Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

TIGA RESEPI KEJAYAAN PAKCIK CHIN: DISIPLIN, KONSISTEN & USAH PUTUS ASA!


BERMULA
sebagai seorang content creator dan live streamer pada 2021, To Chin Swee yang lebih dikenali sebagai Pakcik Chin Swee di TikTok tidak pernah menyangka platform media sosial itu akhirnya membawa beliau ke dunia perniagaan serta melahirkan KamiSempoi International Agency (KSIA).


Berasal dari Melaka dan kini beroperasi di Kuala Lumpur, Pakcik Chin Swee memulakan perjalanan di TikTok ketika platform berkenaan masih belum diterima sepenuhnya masyarakat.


Menurutnya, pada 2021, ramai yang menganggap TikTok sekadar platform untuk hiburan ringan dan tidak melihatnya sebagai ruang untuk membina kerjaya atau perniagaan.


Tetapi bagi Pakcik Chin, beliau melihat peluang yang berbeza.


“Saya nampak benda ini daripada sudut yang berbeza. Saya nampak ia sebagai satu peluang untuk menghasilkan content yang berbeza di TikTok,” katanya.


Pada peringkat awal, beliau menghasilkan kandungan berkaitan kecergasan dan aktiviti sukan sebelum beralih kepada kandungan memasak menerusi sesi siaran langsung.


Hanya dalam tempoh kira-kira dua bulan selepas mula aktif, kandungannya mula tular dan pencapaian sebagai live streamer turut melonjak apabila beliau muncul sebagai antara penyiar langsung dengan pendapatan tertinggi di TikTok global.


Malah, bagi tempoh Ogos, September dan Oktober 2021, beliau mendakwa berada di kedudukan kedua tertinggi di dunia dari segi pendapatan sebagai live streamer.


Pencapaian itu kemudian menarik perhatian pihak TikTok yang mula mendekati beliau untuk berbincang mengenai peluang membangunkan sebuah agensi.


Bagaimanapun, keputusan untuk meninggalkan kerjaya sebagai live streamer dan menceburi dunia agensi bukan sesuatu yang dibuat dengan mudah.


Pakcik Chin Swee berkata, beliau mengambil masa kira-kira enam minggu untuk memberikan jawapan kerana pada ketika itu pendapatannya sebagai live streamer sudah mencecah enam angka.


“Saya fikir, buat apa saya nak buat business? Income saya ketika itu sudah enam digit. Tetapi kemudian saya fikir, saya mahu mencapai sesuatu yang besar dalam hidup. Ia bukan tentang duit tetapi tentang pencapaian,” cerita Pakcik Chin kala ditemui selepas sidang media 'KamiSempoi Golden Award 2025' di ibu pejabat Kami Sempoi International Agency, Quill City Mall pada semalam. 18 Ogos 2026.


Pakcik Chin memilih pelakon veteran, Riezman Khuzaimi sebagai Duta KSIA yang kini sudah memasuki tahun ke-4 serta membimbing penyanyi Bulan Asyraf sebagai Live Host TikTok.


Menurutnya, daripada situlah bermulanya 'KamiSempoi International Agency', sebuah komuniti sosial yang memberi tumpuan kepada pembangunan content creator dan professional live streamer.


Pemilihan nama 'KamiSempoi' pula lahir daripada pengalaman peribadinya ketika berada di TikTok.


Katanya, TikTok memberikan ruang untuk beliau menjadi diri sendiri tanpa perlu berpura-pura atau cuba menampilkan imej sebagai seorang selebriti.


“Di TikTok, saya rasa ini tempat untuk saya jadi diri sendiri. Bila orang jumpa saya di luar pun, perangai saya sama macam dalam live. Jadi kami mahu bina komuniti yang santai, relax dan menjadi diri sendiri,” jelasnya menceritakan bagaimana tercetusnya nama "KamiSempoi".


Dalam tempoh lima tahun, KamiSempoi berkembang daripada sebuah komuniti kecil kepada sebuah agensi yang mempunyai operasi di Kuala Lumpur dan Jakarta, Indonesia, termasuk di Singapura.


Antara pencapaian terbesar yang dibanggakan Pakcik Chin Swee ialah kejayaan KamiSempoi menduduki kedudukan kedua sebagai agensi terbaik di Asia Tenggara selain diberi peluang berkongsi pentas dalam TikTok Summit Global.


Namun, di sebalik kejayaan itu, perjalanan membangunkan agensi berkenaan turut melalui pelbagai cabaran.


Pakcik Chin Swee mengakui antara perkara paling sukar ialah apabila individu yang pernah dilatih dan dibimbingnya memilih untuk meninggalkan organisasi selepas berjaya membina nama.


Situasi itu, katanya, berlaku berulang kali termasuk melibatkan individu yang dianggap sebagai sahabat baiknya.


Keadaan tersebut turut menyebabkan beliau berdepan tekanan emosi yang serius pada penghujung tahun lalu sehingga pernah terfikir untuk bersara dan menjual syarikat berkenaan.


“Saya sudah sampai tahap tidak mahu buat lagi. Saya mahu retire dan jual syarikat ini. Tetapi apabila 'anak-anak' ini terus ambil berat, bertanya khabar dan menunjukkan mereka masih perlukan saya, saya fikir saya tidak boleh tinggalkan mereka begitu sahaja,” kenangnya.


Bagi Pakcik Chin Swee, KamiSempoi bukan sekadar sebuah perniagaan tetapi sebuah keluarga besar yang dibina berdasarkan budaya saling menyokong dan keterbukaan.


Beliau turut menegaskan organisasi itu tidak melihat latar belakang seseorang sebagai ukuran untuk berjaya, sebaliknya memberi peluang kepada mereka yang benar-benar mahu belajar dan membina diri.



Dalam usaha melahirkan lebih ramai pencipta kandungan dan live streamer profesional, beliau menetapkan tiga prinsip utama yang perlu ada pada setiap individu yang mahu berjaya, iaitu disiplin, konsisten dan tidak mudah berputus asa.


“Kalau tiga benda ini kita buat, bukan sahaja dalam TikTok tetapi dalam kehidupan, kejayaan itu pasti datang. Cuma cepat atau lambat sahaja,” katanya.


Pendekatan bimbingan Pakcik Chin Swee juga cukup dekat dengan anak didiknya apabila beliau mahu mereka menganggap dirinya sebagai seorang bapa yang perlu dipercayai dan didengari dalam perjalanan membina kerjaya di TikTok.


Menurutnya, ramai pencipta kandungan sebenarnya tidak mengetahui kekuatan dan kebolehan yang mereka miliki sehingga mendapat bimbingan yang tepat.


Beliau juga mahu mengubah persepsi bahawa aktiviti menghasilkan kandungan di TikTok sekadar bertujuan mendapatkan hadiah atau sumbangan daripada penonton.


Sebaliknya, pencipta kandungan perlu menghasilkan kandungan yang berkualiti, menghiburkan dan mempunyai nilai kepada pengguna.


THROWBACK... MV Shoot pertama Pakcik Chin empat tahun lalu...


“Social media ini banyak benda yang tidak baik berbanding benda yang baik. Jadi bagaimana kita nak sustain benda yang baik? Kita teruskan menghasilkan content dan hiburan yang berkualiti kepada viewer,” tegasnya.


Melangkah ke fasa seterusnya, KamiSempoi kini merancang untuk memperkukuh pembangunan bakat menerusi penubuhan KamiSempoi Premiere Academy, sebuah platform khusus untuk melatih dan membentuk generasi baharu sebagai professional live streamer.


Langkah itu selari dengan perubahan landskap TikTok yang menurut Pakcik Chin Swee bakal bergerak ke arah kandungan yang lebih menyerupai rancangan televisyen pada 2027.


Justeru, beliau melihat keperluan untuk melahirkan lebih ramai streamer profesional yang bukan sahaja mampu melakukan siaran langsung, tetapi mempunyai kemahiran menghasilkan kandungan berkualiti dan membina personaliti sebagai penghibur.


Buat permulaan, akademi itu menyasarkan pengambilan sekitar 50 peserta untuk mengikuti latihan dalam tempoh maksimum 12 bulan. 


Dalam masa sama, KamiSempoi turut merancang kerjasama dengan MK Media Studio dan Mroot19 bagi menghasilkan sesuatu yang lebih besar dalam ekosistem kandungan digital seperti membina 'studio'.



"Kami rancang membina studio untuk 20 anak-anak Sempoi terlebih dahulu agar mereka dapat menjalankan tugasan mereka dalam persekitaran yang mengandungi peralatan canggih dan moden dalam kos sewaan rendah di kediaman masing-masing, sekali gus dapat melahirkan pencipta kandungan yang lebih profesional," akhiri Pakcik Chin Swee.


Beliau berharap usaha tersebut dapat memperluaskan lagi peranan KamiSempoi dalam melahirkan bakat baharu yang mampu mencipta nama menerusi TikTok.


“Harapan saya adalah untuk terus merajui industri TikTok ini dan melahirkan lebih ramai penghibur serta influencer di TikTok. Paling penting, saya mahu melihat orang yang bermula daripada kosong menjadi seseorang,” katanya.


Pendek kata, daripada seorang content creator yang melihat TikTok sebagai peluang pada 2021, Pakcik Chin Swee kini membawa misi lebih besar — bukan sekadar mengejar kedudukan atau keuntungan, tetapi membina sebuah ekosistem yang mampu mengubah individu biasa menjadi pencipta kandungan dan penghibur profesional yang berjaya.


Hari ini, akaun TikTok @pakcik_chinswee mempunyai lebih 593,000 pengikut dengan 5.9 juta tanda suka, namun bagi Pakcik Chin Swee, pencapaian tersebut hanyalah sebahagian daripada perjalanan.


Bagi beliau, perjalanan itu belum selesai kerana peluang yang dilihatnya di TikTok sejak awal masih ada. 


Bezanya, hari ini beliau bukan lagi sekadar membina dirinya sendiri di platform tersebut, tetapi turut membantu orang lain membina nama, personal branding dan sumber pendapatan melalui peluang yang tersedia menerusi dunia digital.



#KamiSempoiInternationalAgency #TikTok #PakcikChinSui #PenciptaKandungan 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan