NAK 'HEALING' ATAS LANGIT KL? JOM SANTAI DI SKY GARDEN MENARA KL!
BAYANGKAN menikmati secawan kopi sambil dikelilingi kehijauan, ditemani panorama 360 darjah Kuala Lumpur dari ketinggian 292 meter – pengalaman itu kini boleh dinikmati menerusi tarikan terbaharu Menara Kuala Lumpur - Sky Garden.
Tarikan baharu itu dilancarkan secara rasmi pada 27 Ogos 2026 lalu bersempena sambutan ulang tahun ke-30 Menara KL (KL Tower), menerusi majlis pemotongan reben yang disempurnakan Pengerusi LSH Capital, Tan Sri Lim Keng Cheng bersama Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Hj Othman.
Pengenalan Sky Garden itu dilihat selari dengan aspirasi KL Tower untuk terus tampil relevan selepas 30 tahun beroperasi, selain memberi pengunjung sebab baharu untuk kembali meneroka mercu tanda berkenaan.
Konsep baharu itu menjadi antara bukti bahawa KL Tower yang sudah tiga dekad menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa masih mampu melakukan transformasi bagi memastikan tarikannya kekal segar, relevan dan kompetitif.
Malah, pihak pengurusan menyifatkan falsafah “old is gold” sebagai semangat untuk terus memperbaharui KL Tower, bukannya sekadar bergantung kepada sejarahnya sebagai salah satu mercu tanda terkenal Kuala Lumpur.
“Apabila kita bercakap mengenai KL Tower yang sudah berusia 30 tahun, kita sering menggunakan ungkapan old is gold. Selepas tiga dekad, kita mahu KL Tower terus relevan dan sentiasa mempunyai sesuatu yang baharu untuk ditawarkan.
“Saya amat menghargai usaha seluruh pasukan yang bekerja keras untuk menjadikan KL Tower berbeza. Kita bukan sekadar mengekalkan apa yang ada, tetapi terus mencipta ruang dan pengalaman baharu untuk pengunjung,” ujar Khairil Faizal pada majlis pelancaran Sky Garden berkenaan.
Tarikan itu turut bakal dilengkapi Sky Cafe yang menawarkan pilihan hidangan à la carte, sekali gus menjadikan pengalaman menikmati pemandangan bandar raya lebih santai dan eksklusif.
Bukan sekadar untuk kunjungan biasa, Sky Garden turut mempunyai potensi sebagai ruang pelbagai guna bagi acara korporat, pelancaran produk, majlis eksklusif dan acara koktel, dengan pilihan ruang dalaman serta luaran.
Khairil berkata, kewujudan ruang dalaman juga memberi alternatif kepada penganjur sekiranya berlaku hujan atau cuaca buruk, sekali gus membolehkan acara diteruskan dalam keadaan lebih selesa.
Dalam pada itu, KL Tower turut bersedia meneroka lebih banyak idea inovatif, termasuk penggunaan teknologi bagi meningkatkan pengalaman pengunjung.
Antara idea yang pernah dikemukakan ialah penggunaan robot untuk menghidangkan kopi di Sky Garden, menunjukkan keterbukaan pengurusan terhadap cadangan baharu daripada warga kerjanya.
“Kita mahu seluruh warga kerja berani mengemukakan idea. Anggaplah KL Tower ini sebagai milik kita bersama. Jika mempunyai cadangan yang baik, kemukakan kepada pihak pengurusan dan kita akan cuba merealisasikannya.
“Jangan berhenti mencipta idea. Jika cadangan itu baik dan mampu membawa perubahan positif kepada KL Tower, pihak pengurusan juga bersedia memberikan penghargaan,” tambah Khairil.
Transformasi berterusan itu turut mendapat perhatian pengunjung termasuk tetamu kenamaan yang pernah mengunjungi KL Tower sebelum ini.
Sambung Khairil, sebahagian tetamu yang kembali selepas beberapa tahun mengakui teruja melihat perubahan serta tarikan baharu yang diperkenalkan, sekali gus membuktikan KL Tower masih mempunyai daya tarikan untuk dikunjungi semula.
Dalam perkembangan berkaitan, KL Tower bakal menjadi lokasi garisan penamat bagi acara tahunan Turkish Airlines Kuala Lumpur Tower Run International Challenge 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 20 September ini.
Peserta perlu menempuh cabaran menaiki 1,608 anak tangga sebelum mencapai garisan penamat, sekali gus menggabungkan cabaran fizikal dengan pengalaman menikmati pemandangan Kuala Lumpur dari aras tinggi.
KL Tower turut menerima pengiktirafan sebagai The Best Kuala Lumpur City View Experience, yang disifatkan sebagai penghormatan serta motivasi kepada pihak pengurusan untuk terus memperkukuh pengalaman yang ditawarkan.
Dengan ulang tahun ke-30 sebagai titik penting, KL Tower mahu memastikan setiap kunjungan memberikan pengalaman berbeza dan menjadi sebab kepada pengunjung untuk datang semula.
“Kita masih mempunyai banyak perkara yang sedang dirancang. Saya tidak mahu mendedahkannya sekarang, tetapi akan ada lebih banyak kejutan yang bakal diperkenalkan.
“Kita mahu menggunakan pendekatan blue ocean strategy untuk mencipta pengalaman baharu dan memastikan KL Tower terus berkembang serta relevan untuk generasi akan datang,” katanya.
Pembukaan Sky Garden pada masa sama diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung tempatan dan antarabangsa, selain menjadi satu lagi pemangkin aktiviti ekonomi serta menyokong perkembangan industri pelancongan negara.
Bagi KL Tower, 30 tahun bukanlah pengakhiran sebuah perjalanan, sebaliknya permulaan kepada lebih banyak pembaharuan untuk memastikan mercu tanda itu terus berdiri sebagai destinasi ikonik Kuala Lumpur — “old is gold”, tetapi tetap berani berubah mengikut zaman'.
#KLTower #SkyGarden #OldIsGold #SkyCafw #TurkishAirlinesKLTowerRun #fyp






Tiada ulasan:
Catat Ulasan