor.


Lebih menarik, jenama tempatan itu turut melancarkan Kuala Lumpur Travel Passport, satu inisiatif yang memanfaatkan rangkaian peruncitannya untuk menggalakkan pelancong meneroka tarikan ibu negara, sekali gus menyokong perniagaan tempatan.


Majlis perasmian dan pelancaran itu disempurnakan baru-baru ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, dengan kehadiran Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Faizal Mahmod, barisan pengarah Fipper, Jean Tan, Danny Goh dan Koon, serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jee Von.



Turut hadir wakil kerajaan, rakan perniagaan, pemegang francais, pembekal dan warga kerja Fipper.


Ditubuhkan pada 2008, Fipper kini mempunyai 150 cawangan utama di 20 negara, termasuk pembukaan 40 cawangan baharu di Indonesia sejak pertengahan 2025, sekali gus memperlihatkan perkembangan jenama itu dalam pasaran antarabangsa.


Perasmian ibu pejabat baharu berkenaan menjadi simbol perjalanan dan pertumbuhan Fipper sepanjang 18 tahun, selain mencerminkan komitmen syarikat untuk terus memperkukuh operasi serta meneroka peluang perniagaan baharu.


Bangunan itu turut menempatkan Fipper Experience Centre, ruang interaktif yang mengetengahkan sejarah dan pencapaian jenama berkenaan menerusi reka bentuk kreatif, termasuk lantai unik yang dihasilkan menggunakan tapak selipar Fipper.



Ketua Pegawai Eksekutif Fipper, Jee Von, berkata, pencapaian itu merupakan hasil sokongan berterusan warga kerja, rakan perniagaan dan pelanggan yang bersama-sama menyumbang kepada perkembangan syarikat.


“Ketika Fipper bermula 18 tahun lalu, impian kami cukup sederhana, iaitu menghasilkan kasut yang tahan lasak, selesa dan berkualiti tinggi berasaskan getah asli.


“Hari ini, Fipper telah berkembang dengan rangkaian 150 cawangan utama di 20 negara. Ibu pejabat baharu ini menjadi simbol perjalanan dan usaha bersama seluruh warga Fipper,” katanya.


Sementara itu, pelancaran Kuala Lumpur Travel Passport memperlihatkan usaha Fipper untuk memainkan peranan lebih luas dalam mempromosikan pelancongan ibu negara, selain menghubungkan pengalaman membeli-belah dengan penerokaan destinasi menarik.


Inisiatif berkenaan memanfaatkan rangkaian peruncitan Fipper sebagai platform untuk memperkenalkan pengalaman pelancongan di Kuala Lumpur, selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.



Hannah menyifatkan usaha itu sebagai langkah positif yang membuktikan jenama tempatan mampu menyumbang kepada usaha mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi yang meninggalkan kenangan bermakna kepada pelancong.


“Kadangkala, perkara kecil yang membuatkan seseorang mengingati sesebuah bandar. Mungkin kerana makanan yang enak, layanan mesra peniaga, sesuatu yang dibeli ketika melancong, malah sepasang selipar.


“Inisiatif seperti ini menunjukkan bagaimana perniagaan tempatan boleh memainkan peranan dalam menjadikan Kuala Lumpur sebuah destinasi yang terus diingati oleh para pengunjung,” katanya.


Beliau turut memuji usaha Fipper menggabungkan pengalaman membeli-belah dengan promosi pelancongan, yang berpotensi memberikan nilai tambah kepada industri pelancongan serta merancakkan perniagaan tempatan.



Dalam perkembangan lain, Fipper turut memperkenalkan Fipper Monster Resort Blind Box, konsep koleksi karakter yang menggabungkan elemen permainan digital interaktif, selain melancarkan kolaborasi Fipper | Montigo Tumbler sebagai sebahagian daripada langkah memperluas penawaran produk gaya hidup.


Pengenalan produk berkenaan mencerminkan usaha Fipper untuk terus berinovasi dan meneroka segmen baharu, seiring perubahan keperluan serta minat pengguna.


Dengan pembukaan ibu pejabat baharu, pelancaran Kuala Lumpur Travel Passport dan peluasan rangkaian produk, Fipper berhasrat terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama Malaysia yang berdaya saing di peringkat antarabangsa, di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan industri pelancongan negara.



#FipperMalaysia #KualaLumpurTravelPassport #FipperMonsterResortBlindBox #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan