AVOCAKE PUKIS & DELIGHT HIDANG KEKAYAAN KULINER INDONESIA DI KUALA LUMPUR!
PENGALAMAN tujuh tahun menetap di Indonesia bukan sekadar memperkenalkan Dr. Shamsiah Yaakob kepada kekayaan budaya dan masyarakat negara itu, malah menjadi pencetus kepada usaha membawa cita rasa kulinari Indonesia ke Malaysia menerusi AVOCake Pukis & Delight.
Bermula daripada minat memasak dan kesungguhan mempelajari sendiri pelbagai sajian tempatan sepanjang bertugas sebagai pensyarah di Universitas Diponegoro, Semarang, Indonesia, pengalaman itu akhirnya diterjemahkan menjadi sebuah perniagaan makanan yang kini berkembang ke Kuala Lumpur.
Menghimpunkan pelbagai sajian ikonik dan hidangan popular dari seluruh Indonesia, AVOCake Pukis & Delight menawarkan pelanggan peluang menikmati kepelbagaian rasa Nusantara dalam satu lokasi, termasuk Iga Bakar, Nasi Iga Goreng, Sate Kambing Madura, Nasi Bakar Ikan, Nasi Bakar Ayam, Sempol Ayam, Sempol Daging, Set Sup Janda, Sup Konro, Mi Ayam Cireng, Cilok, Tempe Mendoan, Batagor, Tauhu Goreng Crispy, Pukis, Bakwan dan Somai.
Turut menjadi antara tarikan istimewa restoran berkonsepkan family dining itu ialah pilihan manisan serta minuman berasaskan buah avokado.
Diasaskan Dr. Shamsiah dan Mohd Azri Ahmad Kamil selaku Pengarah Bersama, AVOCake Pukis & Delight turut mendapat sokongan pelabur dari Indonesia, termasuk selebriti dan ahli politik negara berkenaan, Ratieh Sanggarwaty Zen, selain Andi Nilawati Bau Rifai, Soraya Roshanty Yoesoef serta Eny Martuti Kamidjo.
Menurut Dr. Shamsiah, penubuhan AVOCake Pukis & Delight tercetus daripada minat mendalamnya terhadap kekayaan warisan makanan Indonesia serta keinginan memperkenalkan sajian yang mempunyai nilai tradisi, kreativiti dan keunikan tersendiri kepada masyarakat Malaysia.
“Indonesia mempunyai khazanah kulinari yang sangat luas dan setiap daerah mempunyai keistimewaan tersendiri. Melalui AVOCake Pukis & Delight, kami mahu membawa hidangan yang dekat dengan jiwa masyarakat Indonesia untuk dinikmati pelanggan di Malaysia,” katanya pada majlis pembukaan restoran AVOCake Pukis & Delight di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir meriahkan majlis terdiri daripada selebriti tempatan antaranya Ellie Suriaty, Saiful Apek, Raja Azmi dan Rosnan Rahman.
Berkongsi lanjut, Dr Shamsiah memberitahu, sepanjang tempoh berada di Indonesia, beliau mengambil peluang mempelajari sendiri kaedah penyediaan pelbagai makanan tempatan, sekali gus memperkayakan pengetahuan mengenai kepelbagaian kulinari Indonesia.
Menurutnya, minat terhadap dunia masakan turut menjadi antara faktor yang mendorong beliau menjadikan pengalaman tersebut sebagai sebuah perniagaan.
“Kebetulan saya memang suka memasak. Jadi, sepanjang berada di Indonesia, saya mengambil peluang untuk mempelajari cara menyediakan pelbagai jenis makanan tempatan. Pada tahun 2025, saya terfikir, mengapa tidak saya buka perniagaan makanan dan membawa cita rasa Indonesia ke Malaysia? Pada masa yang sama, saya juga mempunyai impian untuk suatu hari nanti membawa makanan Malaysia pula ke Indonesia,” katanya.
Langkah pertama merealisasikan impian itu bermula dengan pembukaan sebuah outlet kecil AVOCake Pukis & Delight di UTC Ampangan, Seremban.
“Percubaan pertama saya adalah membuka sebuah outlet kecil AVOCake Pukis & Delight di UTC Ampangan, Seremban. Alhamdulillah, saya sendiri tidak menyangka ia mendapat sambutan yang begitu baik. Sambutan tersebut mendorong saya untuk membuka sebuah lagi restoran di kawasan Sikamat, Seremban pada penghujung Disember tahun lalu,” katanya.
Menurut beliau, pembukaan restoran di Kuala Lumpur pula tercetus hasil kunjungan Ratieh bersama kumpulannya ke restoran AVOCake Pukis & Delight di Sikamat.
“Ibu Ratieh bersama kumpulannya pernah berkunjung ke restoran kami di Sikamat dan bertanya mengapa saya tidak membuka restoran di Kuala Lumpur. Daripada pertemuan dan perbualan itu, idea tersebut mula berkembang dan akhirnya, bersama Ibu Ratieh serta beberapa rakan beliau, terhasillah AVOCake Pukis & Delight di Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, Mohd Azri berkata, pemilihan menu dilakukan secara teliti bagi memastikan pelanggan dapat menikmati hidangan yang bukan sahaja popular di Indonesia, malah mempunyai tarikan tersendiri dalam landskap kulinari semasa.
“Kami melihat perkembangan makanan Indonesia yang semakin mendapat perhatian di rantau ini. Banyak hidangan dari Indonesia menjadi viral kerana keunikan rasa, persembahan dan kisah di sebalik makanan tersebut. Kami mahu membawa pengalaman itu ke Sentul untuk dinikmati bersama pelanggan,” katanya.
Menurutnya, kepelbagaian menu yang ditawarkan membolehkan pelanggan meneroka pelbagai karakter masakan Indonesia tanpa perlu berkunjung ke lokasi berbeza.
Selain menjadi lokasi menikmati makanan, AVOCake Pukis & Delight turut menyasarkan untuk menjadi ruang santapan yang meraikan budaya, komuniti dan pengalaman gastronomi berkualiti.
Dengan membawa semangat “Rasa Indonesia, Pengalaman Istimewa”, restoran itu berharap dapat menjadi antara destinasi pilihan pencinta makanan yang ingin menikmati keunikan kulinari Nusantara di Kuala Lumpur, selain menjadi jambatan yang menghubungkan warisan makanan Indonesia dan Malaysia.
#AVOCakePukis&Delight #RasaIndonesiaPengalamanIstimewa #ForYouPage







Tiada ulasan:
Catat Ulasan