FAIZAL TAHIR BUAT ‘SURPRISE’, SOGO DIBUAI KEMERIAHAN FLASHMOB MAHA 2026
KUALA LUMPUR – Pengunjung SOGO Kuala Lumpur yang sedang sibuk membeli-belah pada semalam, 29 Ogos 2026 dikejutkan dengan kemunculan sekumpulan penari yang tiba-tiba mencetuskan suasana meriah menerusi persembahan flashmob khas sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Lebih mencuri perhatian apabila penyanyi terkenal tanah air, Faizal Tahir, yang juga merupakan penyanyi lagu rasmi MAHA 2026, muncul secara ‘surprise’ sebelum menyertai persembahan berkenaan dan berinteraksi bersama pengunjung.
Persembahan spontan itu menjadi sebahagian daripada pendekatan guerilla marketing MAHA 2026 dalam membawa kemeriahan pameran berkenaan keluar daripada lokasi penganjuran dan mendekatkannya kepada masyarakat, khususnya warga kota serta golongan muda.
Gabungan muzik, tarian dan identiti MAHA 2026 berjaya mencuri perhatian orang ramai apabila para penari muncul secara tiba-tiba di ruang tumpuan SOGO, sebelum Faizal tampil memeriahkan suasana menerusi persembahan bertenaga menyampaikan lagu "MAHA Datang Lagi" serta lagu tema Hari Kebangsaan, "Aku Berjanji' dan disusuli lagu popularnya "Gemuruh'.
Kehadiran penyanyi itu turut memberikan pengalaman secara langsung kepada pengunjung, sekali gus memperlihatkan pendekatan promosi MAHA 2026 yang bukan sekadar bergantung kepada hebahan konvensional.
Aktiviti berkenaan turut menjadi antara pembuka kepada perjalanan promosi MAHA 2026 menggunakan bas HOHO yang membawa identiti pameran itu mengelilingi beberapa lokasi ikonik sekitar Kuala Lumpur, termasuk Istana Budaya dan Menara KL.
Bas berkonsepkan MAHA 2026 berkenaan membawa mesej dan identiti pameran secara bergerak bagi menarik perhatian masyarakat serta memperkenalkan MAHA 2026 kepada khalayak di luar kawasan penganjuran.
Pendekatan berkenaan selari dengan usaha menampilkan MAHA 2026 sebagai sebuah acara yang bukan sahaja berkisar mengenai pertanian, tetapi turut merangkumi teknologi, inovasi, agromakanan, hortikultur, agropelancongan, keusahawanan dan hiburan.
MAHA 2026 berlangsung selama 10 hari bermula 28 Ogos hingga 6 September ini di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor.
Bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, MAHA 2026 memberi penekanan terhadap pemodenan sektor agromakanan menerusi penggunaan teknologi, inovasi serta penghasilan nilai sepanjang rantaian makanan.
Penganjuran kali ini menghimpunkan pelbagai pemain industri, usahawan, pengusaha agro, penginovasi serta agensi berkaitan, selain menawarkan pelbagai tarikan kepada pengunjung termasuk pameran teknologi pertanian, produk agromakanan, hortikultur, ternakan, agropelancongan dan aktiviti interaktif.
Aspek hiburan turut menjadi antara tarikan utama apabila barisan penyanyi popular tanah air dan antarabangsa bakal menghiburkan pengunjung menerusi konsert ROTF, antaranya Dayang Nurfaizah, Hael Hussaini, Syamel, Noraniza Idris, Anggrek dan Cakra Khan, selain ramai lagi.
MAHA 2026 turut membuka ruang kepada masyarakat untuk melihat sektor pertanian daripada perspektif lebih moden, di samping meneroka peluang dalam bidang agromakanan, teknologi dan keusahawanan.
Kemeriahan flashmob di SOGO dan jelajah bas HOHO di sekitar ibu negara diharap dapat mencetuskan keterujaan orang ramai untuk berkunjung ke MAHA 2026 serta menyaksikan sendiri pelbagai inovasi dan perkembangan terkini sektor agromakanan negara.
Orang ramai dijemput hadir ke MAHA 2026 di MAEPS Serdang sehingga 6 September ini bagi menikmati pelbagai pameran, aktiviti interaktif, hiburan dan pengalaman yang disediakan sepanjang 10 hari penganjuran.







Tiada ulasan:
Catat Ulasan