Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

GIANT DESTINA PUTRAJAYA JADI DESTINASI SEHENTI, DEKATI KOMUNITI MODEN


PUTRAJAYA
— Keperluan pengguna yang semakin mengutamakan kemudahan, kepantasan dan pilihan lengkap mendorong GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. memperkenalkan Giant Destina Putrajaya sebagai destinasi sehenti yang menghimpunkan keperluan harian, makanan, minuman, kesihatan serta kecantikan di bawah satu bumbung.


Kedudukannya yang mempunyai akses terus kepada rangkaian pengangkutan awam termasuk MRT Putrajaya dan KLIA Transit dilihat memberi nilai tambah kepada penduduk, penjawat awam, warga kerja serta pengguna yang berulang-alik ke Putrajaya.


Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd., Cheah Yong Hock berkata, pembukaan Giant Destina Putrajaya bukan sekadar penambahan cawangan baharu, sebaliknya mencerminkan pendekatan syarikat untuk menyesuaikan pengalaman membeli-belah dengan gaya hidup pengguna masa kini.


“Giant Destina Putrajaya menggabungkan nilai yang sinonim dengan Giant dengan pengalaman membeli-belah yang lebih moden dan lengkap. Dengan akses terus kepada rangkaian pengangkutan awam, kami berharap cawangan ini dapat memberikan lebih kemudahan kepada penduduk, penjawat awam, warga kerja serta komuniti komuter di Putrajaya,” katanya pada majlis pelancaran Giant Destina Putrajaya pada 13 Ogos 2026 lalu.



Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd,  Linda Phang; Senior General Manager, KLCC Holdings Group Commercial & Development, Ikhwan Hamzah Azizan dan Pardon Munawar selaku Timbalan Pengarah (Pembangunan), Bahagian Pencen Jabatan Perkhidmatan Awam. 


Menurut Cheah, Giant terus memberi penekanan kepada nilai untuk pelanggan menerusi strategi “Harga Rendah, Lebih Lama”, khususnya bagi barangan keperluan harian termasuk hasil segar tempatan dan barangan asas dapur.


Pada masa sama, Giant Destina Putrajaya turut menawarkan kepelbagaian pilihan makanan dan minuman menerusi Uncle Jack Fried Chicken, Sudut Nasi Campur dan Kyojin Sushi, selain Mercato Café & Bakery yang menyediakan kopi, roti sourdough yang dibakar segar serta pelbagai pilihan pastri.


Bagi melengkapkan keperluan pengguna, MY CHEMIST Hub turut menyediakan rangkaian produk kesihatan, penjagaan diri dan kecantikan.



Pembukaan Giant Destina Putrajaya turut diserikan dengan pesta “Jalan Jalan Cari Jajan” yang berlangsung dari 13 hingga 31 Ogos 2026, menampilkan pelbagai pilihan snek, kudapan dan minuman popular kepada pelanggan, komuter serta komuniti sekitar Putrajaya.


Dalam perkembangan sama, Giant turut memperkenalkan penghargaan khusus buat penjawat awam dan pesara menerusi rangkaian makanan Uncle Jack, Mercato Café dan Kyojin Sushi sebagai sebahagian daripada usaha memberikan nilai tambah kepada komuniti setempat.


Giant Destina Putrajaya merupakan sebahagian daripada usaha berterusan GCH Retail untuk memperkukuh kehadirannya dalam sektor peruncitan dengan menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih mudah, lengkap dan bernilai, selaras dengan perubahan gaya hidup serta keperluan pengguna moden.



GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. mengendalikan beberapa jenama peruncitan utama di Malaysia termasuk Giant, Cold Storage, Mercato, TMC serta MY CHEMIST Hub.


“Selama 81 tahun, Giant telah berkhidmat sebagai nadi pusat perbelanjaan isi rumah di Malaysia. Kami telah membesar bersama-sama negara ini, menjimatkan setiap ringgit untuk generasi keluarga, menyokong pengeluaran tempatan dan berdiri teguh di samping pengguna Malaysia, menurusi setiap kitaran ekonomi,” tambah Cheah.


Jelasnya, pemilihan Putrajaya sebagai lokasi Giant Destina turut mengambil kira keunikan bandar itu yang bukan sahaja menjadi pusat pentadbiran negara, malah mencerminkan aspirasi moden dan gaya hidup masyarakat yang semakin berkembang.



“Putrajaya adalah sebuah bandar yang unik. Ia mewakili kekuatan pentadbiran, ambisi moden dan keberdayaan kaya yang dimiliki Malaysia.


“Apabila kami mereka bentuk Giant Destina, kami menyedari bahawa sebuah konsep pasar raya biasa tidak akan mencukupi. Putrajaya berhak mendapat sebuah destinasi peruncitan yang menghormati bajet, keluarga mahupun cita rasa pengguna moden yang kian berkembang,” katanya.


Tambah Cheah, Giant Destina direka sebagai pengalaman peruncitan harian yang mengutamakan tiga elemen utama, iaitu nilai harga, pilihan gaya hidup serta akses mudah kepada keperluan kesihatan dan penjagaan diri.


“Giant Destina dibina khas untuk anda,” akhirinya.



#GiantDestinaPutrajaya #JalanJalanCariJajan #HargaRendahLebihLama #GCHRetail

Tiada ulasan:

Catat Ulasan