SKCCM 2026 TAWAR PROMOSI PERCUTIAN ‘LUAR BIASA’
TAK perlu pergi jauh untuk mencipta kenangan percutian luar biasa!
Malaysia punya segalanya, daripada tarikan penuh adrenalin, taman tema yang mengujakan, keindahan alam semula jadi hinggalah penginapan menarik untuk seisi keluarga, semuanya menanti untuk diterokai menerusi Star Karnival Cuti-Cuti Malaysia (SKCCM) 2026.
Lebih menarik, orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai promosi eksklusif, diskaun istimewa dan pakej percutian pada harga lebih berbaloi menerusi karnival yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Oktober di Sunway Pyramid, Petaling Jaya itu.
Dianjurkan Tourism Malaysia dengan kerjasama Star Media Group Berhad (SMG), SKCCM 2026 bukan sekadar medan mendapatkan tawaran percutian, malah menjadi platform untuk rakyat Malaysia menemui destinasi baharu, merancang percutian impian dan mencipta pengalaman bermakna bersama keluarga serta insan tersayang.
Mengangkat tema “Explore, Experience, Excite”, karnival itu turut dimeriahkan dengan permainan pentas, aktiviti interaktif dan peluang memenangi pelbagai hadiah menarik, menjadikan kunjungan lebih menyeronokkan buat seisi keluarga.
Sebanyak 40 reruai membabitkan 14 agensi pelancongan tempatan serta pelbagai pempamer menyediakan pilihan menarik untuk pengunjung, merangkumi tarikan pelancongan, penginapan, penerbangan dan platform tempahan percutian dalam talian.
Antara yang mengambil bahagian ialah Berjaya Times Square Theme Park, Skyline Luge Kuala Lumpur dan Bangi Wonderland Water Theme Park, selain Petrosains, Chocolate Museum, Port Dickson Ostrich Mini Zoo, Jungle Gym serta Wet World Shah Alam.
Bagi yang merancang percutian santai atau percutian keluarga, pengunjung turut boleh meneroka tawaran penginapan daripada Trinidad Hospitality, Lotus Desaru Beach Resort & Spa, MÙ Hotel Ipoh dan The Host Hotel.
Pilihan penerbangan menerusi Batik Air serta tawaran daripada platform pelancongan dalam talian TRIP.com dan JOMHOTEL.com juga melengkapkan pengalaman pengunjung untuk merancang percutian dengan lebih mudah.
Karnival edisi Selangor itu merupakan persinggahan kelima daripada enam lokasi dalam siri jelajah nasional SKCCM 2026, selepas Pahang, Johor, Sabah dan Pulau Pinang, sebelum menutup tirai di Sarawak.
Jelajah berkenaan menyasarkan lebih 200,000 pengunjung secara keseluruhan, manakala prestasi jualannya setakat ini dilaporkan sudah mencapai dua kali ganda sasaran awal, sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap tawaran pelancongan domestik.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal, berkata, pelancongan bukan sekadar mengenai jumlah ketibaan pengunjung, sebaliknya menjadi sektor ekonomi penting yang menyokong mata pencarian masyarakat tempatan.
Menurutnya, menerusi inisiatif “Destinasi Indah, Harga Rahmah”, karnival itu memastikan lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang menikmati kekayaan warisan, keunikan budaya dan keindahan destinasi negara tanpa perlu berbelanja besar.
“Pelancongan merupakan sektor ekonomi penting yang menyokong mata pencarian masyarakat tempatan. Melalui inisiatif ini, karnival berkenaan menjadi pemangkin untuk memperkukuh momentum pelancongan domestik bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027,” katanya pada majlis pelancaran SKCCM 2026 yang berlangsung di Sunway Pyramid baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group, Chan Seng Fatt, berkata, sambutan terhadap SKCCM 2026 membuktikan rakyat Malaysia masih teruja untuk meneroka keistimewaan negara sendiri.
Beliau berkata, SMG akan terus komited mengetengahkan tarikan dan keunikan destinasi tempatan kepada rakyat Malaysia, selain memperkenalkannya kepada pelancong antarabangsa yang berpotensi.
Katanya, asas pelancongan domestik yang kukuh mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri pelancongan negara, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada pemain industri untuk berkembang.
Selangor Terus Menjadi Tumpuan
Pemilihan Selangor sebagai lokasi penganjuran turut bertepatan dengan prestasi negeri itu sebagai destinasi pilihan pelancong tempatan.
Pada 2025, Selangor merekodkan 36.4 juta pengunjung domestik, sekali gus muncul sebagai negeri paling banyak dikunjungi rakyat Malaysia, termasuk pelawat harian dan pengunjung persinggahan.
Pada peringkat nasional, Malaysia merekodkan 151.6 juta ketibaan pengunjung domestik bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, meningkat 5.6 peratus berbanding 143.5 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Lebih memberangsangkan, perbelanjaan pelancongan domestik melonjak 14 peratus kepada RM66.8 bilion berbanding RM58.6 bilion pada separuh pertama 2025.
Angka itu memperlihatkan betapa besarnya potensi pelancongan domestik dalam merancakkan ekonomi negara, selain membuktikan bahawa percutian dalam negara mampu menawarkan pengalaman menarik sambil menyokong perniagaan dan komuniti setempat.
Dengan pelbagai pilihan destinasi, tawaran harga menarik dan aktiviti menyeronokkan, SKCCM 2026 mengajak rakyat Malaysia menjadikan percutian tempatan sebagai pilihan utama, sekali gus menyemarakkan semangat meneroka keindahan negara sendiri sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.
#SKCCM2026 #TourismMalaysia #DestinasiIndaHargaRahmah #TMM2026/27 #fyp





Tiada ulasan:
Catat Ulasan