PET UNIVERSE NOURISH, IPF THAILAND METERAI KERJASAMA PACU PEMAKANAN HAIWAN PREMIUM DI ASEAN!
DALAM dunia di mana kasih sayang terhadap haiwan peliharaan kini dianggap sebahagian daripada gaya hidup moden, dua syarikat dari Malaysia dan Thailand melangkah lebih jauh untuk menjadikan “cinta kepada haiwan” sebagai satu sains yang nyata.
Dan sebagai tanda perubahan besar dalam landskap industri pemakanan haiwan peliharaan serantau, Pet Universe NOURISH dari Malaysia dan International Pet Food Company Limited (IPF) Thailand, anak syarikat CP Foods, memeterai kerjasama strategik yang disifatkan sebagai langkah penting memperkukuh standard, inovasi dan daya saing industri haiwan peliharaan di ASEAN.
Kerjasama ini dimeterai melalui satu majlis tandatangani perjanjian dan sidang media yang diadakan di EQ Kuala Lumpur, di antara pemimpin utama dari kedua-dua organisasi, Encik Patrick Chin, Ketua Pegawai Eksekutif Pet Universe NOURISH, dan Encik Kitisak Limamphai, Presiden IPF Thailand.
Kolaborasi tersebut menjadi simbol kesepakatan dua negara jiran yang mempunyai matlamat sama — mengangkat nilai kasih sayang terhadap haiwan peliharaan melalui sains dan tanggungjawab sosial.
Ia turut diserikan dengan kehadiran Tengku Faizwa Binti Tengku Razif, mewakili Persatuan Pembangunan Ekonomi dan Sosial Antarabangsa Malaysia (MIESDA), di mana kehadirannya menyerlahkan kepentingan kerjasama ini sebagai model bagi kolaborasi rentas sempadan ASEAN yang progresif, bukan sekadar wacana. Bersamanya juga adalah Encik Suwit Kalyasiri, Timbalan Pengarah Perdagangan Antarabangsa International Pet Food Co., Ltd. (Thailand) ke Malaysia serta rakan sejawat, Encik Youssef Housni.
![]() |
| DARI Kiri: Suwit Kalyasiri, Kitisak Limamphai, Tengku Faizwa, Patrick Chin dan Youssef Housni. |
Lebih daripada sekadar kerjasama perniagaan, ia merupakan titik tolak kepada satu gerakan industri yang memfokuskan kepada inovasi, ketelusan, dan kelestarian — selari dengan visi ASEAN 2025: ‘Inclusivity and Sustainability’.
Kerjasama ini bukan sekadar langkah komersial dan perkongsiaan biasa, tetapi satu usaha menyeluruh untuk menyatukan kekuatan kedua-dua negara dalam bidang penyelidikan, pembangunan produk (R&D), dan kelestarian industri.
“Ia menyatukan dua peneraju kuat dalam industri. Tujuannya ialah untuk menghasilkan makanan haiwan peliharaan premium yang inovatif dan berkualiti tinggi, memberikan keyakinan sepenuhnya kepada pemilik haiwan peliharaan. Bersama, kami akan memacu inovasi, pertumbuhan serantau, dan kepimpinan industri dalam sektor pemakanan haiwan peliharaan di Asia,” ujar Patrick Chin ketika ditemui.
Pet Universe NOURISH membawa kepakaran dalam falsafah “Humanising Pet Nutrition”, yang menekankan ketelusan, integriti dan kualiti formulasi — manakala IPF Thailand dikenali dengan kemampuan pengeluaran bertaraf global dan reputasi dalam pemakanan haiwan berpiawaian makanan manusia di bawah CP Foods.
Pet Universe Nourish kini memiliki lebih 308 formulasi dengan 72 SKU, dan sedang membangunkan antara 20 hingga 30 produk baharu (MPD) sebagai sebahagian daripada pelan pelancaran 2026, menjadikan keseluruhan 100 SKU dalam perancangan.
Langkah ini memperlihatkan komitmen syarikat dalam memperluas portfolio produk premium yang menekankan aspek ketelusan, kualiti dan pemakanan berasaskan sains untuk haiwan peliharaan.
Walaupun baru setahun beroperasi, syarikat itu telah menembusi pasaran antarabangsa melalui pameran seperti Interzoo di Jerman dan SuperZoo di Amerika Syarikat, serta menjalin hubungan dengan pengedar utama di Hong Kong, Brunei, Filipina, dan Timur Tengah.
Menurut Patrick, keutamaan mereka kini ialah memperkukuh rantaian eksport sambil mengekalkan Malaysia sebagai pusat operasi utama.
“Malaysia mempunyai kelebihan unik — bukan sahaja dari segi logistik dan ekonomi, tetapi juga dalam konteks sains dan nilai kemanusiaan yang kami pegang. Kami mahu menjadikan Malaysia hab inovasi pemakanan haiwan peliharaan di rantau ini,” ujarnya.
Tambahnya lagi, walaupun pasaran eksport masih kecil sekitar 10 peratus daripada keseluruhan perniagaan, namun sedang berkembang dengan kukuh.
“Pada tahun lalu, nilai eksport kami dianggarkan sekitar USD200,000, manakala jumlah hasil keseluruhan mencecah hampir USD10 juta bagi tahun kewangan semasa,” jelas Patrick (gambar bawah).
Kerjasama strategik ini dijangka meningkatkan eksport sebanyak 15% menjelang 2026, dengan pelaburan awal sekitar USD5 juta bagi memperkukuh pasaran Thailand — yang dianggarkan tiga kali ganda lebih besar daripada pasaran Malaysia.
Kedua-dua syarikat juga sedang menilai potensi pensijilan Halal Pet Food melalui badan di Malaysia dan Thailand, sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat dari pasaran Timur Tengah dan negara Islam lain.
Walaupun Malaysia belum mempunyai badan rasmi yang mengawal selia pensijilan Halal untuk makanan haiwan, Pet Universe Nourish telah memohon pengiktirafan serupa di Thailand melalui Thailand Islamic Association dan pertubuhan antarabangsa seperti TÜV, yang berfungsi seperti Halal untuk makanan manusia.
Presiden IPF Thailand, Kitisak Limamphai, turut berkongsi keyakinan yang sama.
“Thailand mempunyai kekuatan dalam teknologi dan pengeluaran berskala besar, manakala Malaysia membawa pemahaman mendalam tentang pasaran pengguna dan keperluan halal serta kelestarian. Bersama, kami boleh membina rangkaian yang lebih berdaya tahan dan inklusif untuk ASEAN,” katanya.
Sambungya di IPF, pihaknya komited untuk menyampaikan produk makanan berkualiti tertinggi dengan integriti dan kelestarian.
“Perkongsian kami bersama Pet Universe NOURISH ini meluaskan komitmen tersebut di dalam bidang pemakanan haiwan peliharaan sambil mengukuhkan hubungan antara Thailand, Malaysia dan dunia, serta kepimpinan kami dalam industri kesihatan haiwan peliharaan global,” tambah Kitisak Limamphai.
Kerjasama strategik antara Pet Universe NOURISH dan IPF Thailand ini dijangka menjadi pemangkin kepada era baharu dalam industri pemakanan haiwan peliharaan Asia Tenggara, dengan penekanan terhadap produk yang lebih berkualiti, lestari, dan berinovasi tinggi.
Ia juga mencerminkan visi bersama untuk menjadikan Malaysia dan Thailand sebagai pusat rujukan utama dalam penyelidikan, pembangunan dan pengeluaran makanan haiwan peliharaan premium di peringkat serantau dan global.
Melalui perkongsian ini, kedua-dua syarikat akan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk bersama-sama membangunkan formulasi makanan haiwan peliharaan yang inovatif dan lestari, berpandukan sains dan ketelusan.
Sementara itu, Tengku Faizwa menzahirkan sokongan penuh terhadap inisiatif ini yang disifatkan sebagai satu langkah penting ke arah memperkukuh hubungan ekonomi dan sosial antara Malaysia dan Thailand.
“Usahasama ini mencerminkan semangat ASEAN yang sebenar — saling melengkapi kekuatan antara negara demi kemajuan bersama. MIESDA sentiasa menyokong projek strategik seperti ini yang mampu menjana nilai ekonomi, memperkukuh jaringan industri, serta memberi manfaat kepada pengguna dan komuniti serantau,” ujar beliau.
#PetUniverseNourish #IPFThailand #MakananKucing #MalaysiaThailand #fyp #cat







Tiada ulasan:
Catat Ulasan