Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

DARI BANKER KE TIKTOK LIVE, ADELYN BUKTIKAN DUNIA PENSTRIMAN BUKAN SEKADAR HIBURAN!


LIMA
tahun lalu, Adelyn Heng tidak pernah menyangka keputusan mencuba sesuatu yang langsung tidak dikenalinya akan mengubah keseluruhan perjalanan hidup dan kerjayanya.


Daripada seorang banker yang menjalani kehidupan profesional seperti kebanyakan orang, Adelyn kini dikenali sebagai hos penstriman langsung dan pencipta kandungan TikTok yang bukan sahaja berjaya membina komuniti sendiri, malah beberapa kali mengharumkan nama Malaysia menerusi penyertaannya dalam pertandingan serta acara TikTok.


TikTok juga merupakan platform pertama yang diceburinya sebagai live streamer, selepas diperkenalkan kepada dunia penstriman oleh seorang kenalan yang menggalakkannya mencuba kerana melihatnya sebagai seorang yang gemar bercakap.


“Dulu saya langsung tak tahu apa itu TikTok Live. Saya tak tahu nak buat apa, nak cakap apa, nak bawa content macam mana dan gift yang orang beri pun saya tak tahu nilainya.


“Pakcik cuma kata, ‘cubalah, you suka bercakap, kan? Cubalah start’. Jadi saya cuba. First live saya, saya tengok jam, rasa macam sudah satu jam, tapi macam tak habis-habis lagi. Saya nervous dan tak tahu nak cakap apa,” ujar Adelyn ketika ditemui pada sidang media KamiSempoi Golden Award 2025 bertempat di ibu pejabat KamiSempoi International Agency di Quill City Mall KL yang diterajui Pakcik Chin Swee, baru-baru ini.



Namun sambung Adelyn percubaan pertama itu tidak disangka membuka pintu kepada sesuatu yang lebih besar apabila menerima sambutan positif daripada penonton.


Pada ketika itu, komuniti penonton Adelyn didominasi masyarakat Melayu meskipun dirinya merupakan seorang wanita berbangsa Cina yang pada awalnya lebih selesa menggunakan bahasa Mandarin.


Daripada situ, dia mula mempelajari bahasa Melayu dan kini mampu berkomunikasi dalam tiga bahasa iaitu Mandarin, Bahasa Melayu dan Inggeris ketika bersiaran langsung.


“Bahasa Melayu saya dulu memang meraba-raba. Sekarang pun saya tak kata sempurna, tetapi jauh lebih baik. Practice makes perfect,” jelasnya.


Berbeza daripada persepsi bahawa seorang hos wanita perlu sentiasa menjaga penampilan dan kelihatan sempurna, Adelyn memilih pendekatan berbeza dengan menjadikan unsur humor sebagai identiti kandungannya.


Dia gemar tampil dengan pakaian unik dan lucu, mencipta karakter tertentu, membalas komen penonton dengan cara bersahaja serta sesekali menyelitkan nyanyian dan tarian yang menghiburkan.


“Kalau orang kata perempuan kena jaga cantik, saya pula dalam live stream akan buat sesuatu yang funny. Saya nak bila orang masuk live saya, mereka rasa seronok.


“Saya akan baca komen dan reply dengan cara yang kelakar. Kalau mereka paksa saya menari, saya akan menari juga, tetapi tarian yang funny,” katanya.


Bagi memastikan kandungannya tidak berulang, Adelyn menganggap persediaan sebelum bersiaran sebagai satu bentuk pembelajaran.


Setiap hari dia meneliti kandungan di platform lain, mencari idea baharu menerusi Google dan ChatGPT, malah mencatat perkara yang boleh digunakan ketika bersiaran.


Dia turut menjadikan pemilihan pakaian sebagai sebahagian daripada kandungan, termasuk tampil dengan kostum pelajar atau pakaian bertemakan tertentu ketika sesi live pada sebelah pagi.


“Saya memang kena study. Kita tak lahir terus pandai bercakap. Dalam kehidupan luar live pun saya belajar bagaimana nak bercakap, pantun apa yang boleh dibawa masuk dalam live, apa yang kelakar dan pakaian apa yang sesuai.


“Kadang-kadang bila orang masuk, mereka akan rasa, ‘Eh, hari ini lain pula’. Itu yang saya mahu,” katanya.




Pengalaman menyertai pelbagai pertandingan TikTok menjadi antara pengalaman paling bermakna dalam perjalanan kerjayanya.


Bukan sahaja menguji kemampuan sebagai seorang hos, pertandingan berkenaan mengajarnya tentang disiplin, konsistensi, komunikasi serta kekuatan mental.


Adelyn pernah mewakili Malaysia dalam beberapa acara dan pertandingan TikTok selain mencatat pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Top Host of the Year selama tiga tahun.


Baginya, kejayaan itu bukan semata-mata mengenai trofi atau kedudukan, sebaliknya menjadi bukti kepada segala usaha yang dilakukan sepanjang hampir lima tahun.


“Saya rasa setiap pertandingan memberikan pengalaman yang sangat berharga. Kita belajar tentang diri sendiri, komuniti dan bagaimana nak jadi hos yang lebih baik.


“Bila saya dapat Top Host of the Year tiga tahun, itu satu penghargaan besar tetapi pada masa sama ia menjadi tanggungjawab untuk saya terus belajar dan berikan sesuatu yang lebih baik kepada viewers,” katanya.


Di sebalik senyuman dan karakter ceria yang dipaparkan ketika bersiaran, Adelyn mengakui perjalanan itu tidak selalunya mudah.


Pernah melalui tempoh antara satu hingga dua bulan apabila tekanan terhadap kandungan dan prestasi menyebabkan dirinya berasa cemas serta tertanya-tanya sama ada kandungannya masih menarik kepada penonton.


“Setiap hari orang yang tengok kita mungkin orang yang sama. Memang ada orang baharu, tetapi kita tak tahu mereka akan stay atau tidak.


“Saya akan fikir, adakah content saya boring? Adakah saya tak bawa sesuatu yang baik? Adakah saya gagal mencipta sesuatu yang baharu untuk viewers? Itu semua boleh buat saya stres,” katanya.


Dalam situasi itu, keluarga menjadi sumber kekuatan utamanya.


Menurutnya, keluarga sentiasa berada di belakang dan memberikan sokongan agar dia tidak mudah mengalah.


“Family saya yang support dari belakang. Mereka akan cakap, ‘go lah, kita fight together, kita dapat milestone together, kita dapat crowd together’.


“Banyak kali saya rasa nak give up sebab penat, tetapi keluarga dan supporters saya yang buat saya teruskan. Bila ada orang tulis mesej panjang kepada saya dan beritahu mereka rasa lebih positif selepas tengok live saya, saya rasa mungkin saya sebenarnya membawa sesuatu yang baik kepada mereka,” katanya.



Bagi Adelyn, pencapaian paling bermakna bukan semestinya apabila memperoleh kedudukan tertinggi dalam pertandingan, tetapi apabila kandungannya mampu menyentuh kehidupan penonton.


Menariknya, majoriti komuniti penontonnya adalah wanita, sekali gus mematahkan tanggapan bahawa hos wanita biasanya lebih banyak mendapat sokongan daripada penonton lelaki.


Menurutnya, ada penonton yang menjadikan sesi live sebagai ruang untuk melupakan tekanan kehidupan sebenar, terutama mereka yang kesunyian, terlalu sibuk bekerja atau tidak mempunyai ruang untuk berkomunikasi dengan orang lain.


“Ramai yang beritahu saya, ‘Thank you Adelyn for making me feel bright and positive’. Walaupun saya rasa saya tak buat apa-apa yang besar, mungkin kandungan dalam live saya membuatkan mereka rasa lebih baik ketika mereka sedih.


“Bagi saya, itu sangat bermakna,” ujarnya riang.


Dalam masa sama, Adelyn belajar untuk tidak membiarkan komen negatif menguasai emosinya.


Komen berunsur lucah atau keterlaluan akan terus disekat oleh moderator, manakala komen yang sekadar mengkritik penampilan pula kadangkala dilayan dengan humor.


“Kalau orang yang tak kenal saya tulis sesuatu yang tak baik, saya tak akan biarkan ia affect saya. Kalau ada komen lucah, moderator akan terus block.


“Saya mahu live stream saya kekal sebagai green platform. Kita kena bercakap dengan baik dan bawa positive vibes,” katanya.


Adelyn turut mengakui pernah terfikir untuk meninggalkan dunia penstriman apabila tekanan semakin berat, apatah lagi kehidupan sebagai live streamer banyak mengorbankan masa peribadi.


Selain perlu bersiaran hampir setiap hari, dia turut melakukan kerja penyuntingan, bersenam dan menguruskan kehidupan harian dalam jadual yang padat.


“Memang banyak kali saya fikir nak give up. Penat. Dulu saya lebih berisi, tetapi selepas jadi host saya semakin kurus kerana stres dan kadang-kadang tak ada selera makan.


“Tapi saya belajar bahawa setiap pekerjaan ada kesusahannya. Kita cuma kena tukar mindset dan teruskan,” akuinya.


Kini, apabila semakin ramai hos baharu muncul dalam industri penstriman Adelyn sedar cabaran untuk kekal relevan juga semakin besar.


Katanya, jumlah hos kini semakin banyak sehingga persaingan untuk mendapatkan perhatian penonton menjadi lebih sengit.


Justeru, dia memilih untuk terus mencipta kelainan menerusi penampilan, kandungan dan gaya komunikasi yang menjadi identitinya.


“Saya rasa paling penting adalah kita kena buat sesuatu yang special, bukan sesuatu yang normal. Sekarang host terlalu banyak, jadi kita kena ada identiti sendiri.


“Saya bangga bila viewers saya rasa susah nak gantikan saya. Kalau saya tak live dan mereka tengok live orang lain, mereka rasa tak sama. Itu bagi saya adalah satu kejayaan,” tambahnya.


Walaupun pernah menjadi banker dan mengakui kerjaya terdahulunya turut memberikan pendapatan yang baik, Adelyn berpendapat bidang penstriman langsung kini menjadi pilihan kerana dia mempunyai minat untuk terus menghiburkan orang.


Malah, dia mendedahkan pendapatan sebagai live streamer kini mampu mencecah angka lima digit, namun menegaskan wang bukan satu-satunya ukuran kejayaan.



“Setiap pekerjaan boleh bawa good money. Dulu saya banker pun income bagus. Tetapi setiap pekerjaan ada kesusahan.


“Jangan cari jalan shortcut untuk capai sesuatu. Mindset kena kuat, kena berjalan di jalan yang betul dan jangan salahkan keadaan. Just do it, follow the flow,” katanya.


Pada usia 32 tahun, Adelyn juga tidak dapat memastikan berapa lama lagi dia akan kekal sebagai live streamer, walaupun pada awalnya dia hanya bercadang untuk melakukannya selama lima tahun.


Namun, dia masih mempunyai impian untuk terus menghiburkan penonton dan tidak menolak kemungkinan mengembangkan kerjayanya kepada bidang pengurusan bakat atau membina jenama sendiri pada masa akan datang.


Dia juga menyimpan hasrat untuk mempelajari piano dan membawa bakat baharu itu ke dalam kandungannya.


Ditanya mengenai peluang menceburi bidang lakonan atau dunia seni, Adelyn lebih selesa kekal sebagai pencipta kandungan buat masa ini sambil berseloroh bahawa kehidupan sebagai live streamer sendiri sudah cukup mencabar.


Dalam pada itu, beliau turut berkongsi nasihat kepada golongan muda, khususnya mereka yang baru berusia 18 tahun dan berhasrat menjadikan penstriman langsung sebagai kerjaya.


Katanya, mereka perlu terlebih dahulu merasai dunia sebenar dan mengumpul pengalaman sebelum terjun sepenuhnya ke bidang berkenaan.


“Kalau umur 18 tahun dan belum pernah step into the real world, saya nasihatkan jangan terus jadi host.


“Kalau memang ada bakat dan ada orang yang bimbing, itu lain. Tetapi kalau belum pernah bekerja, belum pernah berdepan dengan masyarakat dan belum kumpul pengalaman, lebih baik cari pengalaman dahulu.


“Bila kita terlalu lama menghadap telefon, kita boleh kehilangan banyak perkara dalam kehidupan sebenar,” katanya.


Adelyn sendiri mengakui kehidupannya berubah selepas menjadi hos apabila daripada seorang yang dahulunya lebih ekstrovert, kini dia merasakan dirinya semakin introvert.


Malah, beberapa ujian personaliti yang dilakukannya turut menunjukkan keputusan sama.


Bagaimanapun, perubahan itu tidak menghalangnya untuk terus melangkah.


“Selagi saya masih ada passion untuk buat orang happy, saya akan teruskan. Saya tak tahu sampai bila, tetapi buat masa ini, saya akan cuba konsisten,” akhirinya.


Terkini, dengan lebih 236,000 pengikut dan lebih 1.2 juta tanda suka di TikTok, perjalanan Adelyn bagaimanapun tidak hanya boleh diukur menerusi angka atau pencapaian yang pernah diraihnya.


Yang nyata setakat ini, Adelyn Heng masih melakukannya ibarat kata pepatah, ‘sehingga badan dikandung tanah’ gitu…!


@adelynheng9318 #ggez #fyppppppppppppppppppppppp ♬ 오리지널 사운드 - team_slick


#KamiSempoiGoldenAwards2025 #AdelynHeng #PakcikChinSwee #LiveStreamer  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan