KESS PERKASA KOMUNITI, LANCAR PROGRAM JUNIOR, METERAI MoU BANTU ANAK-ANAK ISTIMEWA!
KUALA LUMPUR: Kedai Emas Sri Semantan (KESS) memperluas pendekatannya dalam mendekati masyarakat menerusi pelancaran Program Junior yang membolehkan ibu bapa memulakan simpanan emas untuk anak-anak serendah RM10, selain memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bersama Pertubuhan Ibu Bapa Anak-Anak Istimewa Malaysia (PRISMA) bagi memperkukuh kebajikan komuniti anak istimewa.
Pelancaran dan kerjasama itu mencerminkan pendekatan KESS yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pemilikan serta simpanan emas, malah memperluas peranannya dalam membina kesedaran kewangan sejak usia muda dan menyokong kesejahteraan masyarakat.
Menerusi Program Junior, simpanan emas didaftarkan atas nama anak manakala ibu bapa bertindak sebagai penjaga atau guardian. Konsep e-gold membolehkan simpanan dimulakan secara kecil-kecilan serendah RM10 sebelum dikumpulkan sehingga mencapai satu gram dan boleh ditukarkan kepada emas fizikal.
Menurut Pengerusi Eksekutif KESS, Mohamad Hafizal Hj Mahmood, program Junior menawarkan pilihan tambahan kepada ibu bapa yang mahu menyediakan simpanan emas untuk anak masing-masing.
“Kita beri pilihan di mana ahli komuniti boleh membeli emas serendah RM10 di mana emak ayah boleh letakkan nama anak dan mereka menjadi guardian,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian cawangan ke-23 Kedai Emas Sri Semantan di Wangsa Maju, Setapak pada semalam, 23 Ogos 2026.
Mohamad Hafizal menambahkata program Junior yang baru diperkenalkan itu merupakan sebahagian daripada pendekatan KESS memperluaskan akses pemilikan emas kepada masyarakat, selaras dengan konsep e-gold yang membolehkan simpanan dibuat secara berperingkat.
Menurutnya, konsep e-gold diperkenalkan bagi mengubah persepsi bahawa seseorang perlu menyediakan modal ribuan ringgit sebelum mampu memiliki emas.
“Selama ini kita rasa susah untuk membeli emas sebab sekurang-kurangnya kena ada RM4,000 atau RM5,000. Tetapi dengan konsep e-gold, kita mengajak orang ramai menyimpan serendah RM10,” jelas Mohamad Hafizal.
Menerusi konsep itu, nilai simpanan pelanggan akan dikira berdasarkan harga emas semasa dan dikumpulkan sehingga mencapai satu gram, sebelum boleh ditukarkan kepada emas fizikal.
Sambutan terhadap e-gold juga dilaporkan amat menggalakkan apabila jumlah penyertaan setakat minggu lalu telah melebihi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan syarikat.
Dalam perkembangan sama, KESS turut memeterai MoU bersama PRISMA bagi tempoh tiga tahun sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam membantu keluarga dan anak-anak istimewa di seluruh Malaysia.
Sehubungan itu, seiring perasmian KESS Cawangan Wangsa Maju, majlis turut menyaksikan acara menandatangani perjanjian persefahaman antara KESS dan PRISMA (Pertubuhan Ibu Bapa Anak-anak Istimewa) yang diwakili Pengerusinya, pelakon, penerbit dan pengarah Dr. Ahmad Idham.
Turut bersama beberapa selebriti dan personaliti terkenal antaranya pelakon veteran Riezman Khuzaimi dan Datin Salwa Abd Rahman serta suaminya. Datuk Subadron Abdul Aziz.
Kerjasama itu merangkumi pelaksanaan program kebajikan dan bantuan komuniti seperti sumbangan bakul makanan, keperluan asas keluarga serta program ziarah, selain bengkel kesedaran ibu bapa, seminar anak istimewa dan kempen kesedaran masyarakat.
Turut menjadi fokus ialah bantuan kepada sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) menerusi sumbangan peralatan pendidikan, kemudahan pembelajaran serta program motivasi dan pembangunan murid khas.
Menerusi MOU berkenaan, KESS akan menyalurkan dana CSR, memberi sokongan strategik dan promosi serta membantu memperkukuh jaringan antara sektor korporat dan komuniti, manakala PRISMA akan menguruskan dana bagi program yang dipersetujui secara telus dan profesional.
Kedua-dua pihak turut merancang program CSR bersama, kempen kutipan dana serta aktiviti sosial dan pembangunan komuniti bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan keluarga anak istimewa.
Kerjasama berkenaan selaras dengan usaha mewujudkan masyarakat lebih inklusif dan sejahtera, selain memperkukuh budaya prihatin serta tanggungjawab sosial korporat.
Dengan pelancaran Program Junior dan kerjasama bersama PRISMA, KESS dilihat mengembangkan peranannya daripada sekadar menawarkan produk emas kepada usaha membina budaya simpanan sejak usia muda serta menyumbang kepada pembangunan komuniti secara lebih menyeluruh.
Pembukaan cawangan ke-23 di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, menjadi bukti komitmen KESS untuk membawa kesedaran mengenai kepentingan emas kepada lebih ramai masyarakat, selain memperkukuh komuniti Emas Sri Semantan di seluruh negara.
Menurut Mohamad Hafizul, emas semakin dilihat sebagai pilihan untuk simpanan jangka panjang dan tabung kecemasan kerana mempunyai nilai yang boleh digunakan apabila seseorang berdepan keperluan kewangan.
“Dalam kehidupan yang serba mencabar ini, semakin ramai yang tercari-cari sesuatu yang kekal, bukan sekadar cantik dipandang tetapi juga boleh menjadi penyelamat ketika keadaan mendesak.
“Maka di sinilah emas memainkan peranan penting, bukan sahaja sebagai barang perhiasan, tetapi juga sebagai simpanan nilai yang patuh syariah dan penuh makna yang boleh digunakan apabila keperluan tiba,” tambah Mohamad Hafizal pada temuramah yang turut disertai Ahli Lembaga Pengarah KESS, Shaaini Md Jumaat dan Datuk Nasarudin Mohamed Tahir selaku Pengarah Pembangunan Perniagaan KESS.

DARI Kiri: Nasarudin, Mohamad Hafizal dan Shaaini.
Jelasnya, visi dan misi KESS sejak penubuhannya juga tidak pernah berubah, iaitu menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi di samping memastikan pelanggan mendapat layanan yang mesra dan pengalaman yang memuaskan.
Pihaknya bersyukur kerana selepas melepasi separuh tahun 2026, KESS memperlihatkan pencapaian yang membanggakan waima sokongan daripada komuniti Emas Sri Semantan terus memberikan keyakinan untuk bergerak lebih jauh.
“Menuju ke penghujung tahun 2026, kita semua optimis bahawa sasaran untuk membuka sekurang-kurangnya 30 buah kedai emas akan dicapai, insya-Allah,” akhiri Mohamad Hafizal penuh yakin.
#KedaiEmasSriSemantanWangsaMaju #ProgramJunior #EGold #PRISMA #ForYouPage







Tiada ulasan:
Catat Ulasan