Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

17 TAHUN TERPISAH, MENDUA KEMBALI DENGAN 'JARAK' KUATKAN IKATAN!


BUKAN
mudah untuk menghidupkan semula chemistry yang pernah terjalin hampir dua dekad lalu, namun bagi Kumpulan Mendua dari Indonesia, pertemuan semula tiga anggotanya, Hendra Purnanto (Pungky), Dr. Marisha Friska Halauwet (Sasha) dan 
Diana Puspitasari (Diana) membuktikan bahawa masa dan jarak tidak mampu memadam ikatan persahabatan mereka.


Trio yang pernah mencuri perhatian sebagai naib juara program realiti pencarian bakat Gangstarz musim pertama  di TV3 itu kini kembali ke persada muzik dengan single terbaharu berjudul ‘Jarak’.


Lebih daripada sekadar lagu comeback, 'Jarak' seolah-olah menjadi gambaran perjalanan hidup mereka sendiri yang pernah dipisahkan oleh masa, komitmen serta kehidupan masing-masing sebelum kembali disatukan sebagai Mendua.


Pungky mengakui peluang untuk kembali bersama Sasha dan Diana memberikan kegembiraan tersendiri kerana mereka bukan sekadar rakan seperjuangan dalam muzik, malah sudah dianggap sebagai sahabat.



“Senang banget bisa reunian sama sahabat-sahabat aku lagi. Dalam prosesnya, kami senang sekali. Apalagi yang nulis lagu dan produserin lagunya juga sahabat-sahabat kami sendiri,” katanya.


Sasha pula menyifatkan peluang untuk kembali berkarya sebagai sesuatu yang tidak pernah dijangka selepas sekian lama meninggalkan pentas bersama Mendua.


“Nggak nyangka bisa balik lagi dan dikasih kesempatan berkarya di dunia seni lagi,” katanya.


Sementara itu, Diana melihat pemilihan ‘Jarak’ sebagai lagu comeback cukup bertepatan dengan perjalanan mereka, terutama pengalaman merantau dan berjauhan ketika aktif menyanyi di Malaysia suatu ketika dahulu.


“Jarak ini adalah single yang dekat dengan kita, kerana dari dulu kan juga merantau ya waktu nyanyi di Malaysia,” katanya.



Dicipta Arland Joe dan diterbitkan Adrian Martadinata, ‘Jarak’ mengangkat kisah hubungan yang berdepan keterpisahan, dengan rindu, kesabaran, kepercayaan dan komitmen menjadi tunjang utama lagu berkenaan.


Tema itu dilihat cukup dekat dengan realiti kehidupan, khususnya mereka yang terpaksa berjauhan dengan pasangan atau insan tersayang kerana tuntutan pekerjaan, pendidikan mahupun keadaan tertentu.


Bagi Mendua, jarak tidak semestinya menjadi noktah kepada sesebuah hubungan. Sebaliknya, ia boleh menjadi ujian yang mengukuhkan ikatan apabila kedua-dua pihak mampu mempertahankan kepercayaan dan komitmen.


Menariknya, perjalanan comeback mereka turut dibawa ke pentas Gegar Vaganza musim ke-12, sekali gus menghidupkan kembali nostalgia peminat yang mengikuti Mendua sejak kemunculan mereka dalam Gangstarz.


Kemunculan itu juga menjadi peluang buat Pungky, Sasha dan Diana membuktikan bahawa keserasian mereka sebagai sebuah kumpulan masih belum hilang walaupun sudah 17 tahun tidak bersama dalam industri muzik.


Mendua sebelum ini dikenali menerusi lagu 'Hampir ke Situ', yang menjadi antara karya yang sinonim dengan perjalanan awal mereka selepas muncul sebagai naib juara Gangstarz.


Kini, selepas tempoh panjang membawa kehidupan masing-masing, mereka kembali bukan hanya untuk mengimbau nostalgia, tetapi mahu membina semula hubungan dengan peminat menerusi karya baharu.


MENDUA... Ketika di pentas Gangstarz dan gambar bawah semasa sertai Gegar Vaganza musim ke-12. 


Komuniti peminat Mendua yang dikenali sebagai “Mendunia” turut menjadi antara sebab yang menguatkan semangat mereka untuk kembali berkarya.


Lebih menarik, comeback berkenaan menemukan dua kelompok pendengar iaitu peminat lama yang membesar dengan lagu-lagu Mendua serta generasi baharu yang mula mengenali mereka menerusi Jarak.


Mendua berharap kemunculan semula ini dapat mempertemukan kembali mereka dengan peminat lama, selain membuka peluang untuk generasi baharu mengenali muzik dan perjalanan kumpulan berkenaan.


Pada masa sama, mereka menyimpan harapan untuk kembali menembusi pasaran serantau, khususnya Malaysia dan Singapura yang mempunyai kaitan rapat dengan perjalanan muzik mereka sebelum ini.


Dengan formasi asal yang kembali lengkap, Mendua kini bersedia membuka lembaran baharu dengan 'Jarak' menjadi penghubung antara kenangan lama dan perjalanan muzik mereka yang seterusnya.


Menerusi 'Jarak', mereka mahu menyampaikan bahawa perpisahan fizikal tidak semestinya menjadi pengakhiran sesebuah hubungan, sebaliknya mampu menjadi ujian yang menguatkan ikatan sekiranya kedua-dua pihak memiliki kepercayaan dan komitmen.



#Mendua #MalaysiaIndonesiaSingapura #Jarak #Gangstarz #GegarVaganza #fyp


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan