ISTANA BUDAYA TERIMA RM80 JUTA NAIK TARAF, RM3.2 JUTA PERKASA AKTIVITI KESENIAN
KUALA LUMPUR - Kerajaan memperuntukkan RM80 juta bagi menaik taraf fasiliti Istana Budaya, termasuk memodenkan teknologi pentas, kemudahan teknikal dan infrastruktur sokongan bagi memastikan Panggung Nasional Malaysia itu kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dato Shaharuddin Abu Sohot, berkata, komitmen itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk terus memartabatkan Istana Budaya sebagai mercu seni persembahan negara dan hab seni unggul di rantau ini.
“Bagi memastikan Istana Budaya kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa, kerajaan memperuntukkan RM80 juta untuk naik taraf fasiliti.
“Peruntukan ini merangkumi modenisasi teknologi pentas, kemudahan teknikal dan infrastruktur sokongan bagi menampung produksi berskala besar,” katanya ketika merasmikan Majlis Peluncuran Program Istana Budaya 2026 di Lambang Sari, Istana Budaya, pada 10 Ogos 2026, lalu.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Johan Cruyff@Mohd Johari Md Nord serta rakan-rakan strategik dan artis terlibat.
Untuk rekod, Istana Budaya ditutup sejak Januari 2024 hingga Mei 2026 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan dan naik taraf bumbung oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), sebelum kembali beroperasi dengan rangkaian program seni persembahan bagi menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Shaharuddin berkata, selain pelaburan dalam fasiliti, kerajaan melalui MOTAC turut memperuntukkan RM70 juta tahun ini bagi memperkasakan sektor kebudayaan, merangkumi RM50 juta untuk Acara Seni dan Budaya serta RM20 juta menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK).
“Daripada jumlah ini, sebanyak RM3.2 juta diperuntukkan khas kepada Istana Budaya bagi mempergiat aktiviti kesenian negara,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Istana Budaya atas kejayaan melaksanakan 14 program sepanjang 2025 dan berharap pencapaian itu dapat menjadi asas kepada pelaksanaan program yang lebih berkualiti tahun ini.
“Dengan rekod kejayaan tahun lalu, maka diharapkan pada tahun ini, perancangan yang telah dibuat berupaya mencapai matlamat sejajar dengan pembukaan semula Istana Budaya,” katanya.
Bagi 2026, Istana Budaya bakal menganjurkan lima program utama merangkumi muzik tradisional, muzik klasikal, seni budaya dan teater muzikal, iaitu dua siri Laman Santai Seni Budaya, Nuansa Urban Rohani (NUR 26) Hijrah Malam Cinta Rasul, NSO with Aubrey Suwito: ‘Pops meets Symphony’ serta Teater Muzikal Kanak-Kanak Pengembaraan Sang Kancil.
“Di samping itu, pembukaan semula Istana Budaya turut menerima pelbagai permohonan pementasan daripada syarikat produksi luar,” katanya.
Antara produksi luar yang bakal mengisi pentas Panggung Sari ialah Douglas Lim: Vital Stats pada 15 Ogos, Beyond Words: L. Shankar & Samuel J. Dass Live In Concert pada 22 Ogos dan Teater Muzikal Mansur & Liu pada September.
Turut dijadualkan ialah Konsert Rindu Sumayyah Hijjaz 3 Dekad pada 16 dan 17 Oktober, Teater Bangsawan Diraja Beting Beras Basah II: Hikayat Dewa Mahkota dari 30 Oktober hingga 1 November, Four Generations In One House pada 5 hingga 7 November serta Festival Filem Malaysia Ke-35 pada 21 November.
Rangkaian persembahan diteruskan pada Disember dengan Magnum Opus M. Nasir Dekad Ke-5, RUMI 819: Souls Across Civilizations — A Malaysia-Iran Cultural Celebration dari 11 hingga 13 Disember serta Teater Legenda Puteri Santubong dari 18 hingga 20 Disember.
Menurut Shaharuddin, kombinasi fasiliti yang moden dan pengisian program berkualiti mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kreatif negara, selain menyokong kejayaan VM2026.
“Saya yakin, fasiliti yang moden serta pengisian program yang berkualiti akan menjadi pemangkin kepada pembangunan industri kreatif, sekali gus menyokong kejayaan Kempen Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Dua program telah berjaya dilaksanakan pada Julai lalu, iaitu Laman Santai Seni Budaya: 2 Dekad pada 4 Julai di Laman Beringin Istana Budaya dan Konsert Malaysia-Thailand bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) serta Permata Seni Muzik pada 11 dan 12 Julai di Lambang Sari.
Dalam pada itu, Istana Budaya turut memperkukuh aspek keselamatan dan kelestarian sebagai sebahagian daripada usaha transformasi institusi berkenaan.
Bagi memastikan sistem mekanikal pentas beroperasi dengan selamat, Istana Budaya mendapatkan khidmat nasihat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta sedang dalam proses mendapatkan sijil keselamatan dan pengiktirafan berkaitan penggunaan sistem pentas berteraskan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Pada masa sama, sistem penjimatan tenaga turut diterapkan merangkumi pengurusan tenaga cekap, sistem pencahayaan efisien dan kawalan operasi pintar bagi mengurangkan penggunaan tenaga serta jejak karbon.
Majlis itu turut menyaksikan pengenalan beberapa rakan strategik Istana Budaya bagi 2026, antaranya Malaysian Timber Council (MTC), Al Hijrah Media Corporation (TV AlHijrah), IKIM FM, SURIA FM, KL Hop-On Hop-Off dan Xavier Naxa.
Shaharuddin turut mengharapkan seluruh ekosistem industri seni dapat terus berganding bahu dalam memperkukuh agenda seni dan budaya negara.
“Peluncuran Program Istana Budaya 2026 mencerminkan kesiapsiagaan kita dalam menawarkan program yang inklusif dan kreatif.
“Saya berharap seluruh ekosistem industri seni, daripada agensi kerajaan, sektor swasta, rakan media, penaja hingga penggiat seni, dapat terus berganding bahu memartabatkan agenda seni dan budaya negara,” katanya.
Turut menjadi tarikan baharu di Istana Budaya ialah instalasi seni bina kayu ‘Timber Flow: The Folded Crest’, karya pemenang Gold Winner – Curated Booth Award sempena ARCHIDEX 2025 yang diserahkan MTC untuk dipamerkan kepada orang ramai.
Instalasi berkeluasan kira-kira 60 meter persegi dan bernilai pembinaan sekitar RM135,000 itu diinspirasikan daripada tanjak tradisional Melayu, dengan penggunaan kayu tempatan seperti Kembang Semangkok dan Chengal.
Struktur berkenaan menggabungkan teknik lenturan wap dan sistem pasak kayu tanpa paku, sekali gus menyerlahkan inovasi, ketukangan tempatan serta potensi kayu sebagai bahan binaan mampan.
Pembukaan semula Istana Budaya dengan sokongan pelaburan besar dalam fasiliti serta peruntukan khusus untuk aktiviti kesenian itu memperlihatkan komitmen kerajaan untuk menjadikan institusi berkenaan bukan sekadar sebuah panggung persembahan, tetapi hab seni dan budaya unggul yang mampu menyokong produksi berskala besar serta bertaraf antarabangsa.
Langkah itu juga dijangka memperkukuh kedudukan Istana Budaya sebagai salah satu pemangkin utama pembangunan industri kreatif dan platform memperkenalkan kepelbagaian seni serta budaya Malaysia kepada pelancong domestik dan antarabangsa sempena VM2026.
#istanaBudaya #MOTAC #VMY2026 #PanggungNasionalMalaysia #MTC #fyp










Tiada ulasan:
Catat Ulasan