WATSONS PLUS, GEDUNG TERBESAR DI LOT 10, HIMPUN 17,000 PRODUK, ADA PELBAGAI TARIKAN!
BAYANGKAN sebuah destinasi yang membolehkan pengunjung meneroka trend kecantikan Asia, mendapatkan rawatan diri, menikmati minuman istimewa, membeli snek tempatan dan membawa pulang cenderamata Malaysia, semuanya di bawah satu bumbung.
Itulah pengalaman yang cuba diketengahkan Watsons Malaysia menerusi pembukaan Watsons Plus di Isetan Lot 10, Bukit Bintang, yang memperkenalkan pendekatan baharu dalam menggabungkan kesihatan, kecantikan dan gaya hidup dalam satu destinasi membeli-belah.
Berukuran lebih 18,000 kaki persegi, gedung itu merupakan cawangan Watsons terbesar di Malaysia dan yang ke-888 sejak jenama berkenaan mula beroperasi di Johor Bahru pada 1994.
Lebih daripada sekadar ruang membeli-belah, Watsons Plus turut diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai Kedai Runcit Kesihatan dan Kecantikan Terbesar, sekali gus mengukuhkan usaha jenama itu meneroka pengalaman peruncitan yang lebih interaktif dan berorientasikan gaya hidup.
Pengarah Urusan Serantau, Kesihatan dan Kecantikan Asia, AS Watson Group merangkap Pengarah Eksklusif Serantau, Watsons International, Caryn Loh berkata, pembukaan itu mencerminkan evolusi Watsons dalam memenuhi perubahan keperluan dan aspirasi pengguna.
Menurutnya, sejak lebih 32 tahun beroperasi di Malaysia, Watsons terus komited membantu pelanggan mencapai matlamat ‘Look Good, Do Good, Feel Great’ dengan menjadikan kesihatan, kecantikan dan kesejahteraan sebahagian daripada kehidupan seharian.
“Sejak membuka cawangan pertama kami di Johor Bahru pada tahun 1994, Watsons Malaysia telah berkembang kepada 888 cawangan di seluruh negara, mencerminkan komitmen berterusan kami untuk berkembang seiring dengan perubahan keperluan dan aspirasi pelanggan.
“Pembukaan Watsons Plus yang pertama di dunia menandakan satu pencapaian baharu yang mengujakan dalam perjalanan kami. Lebih daripada sekadar gedung terbesar kami di Malaysia, Watsons Plus ialah langkah berani dalam membentuk masa depan peruncitan dengan menggabungkan inovasi, pemperibadian, penerokaan serta pengalaman luar talian dan dalam talian yang lancar, sekali gus mewujudkan pengalaman pelanggan yang lebih menarik, memberi inspirasi dan bermakna,” ujar Caryn.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Watsons Plus di Lot 10 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AS Watson Group, Dr Malina Ngai,
Duta Watsons Ayda Jebat, Phei Yong dan Mekyun; wakil Isetan dan ZUS COFFEE; rakan niaga; Watsons Celebrity Friends serta ahli Watsons Club.
Pembukaan Watsons Plus turut bertepatan dengan ulang tahun ke-185 AS Watson Group, yang terus memberi penekanan terhadap inovasi serta pengalaman membeli-belah berteraskan pelanggan.
Para tetamu berpeluang merasai sendiri pengalaman di kedai berkonsep baharu ini dengan meneroka rangkaian produk kesihatan, kecantikan, kesejahteraan dan gaya hidup yang menyeluruh, ciri peruncitan inovatif serta pengalaman interaktif yang direka untuk mentakrifkan semula masa depan membeli-belah.
Penerokaan Dunia Kecantikan Asia:
Antara tarikan utama Watsons Plus ialah pilihan lebih 17,000 produk kesihatan, kecantikan, kesejahteraan dan gaya hidup yang memenuhi keperluan pelbagai peringkat usia.
Peminat kecantikan boleh meneroka Beauty Verse yang mengetengahkan trend J-Beauty dari Jepun, K-Beauty dari Korea Selatan dan C-Beauty dari China, selain rangkaian penjagaan kulit premium menerusi Luxe Skincare.
Turut disediakan ialah Mask Library yang menawarkan pelbagai pilihan pelitup muka, Malaysian Beauty yang mengetengahkan produk kecantikan tempatan serta kategori Slow Aging untuk mereka yang berminat dengan penjagaan kulit berfokuskan penuaan.
Pengunjung juga boleh meneroka solusi Sleep & Calm, produk K-Health serta zon Hair Health dan Hair Experts yang memberi tumpuan kepada penjagaan rambut dan kulit kepala.
Bagi melengkapkan konsep moden itu, elemen batik kontemporari diterapkan dalam reka bentuk dalaman sebagai penghormatan kepada warisan budaya Malaysia, sekali gus memberikan identiti tempatan kepada destinasi berkenaan.
Cita Rasa dan Warisan Malaysia:
Keistimewaan Watsons Plus turut terletak pada usaha memperluas pilihan kepada produk makanan dan barangan gaya hidup yang mencerminkan kepelbagaian budaya tempatan.
Menerusi Taste of Malaysia, pengunjung boleh menemui pelbagai pilihan snek, minuman dan makanan istimewa Malaysia, termasuk produk berasaskan durian dan kelapa, coklat, biskut, kerepek, aiskrim, produk tenusu serta buah-buahan segar.
Pilihan itu memberikan peluang kepada pelancong untuk mengenali cita rasa tempatan, selain memudahkan pelanggan Malaysia mendapatkan pelbagai produk kegemaran dalam satu kunjungan.
Ruang Malaysia Cultural Souvenir pula menawarkan pilihan cenderamata dan barangan berinspirasikan identiti negara, merangkumi pakaian, permainan, barangan koleksi, kelengkapan kediaman, produk penjagaan haiwan peliharaan serta aksesori perjalanan.
Sementara itu, ASEAN Snacks Corner membuka ruang kepada pengunjung meneroka snek popular dari negara-negara serantau, sekali gus menambah dimensi baharu kepada pengalaman membeli-belah di tengah-tengah kawasan tumpuan pelancong Bukit Bintang.
Penjagaan Diri Dalam Suasana Lebih Santai:
Watsons Plus turut menawarkan pelbagai perkhidmatan yang membolehkan pelanggan menggabungkan aktiviti membeli-belah dengan penjagaan diri.
Antaranya ialah Scalp Wash Studio oleh Number76 yang menyediakan perkhidmatan cucian kulit kepala dan urutan, selain perkhidmatan profesional untuk kuku, kening dan bulu mata.
Pengunjung juga boleh mendapatkan perkhidmatan imbasan kulit dan kulit kepala bagi membantu mereka meneroka keperluan penjagaan diri, manakala Watsons Pharmacy yang dipertingkatkan menawarkan konsultasi serta perkhidmatan kesihatan.
Bagi ahli Watsons Club, ruang eksklusif Club Lounge menyediakan persekitaran lebih selesa dengan perkhidmatan ahli yang diperibadikan.
Keluarga yang membawa anak-anak pula boleh memanfaatkan Fun Zone, iaitu ruang permainan khas yang melengkapkan pengalaman mesra keluarga di gedung berkenaan.
Gabungan perkhidmatan itu mencerminkan usaha Watsons memperluas peranannya daripada peruncit produk kesihatan dan kecantikan kepada destinasi yang turut menawarkan kemudahan penjagaan diri dan kesejahteraan.
Sentuhan Kopi Eksklusif Bersama ZUS COFFEE:
Menambahkan lagi keistimewaan pengalaman ini ialah kerjasama eksklusif dengan ZUS COFFEE yang membawa konsep kafe khas ke Watsons Plus.
Pelanggan boleh menikmati pilihan minuman istimewa, termasuk Iced Strawberry Blue Matcha Latté yang dirumus khas, serta menerima sarung cawan dan pek pelekat eksklusif secara percuma, yang hanya ditawarkan di Watsons Plus, Isetan Lot 10.
Orang ramai boleh mengunjungi Watsons Plus di Tingkat G, Pusat Beli-belah Lot 10, 50 Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Untuk maklumat lanjut, layari www.watsons.com.my atau ikuti saluran media sosial rasmi Watsons Malaysia.
#WatsonsMalaysia #WatsonsPlus #IsetanLot10 #LookGoodDoGoodFeel Great #fyp







Tiada ulasan:
Catat Ulasan