Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

KAMISEMPOI GOLDEN AWARD 2025 JADI PENTAS LONJAK INDUSTRI LIVE STREAMING!


KETIKA
 live streaming semakin berkembang daripada sekadar medium hiburan kepada salah satu cabang ekonomi digital yang menawarkan peluang kerjaya, KamiSempoi International Agency (KSIA) melihat sudah tiba masanya bidang itu dibangunkan dengan pendekatan lebih tersusun dan profesional.

Bukan hanya mahu melahirkan lebih ramai hos yang mampu menghiburkan penonton, KSIA kini memberi tumpuan kepada pembentukan bakat yang mempunyai kemahiran, disiplin, pengetahuan teknikal serta kemampuan menghasilkan kandungan LIVE berkualiti tinggi menerusi penubuhan KamiSempoi Premier Academy.


Perancangan itu bakal diperkenalkan pada kemuncak KamiSempoi Golden Award 2025, yang kembali buat tahun keempat berturut-turut sebagai platform mengiktiraf pencapaian pencipta kandungan digital, Live Host, Sub Agency, Talent Manager dan komuniti yang menyokong perkembangan ekosistem KSIA.


Acara berkenaan dijadual berlangsung pada 28 Ogos 2026 di Glitz Gala Ballroom, Pusat Perdagangan Mines 2, Mines Wellness City, Seri Kembangan, dengan M Route 19 sebagai penaja utama dan MK Media Studios sebagai penaja bersama.


Menurut CEO KSIA dan Live Host TikTok, Pakcik Chin Swee, penubuhan akademi itu lahir daripada keperluan untuk mengubah persepsi terhadap kerjaya live streaming yang selama ini sering dianggap mudah kerana boleh dilakukan dari rumah.


“Ramai orang mahu jadi live streamer tetapi tidak ada direction.


“Kita mahu ubah mindset bahawa sebab kerja dari rumah, kita tidak perlu ada disiplin. Kalau mahu jadikan ini pekerjaan tetap, kita kena bekerja dan belajar.


“Kena ada drive, kena ada fighting spirit dan kena ada performance. Sebab itu kami wujudkan akademi ini,” kata Pakcik Chin Swee pada sidang media KamiSempoi Golden Award 2025 yang diadakan baru-baru ini.


Turut hadir Duta KSIA & Liuve Host TikTok, pelakon veteran, Riezman Khuzaimi aka Abg Don dan barisan Live Host TikTok lainnya seperti penyanyi Bulan Asyraf, Adelyn Heng, Abam Rongg, Issey Miyake dan Love Lilysa.


Beroperasi di pejabat KSIA di Quill City Mall, Kuala Lumpur, KamiSempoi Premier Academy akan menjadi pusat latihan dan pembangunan bagi individu yang benar-benar serius mahu menjadikan live streaming sebagai kerjaya profesional.


Pengambilan peserta akan dibuat menerusi proses temuduga dan saringan dengan latar belakang seseorang bukan menjadi faktor utama pemilihan, sebaliknya minat, kesungguhan, kebolehan berkomunikasi dan potensi untuk dibangunkan lebih diutamakan.


“Kami tidak kisah mereka datang daripada background apa. Penyanyi, pengacara, pelajar, suri rumah atau orang biasa sekalipun.


“Yang penting mereka mahu belajar, mahu bekerja dan betul-betul serius untuk jadikan live streaming sebagai kerjaya.


“Kalau dia pandai bercakap, pandai berkomunikasi dan boleh menghiburkan orang, itu yang kami cari,” ujar Pakcik Chin Swee.


Program pembangunan akademi itu dirangka untuk tempoh satu tahun dan peserta bukan sekadar mengikuti latihan, malah perlu bekerja serta membuktikan kemampuan menerusi pencapaian sebenar.


Antara penanda aras yang ditetapkan ialah pencapaian satu juta diamond dalam tempoh setahun sebagai salah satu syarat untuk menamatkan program, manakala peserta yang menunjukkan prestasi cemerlang berpotensi mencapai sasaran itu lebih awal.


Tempoh sekitar enam bulan dilihat sebagai antara perkembangan terpantas yang boleh dicapai oleh hos yang benar-benar menunjukkan prestasi memberangsangkan.


Kurikulum akademi merangkumi latihan teknikal, pembangunan kandungan, penampilan dan ketrampilan diri, persembahan, komunikasi, live setup, interaksi dengan penonton serta pembangunan prestasi LIVE.


“Kami ada kurikulum. Mereka perlu belajar dan bekerja pada masa yang sama.


“Kalau ada yang boleh berkembang dalam enam bulan dan capai sasaran, itu sangat bagus. Tetapi program ini secara keseluruhannya adalah untuk tempoh satu tahun.


“Kalau mereka tidak mencapai sasaran, mereka perlu melalui penilaian dan latihan seterusnya. Kami mahu mereka benar-benar layak dan bersedia sebelum graduate,” tambah Pakcik Chin.



SEDIAKAN STUDIO PROFESIONAL UNTUK MEREKA YANG BELUM MEMPUNYAI MODAL


Pada masa sama, KSIA turut merancang menyediakan kemudahan studio LIVE secara sewaan kepada hos yang belum mempunyai kemampuan kewangan untuk menyediakan studio sendiri.


Kemudahan itu bakal menyediakan keperluan asas seperti PC, dua kamera dan sistem audio, sekali gus membolehkan bakat baharu memulakan perjalanan mereka tanpa perlu menanggung kos tinggi untuk membina studio profesional sendiri.


“Untuk set up sebuah live studio yang betul-betul profesional, kosnya besar.


“Kalau mereka sudah menyimpan dan ada bajet, mereka boleh set up studio sendiri. Tetapi kalau belum ada bajet, kami mahu sediakan studio untuk mereka,” katanya.


Langkah itu merupakan sebahagian daripada aspirasi KSIA untuk membangunkan sebuah pusat sehenti yang menyediakan bukan sahaja latihan, malah kemudahan dan sokongan teknikal kepada mereka yang mahu membina kerjaya dalam industri live streaming.


Usaha meningkatkan tahap profesionalisme itu turut didorong oleh pemerhatian KSIA terhadap perkembangan industri LIVE di China menerusi platform Douyin, yang menurut Pakcik Chin Swee jauh lebih maju dari segi kandungan dan produksi.


“Kalau kita lihat Douyin di China, mereka sudah jauh ke hadapan. Saya boleh katakan mereka mungkin sudah 10 hingga 12 tahun lebih advance daripada kita.


“Di sana, orang buat LIVE sudah macam sebuah rancangan televisyen. Malah ada live yang mempunyai produksi sangat besar, termasuk konsert dan pelbagai bentuk persembahan.


“Kita di Malaysia masih mempunyai banyak ruang untuk penambahbaikan. Kalau kita mahu bersaing, kita perlu mula bergerak ke arah live streaming yang lebih profesional,” katanya.


Justeru, beliau melihat aspek seperti kamera, PC, sistem audio, pencahayaan, grooming, penampilan, kandungan dan komunikasi perlu diberikan perhatian secara menyeluruh dalam usaha menghasilkan sesi LIVE yang berkualiti.


“Kualiti bukan hanya pada cara mereka bercakap. Kita tengok keseluruhan live itu.


“Bagaimana setup mereka, bagaimana kamera mereka, bagaimana mereka tampil, bagaimana mereka communicate dan bagaimana mereka menghiburkan penonton.


“Kalau pandai bercakap, pandai berkomunikasi dan pandai menghiburkan orang, itu asas yang sangat bagus. Tetapi kita mahu membentuk mereka menjadi lebih profesional,” katanya.



DARI KAMISEMPOI GOLDEN AWARD KE MASA DEPAN LIVE STREAMING


Dalam perkembangan sama, KamiSempoi Golden Award 2025 akan terus menjadi platform utama KSIA dalam menghargai pencapaian komuniti yang membangunkan ekosistem agensi berkenaan.


Menurut Pakcik Chin Swee, anugerah itu bukan sekadar memberi pengiktirafan kepada Live Host, sebaliknya turut meraikan Sub Agency, Gifter dan rakan penaja yang memainkan peranan penting dalam perkembangan platform.


“KamiSempoi Golden Award kita adakan untuk menghargai semua pihak dalam platform kami. Bukan sahaja live host, tetapi juga sub-agency, gifter dan rakan penaja yang memainkan peranan masing-masing.


“Kami mahu mereka tahu bahawa kerja keras dan pencapaian mereka dihargai. Pada masa sama, anugerah ini juga menjadi motivasi kepada lebih ramai live host untuk meningkatkan prestasi mereka,” katanya.


Edisi tahun ini menampilkan 20 kategori pengiktirafan, termasuk 13 kategori untuk Live Host, tiga kategori bagi Sub Agency dan Talent Manager, satu kategori Gifter serta tiga pengiktirafan utama mengikut pasaran iaitu Top Host Malaysia, Top Host Singapore dan Top Host Indonesia.


Pengenalan kategori mengikut negara itu turut mencerminkan perkembangan KSIA di peringkat serantau, dengan komuniti kini merangkumi kira-kira 4,300 Live Host di Malaysia, 1,500 di Indonesia dan 200 di Singapura.


Rangkaian Rakan Niaga KSIA di ketiga-tiga negara itu pula telah menghasilkan lebih 150 juta diamond, memperlihatkan sumbangan mereka dalam membina pasukan, membangunkan bakat serta mengembangkan komuniti Live Host di bawah agensi berkenaan.


Antara yang mencatat pencapaian membanggakan ialah BossKlan, penerima Sub Agency of the Year 2024 yang turut menjadi Rakan Kongsi pertama KSIA membuka pejabat sendiri di Singapura.


Pencapaian itu menunjukkan laluan kerjaya dalam industri live streaming tidak terhad kepada menjadi Live Host kerana individu yang mempunyai kemampuan mengurus pasukan dan membangunkan bakat turut berpeluang berkembang sebagai Sub Agency atau Rakan Niaga.


Bagi edisi kali ini, pemilihan penerima pengiktirafan juga dibuat dengan lebih teliti apabila pencapaian dan prestasi dijadikan antara ukuran utama, bukannya populariti semata-mata.


Bagi Live Host, penilaian dibuat berdasarkan diamond achievement dan live achievement selain mengambil kira tahap komitmen serta perkembangan mereka sepanjang berada dalam ekosistem KSIA.


THROWBACK... KamiSempoi Golden Award 2025...


“Tahun ini kita betul-betul pilih host yang akan menyertai acara ini. Kita mahu mereka yang berada di pentas itu mempunyai pencapaian yang boleh dibanggakan.


“Antara perkara yang kita lihat ialah diamond achievement dan live achievement. Jadi ia bukan semata-mata kerana seseorang itu popular, tetapi kerana mereka benar-benar menunjukkan prestasi dan usaha,” jelasnya.


Melihat kepada pertumbuhan komuniti serta potensi pasaran serantau, KSIA mahu industri live streaming Malaysia bergerak ke arah yang lebih matang dengan menjadikan bidang berkenaan sebagai pilihan kerjaya yang serius.


Pakcik Chin Swee berkata, matlamat akhirnya adalah untuk melahirkan Live Host tempatan yang bukan sahaja mampu mendapatkan tontonan, tetapi turut berupaya menghasilkan sebuah persembahan LIVE dengan kandungan dan standard produksi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.


“Kami mahu orang melihat live streaming sebagai satu kerjaya profesional.


“Kami mahu lahirkan generasi baharu yang bukan sahaja boleh mendapatkan tontonan, tetapi boleh menghasilkan sebuah live show yang berkualiti dan mempunyai standard produksi yang tinggi.


“Ini bukan sesuatu yang boleh berlaku dalam satu malam. Tetapi kita perlu mula bergerak sekarang. Kami percaya masa depan live streaming Malaysia sangat besar,” katanya.


Menerusi KamiSempoi Golden Award 2025, KSIA meraikan pencapaian komuniti yang telah dibangunkan, manakala penubuhan KamiSempoi Premier Academy pula menjadi langkah seterusnya dalam usaha membina generasi Live Host yang lebih profesional, berkemahiran dan bersedia menghadapi persaingan industri digital yang semakin berkembang.



#KamiSempoiGoldenAward2025 #KamiSempoiPremierAcademy #LiveHostTikTok

Tiada ulasan:

Catat Ulasan