MENGINTAI HARAPAN ANAK BAJAU LAUT, 'ISKUL MAPAN MAPAN 2026' MENERPA PENTAS DBP 22 OKT!
APABILA sehelai ijazah atau segulung sijil dianggap biasa bagi kebanyakan anak muda di bandar besar, kelompok kanak-kanak Bajau Laut di Pitas, Sabah, pula terpaksa bergelut sekadar untuk memegang pensel dan mengenal abjad.
Realiti pahit tentang ketiadaan dokumen pengenalan diri serta cabaran hidup komuniti stateless ini bakal diadun menjadi sebuah naskhah teater yang menyentuh jiwa menerusi pementasan 'Iskul Mapan-Mapan'.
Bakal dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, dari 22 hingga 25 Oktober 2026, pementasan ini membawakan kisah benar penuh pengorbanan seorang pesara guru, Pak Kasan.
Beliau bersama Cikgu Aisyah berani membina sebuah sekolah alternatif, Iskul Buhuk Mapan-Mapan, di Kampung Mapan-Mapan demi memberi sinar harapan kepada anak-anak kecil yang terpinggir daripada sistem pendidikan arus perdana.
Untuk rekod, naskhah Iskul Mapan-Mapan ini bukanlah nama asing dalam landskap teater tanah air. Ia merupakan karya ulung yang pernah mencetuskan fenomena apabila dinobatkan sebagai Johan Karnival Teater Universiti Malaya (KARVITER) 2025 menerusi persembahan Kelana Production mewakili Kolej Kediaman Kinabalu (KK8), UM.
Kejayaan di peringkat universiti itu turut memahat sejarah apabila membolot pelbagai trofi utama termasuk Pengarah Terbaik, Skrip Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Set Terbaik, serta Booth Pameran Terbaik.
“Selepas perancangan rapi selama beberapa bulan, naskhah ini diangkat semula ke pentas lebih berprestij di DBP dalam skala produksi besar yang menghimpunkan hampir 60 anggota produksi, merangkuni gabungan tenaga mahasiswa, alumni UM serta penggiat teater profesional,” ujar Pengarah dan Penerbitnya, Khai Sabri ketika ditemui pada majlis sidang media ‘Iskul Mapan Mapan 2026’ yang berlangsung di Kolej Perdanasiswa, Universiti Malaya baru-baru ini.
Lebih daripada sekadar sebuah persembahan seni, projek mega ini dianjurkan bersama oleh Universiti Malaya (UM) dan Frame Art Studio, dengan kerjasama DBP serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan 2026.
Sehubungan itu, majlis turut dihadiri Timbalan Naib Cancelor Universiti Malaya, Profesor Dr. Zamri Radzi, wakil daripada DBP, Rusdi Abdul Rahman serta barisan pelakon terlibat antaranya, Akmal Ahmad, Azman Hassan, Naza Manas dan Afiyah Ali dan ramai lagi.
Berlatarbelakangkan era 1990-an di pedalaman Sabah, teater ini menyorot getir kehidupan masyarakat di Kampung Mapan-Mapan yang dibelenggu kemiskinan dan ketiadaan dokumen sah.
Di celah-celah kesempitan hidup, termasuk berdepan ketiadaan kemudahan asas seperti air bersih, muncul watak-watak seperti Belut, Ijal, Inda, Rayang, Siput, Julius, dan Murni.
Penceritaan yang turut diadun melalui sudut pandang Belut dewasa ini mengajak penonton merenung erti sebenar maruah, keyakinan diri, dan hak asasi manusia, sekaligus membuktikan bahawa pendidikan bukan sekadar ruang belajar, tetapi satu-satunya kunci untuk mengubah nasib generasi masa depan.
Kekuatan naskhah ini terletak pada kehebatan penulis skrip prolifik, Roydy Rokidy, seorang graduan ASWARA yang telah menghasilkan kira-kira 50 skrip teater dan bijak menterjemahkan denyut nadi masyarakat marhaen ke pentas.
Menurut Khai, pementasan trut dibantu oleh barisan tenaga produksi berpengalaman seperti Khal Isyaf selaku penolong pengarah, Along Hazirin sebagai sinografer, Aizat RGB sebagai pereka cahaya, dan Amirul Nizam sebagai komposer muzik dari Orkestra Tradisional Malaysia.
Aspek lakonan turut diperkasakan melalui gandingan pelakon berkaliber tanah air dan bakat muda, menggabungkan pelakon senior seperti Akmal Ahmad, Azman Hassan yang juga ikon pelakon suara pelbagai watak popular dunia, Naza Manas, serta Afiyah Azli yang merupakan pemenang pelbagai anugerah teater.
Barisan ini turut diperkemaskan dengan kehadiran mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaya iaitu Rash Meng, Aqib Rama, Aishah Azman, Nurul Fatin, Sin Sin, Leith, Nessa Chie, dan Asri Zamri.
Teater Iskul Mapan-Mapan yang akan dipentaskan selama empat malam berturut-turut di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP, Kuala Lumpur, dari 22 hingga 25 Oktober 2026, bermula pada jam 8.30 malam boleh disaksikan dengan pembelian tiket berharga serendah RM14 hingga RM48.
Berkongsi lanjut, Khai memberitahu pihaknya mensasarkan kehadiran ramai bagi menyaksikan pementasan mega yang menelan kos kira-kira RM200,000 itu sekali gus memberikan sinar untuknya membawa nashkah sama ke pentas yang lebih gah.
Mengulas sasaran kutipan, kata Khai, “Duit bukanlah segalanya tetapi yang lebih penting mesej di sebalik kisah ‘Iskul Mapan Mapan’ itu sendiri bertujuan mengetengahkan perjuangan membela hak asasi serta pendidikan anak-anak sambil memupuk nilai empati dan kemanusiaan dalam kalangan penonton.
“Impian saya memang mahu membawa isu ini pada pementasan yang lebih besar sekali pun menjadikan ia sebuah filem dengan membariskan pelakon-pelakon popular. InsyaAllaah!” tambah Khai penuh harapan.
Sementara itu, rata-rata pelakon profesional yang hadir menyatakan sokongan dan komitmen mereka terhadap pementasan tersebut waima sesetengah mereka terpaksa belajar loghat Sabah walaupun hampir kesemuanya berasal dari Semenanjung Barat.
“Iskul Mapan Mapan’ yang bermaksud ‘Sekolah Mapan Mapan’ turut terbuka kepada golongan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun namun perlu diiringi penjaga.
Orang ramai boleh mendapatkan tiket secara dalam talian menerusi laman web rasmi CloudJoi di www.cloudjoi.com ataupun menerusi pembelian secara terus di kaunter, tertakluk kepada kekosongan tempat. Lebih mudah klik DI SINI.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan ke talian +6010-822-6091 atau +6018-249-4933, selain mengikuti perkembangan terkini menerusi akaun Instagram rasmi Frame Art Studio di @frameartstudio. - Kak Fas Online.
#IskulMapanMapan2026 #Teater #DBP #Sabah #UniversitiMalaya #MOTAC #fyp






Tiada ulasan:
Catat Ulasan