ASTRO RAIKAN 30 TAHUN DENGAN KANDUNGAN, GANJARAN DAN PENGALAMAN ISTIMEWA BUAT RAKYAT MALAYSIA
KUALA LUMPUR — Tiga dekad menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia, Astro kini meraikan ulang tahun ke-30 dengan pelbagai tawaran kandungan, ganjaran serta pengalaman eksklusif buat pelanggan bermula Ogos hingga Disember ini.
Sebagai tanda penghargaan atas sokongan berterusan masyarakat Malaysia, sambutan itu menampilkan akses percuma kepada semua saluran Astro untuk tempoh terhad, dua saluran khas, akses kepada Astro X3 di TV pintar, tambahan saluran percuma untuk pelanggan NJOI selain pelbagai ganjaran dan aktiviti di lapangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro Henry Tan, berkata sokongan jutaan rakyat Malaysia sepanjang tiga dekad lalu menjadi pemangkin kepada Astro untuk terus memainkan peranan dalam membentuk landskap media dan hiburan negara.
“Bersempena sambutan ulang tahun ke-30, kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada jutaan rakyat Malaysia yang telah menjadikan kami sebahagian daripada kehidupan mereka.
“Sepanjang tiga dekad lalu, kami berbesar hati kerana berpeluang memainkan peranan penting dalam membentuk landskap media dan hiburan negara serta terus berkhidmat kepada komuniti di seluruh Malaysia menerusi pelbagai cerita, hiburan, pendidikan dan pengalaman yang dikongsi bersama,” katanya.
Menurut Henry, kepercayaan dan sokongan masyarakat turut membolehkan Astro meneroka serta melahirkan lebih banyak bakat tempatan, di samping menghasilkan kandungan yang mencerminkan keunikan dan kepelbagaian rakyat Malaysia.
Beliau berkata Astro kini berbangga sebagai pencipta kandungan nombor satu di Malaysia, hasil kepercayaan penonton selain komitmen berterusan pasukan, rakan kongsi dan barisan bakat yang terlibat.
“Selari dengan landskap media yang terus berkembang, kami kini lebih komited untuk mengangkat kisah-kisah Malaysia, memupuk bakat generasi baharu serta mencipta pengalaman yang mampu menyatukan rakyat Malaysia.
“Menjadi satu penghormatan buat kami untuk terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia dan kami teruja serta diinspirasikan oleh peluang-peluang yang menanti pada masa hadapan,” katanya.
Bagi pelanggan Astro, akses kepada semua saluran Astro ditawarkan secara percuma dari 15 Ogos hingga 16 September 2026.
Dalam tempoh sama, dua saluran khas turut diperkenalkan iaitu Astro 30 di Saluran 100 dan Aniplus di Saluran 120.
Astro 30, yang tersedia sehingga 31 Oktober, membawakan himpunan filem blockbuster, konsert, program popular serta kandungan antarabangsa termasuk kesemua lapan filem Spider-Man, Borneo Rising, The Last Kopek Senario Reunion 30 Tahun, BTS: Love Yourself in New York Concert Film, How to Make Millions Before Grandma Dies, Tekad: Ekspedisi Guthrie Everest 2026 dan edisi terbaharu Tom Tom Bak, selain lima telemovie istimewa.
Sementara itu, Aniplus yang tersedia sehingga 31 Disember 2026 menawarkan pelbagai siri anime popular dan terbaharu dari Jepun termasuk Trapped in a Dating Sim 2: The World of Otome Games is Tough for Mobs dan Hanaori-san Still Wants to Fight in the Next Life.
Dalam perkembangan berkaitan, pelanggan juga boleh menikmati Astro X3 yang baharu dilancarkan menerusi TV pintar, sekali gus membolehkan mereka menstrim kandungan menggunakan aplikasi Astro tanpa memerlukan dekoder.
Pelanggan NJOI pula bakal menikmati tambahan kandungan secara percuma menerusi Astro Prima, Astro Oasis, Astro AEC dan Stadium Astro mulai 13 Ogos, menjadikan keseluruhan 26 saluran yang boleh ditonton secara percuma.
Sambutan ulang tahun itu turut diperluaskan menerusi Astro Audio melalui inisiatif KITA FM 2026: Satu Nama, Satu Suara, yang menghimpunkan kesemua 13 jenama Astro Audio di bawah satu payung menerusi siaran langsung dari luar konti.
Inisiatif berkenaan akan menampilkan jelajah bas, sesi beramah mesra serta pengalaman interaktif bersama pendengar, bermula dengan sambutan Hari Merdeka di Dataran Putrajaya sebelum berakhir di Kuching, Sarawak pada 16 September.
Sempena Hari Malaysia, KITA FM turut akan menganjurkan Larian 63 Kilometer yang menghimpunkan penyampai radio Astro dalam usaha mencipta rekod Malaysia Book of Records, selain melancarkan lagu tema berbilang bahasa, “KITA”, di semua platform penstriman.
Bagi peminat konsert pula, MY FM Big Show kembali pada 17 Oktober di Arena of Stars, Resorts World Genting, menampilkan barisan penyampai MY FM bersama bintang tempatan dan antarabangsa.
Pelanggan Astro turut berpeluang menikmati pelbagai tawaran termasuk diskaun dan tiket percuma ke beberapa acara seperti ALPHA First Wave, MY FM Big Show, Gegar Vaganza dan Konsert KITA Countdown, selain akses lorong pantas untuk sesi ramah mesra di acara Home of Kids serta acara sukan utama seperti Sepak Takraw League dan Sultan Azlan Shah Cup.
Kemuncak sambutan ulang tahun ke-30 Astro pula akan berlangsung di pentas utama Pintu Masuk Utama Pavilion Kuala Lumpur pada 23 Ogos, dengan penampilan barisan bintang ternama dan bakat baharu termasuk Faizal Tahir, Sherry Al Hadad, Stacy Anam, ALPHA, Vanessa Reynauld, Auddra dan Zeppo Youngsterz.
Peminat turut berpeluang bertemu beberapa bintang kegemaran daripada Talk To My Manager 2 termasuk Cik B, Azeva dan Amarra, selain pemenang Big Stage Rocketfuel dan Big Stage Tamil.
Acara berkenaan turut menampilkan barisan pelakon dan bintang daripada siri drama serta filem seperti Wolong: The Mastermind, Visham, Mounam Pesiyadhe, Kudrat dan Terbang, sebuah filem yang diinspirasikan daripada kisah benar pelumba rali legenda negara, Karamjit Singh.
Pelanggan Astro terpilih juga bakal menikmati pengalaman lebih dekat bersama barisan selebriti menerusi Zon VIP Rock eksklusif.
Dengan sambutan 30 tahun ini, Astro menegaskan komitmennya untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti, mengangkat bakat tempatan serta menawarkan pengalaman yang lebih dekat dengan penonton di seluruh Malaysia.
Tawaran dan pengalaman eksklusif adalah tertakluk kepada terma dan syarat.
#Astro30Tahun #KITAFM2026SatuNamaSatuSuara #MY FM Big Show #fyp






Tiada ulasan:
Catat Ulasan