Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

'GANGSTEROCK' DI PAWAGAM SEMPENA HARI RAYA



Terima kasih:  YKS Filem Maker Sdn Bhd dan
                                Rentak Sejuta selaku koordinasi media.


"Saya buat filem ini berdasarkan kepada pengalaman saya sendiri yang kepingin menjadi seorang rocker,"  jujur kata Soffi Jikan.

"Dan untuk itu saya berterima kasih kepada YKS FIlem Maker yang sudi menerima idea serta pengalaman saya untuk mengarahkan sendiri cerita ini," tambah pelakon yang terkenal dengan taglinenya 'Kasi Sengat' kepada media dalam satu temubual yang diaturkan eksklusif di pejabat YKS Filem Maker Sdn Bhd semalam. Turut hadir Penerbit Eksekutif YKS Filem Maker, Serina Dato Redzuawan.


Pada sidang media tersebut, YKS Film Maker mengumumkan  filem  terbitan sulongnya, “Gangsterock” yang dimulakan penggambarannya pada 11hb Januari, 2014 lalu, akan mula ditayangkan pada 17hb Julai, 2015. 

Filem aksi muzikal komedi yang menelan belanja sebanyak RM1.5 juta ini, dikonsepsikan, ditulis, diskrip dan diarah oleh pelakun  berpengalaman dan berkaliber Soffi Jikan, yang juga memegang watak utama dalam filem ini. 

Ditampilkan bersama Soffi, meliputi  ramai pelakon popular lainnya seperti Khir Rahman, Izara Aishah, Saiful Apek dan  Sharifah Amani yang memegang watak-watak penting dalam filem cereka ini. 

Gangsterock yang diterbitkan bersama SKT Media & Entertainment Sdn Bhd dan 1 Man Film,  menggambarkan cerita Shake (Soffi), seorang pemuzik rock yang ingin menyatukan semua Rockers di Kuala Lumpur untuk mengatasi  cabaran daripada gangster yang menggunakan cetak rompak dan kekerasan untuk menghapuskan tentangan draped rockers.

Walaupun Gangsterock adalah filem cereka pertama untuknya, Soffi pernah mengarahkan beberapa filem pendek dan telemovie sebelum ini.

Bercerita lanjut, Soffi memberitahu, filem yang terhasil daripada ideanya ini sesuai untuk tontonan semua golongan malah filem yang sesuai ditonton sepanjang zaman kerana babak-babak yang diterapkan berlaku secara realiti.


"Saya merasai pengalaman itu dan ini melonjakkan lagi hasrat saya untuk karya ini dikongsi bersama masyarakat kerana ia mempunyai mesej tertentu di sebaliknya," ujar Soffi penuh yakin.

Kak Fas akui Soffi Jikan mempunyai semangat yang kental. Pertama kali bertemunya ketika mula menjejakkan kakinya dalam industri Soffi pernah berkata, "Rasanya tak siapa kenal saya kak, saya tidak ada nilai komersial pada diri saya."

Ternyata kata-kata itu sudah lapuk ditelan waktu, Kini, siapa tidak mengenali Soffi Jikan apa tah lagi menyaksikan lakonan lasaknya dalam filem aksi seperti KL Gangster.

"Saya akui filem KL Gangster banyak membantu menaikkan nama saya dalam industri. Tak kenal pun susah dikenali pun susah apa pun selama 15 tahun berada di dalam industri saya bersyukur akhirnya dapat menghasilkan buah tangan sendiri," jawab Soffi.

Melalui filem ini juga, Soffi memperdengarkan lagu-lagu ciptaannya dari album OST pertamanya berjudul 'Gansterock- Kasi Sengaat' antaranya lagu tema 'Gangsterock Style' yang dinyanyikannya sendiri. 

Soffi menciptakan tujuh buah lagu manakala beberapa lagu lain hasil ciptaan Edry Hashim. Malah kata Soffi, selari dengan filem dan album, beliau juga akan memperkenalkan beberapa lukisan melalui pameran yang bakal diadakan di gudangnya bertempat di Damansara Jaya.

Sementara itu, selaku penerbit eksekutif bersama Yusof Kelana dengan Dato Sri Gavin Tee selaku penerbit bersekutu  dengan kerjasama syarikat Iman Sdn Bhd (syarikat milik Soffi Jikan), Serina berharap filem  sulong  di bawah YKS Filem Maker Sdn Bhd ini juga mampu memberikan satu kelainan dalam mewarnai industri perfileman tempatan yang pasang surut.

"Saya berharap filem ini dapat menambat hati penonton dan sekiranya dapat mensasarkan kutipan RM3-5 juta alhamdullilah tetapi kalau kurang dan untung sedikit pun tak apa, saya bersyukur dengan apa jua rezeki yang diterima," ujar Serina.

Tidak mahu berlakon sekali buat sementara waktu tetapi kekal menjalankan tugasan di belakang tabir sebagai penerbit, Serina tidak pula membayangkan untuk bersara dari dunia lakonan.

"Sekiranya ada watak yang sesuai saya akan berlakon juga," ujarnya senyum.

Anak Dato Chef Wan, yang juga berlakon sebagai 'cameo' dalam filem ini tidak menafikan melalui pelbagai cabaran dalam penerbitan sulongnya ini namun bersyukur segala cabaran dapat diatasi sebaik mungkin.

Penggambaran yang berlangsung lebih 30 hari sekitar Kuala Lumpur dan Kuala Selangor tidak menghadapi masalah besar atau rumit apatah lagi para pelakon yang terlibat memberikan komitmen jitu.

Dan sebagai menghargai kerja keras barisan pelakonnya, Serina mengumumkan akan memberitakan royalti pada setiap karyawan terlibat.




"Saya belum membincangkan secara terperinci bagaimana royalti itu akan dikira samada hanya pada tayangan di pawagam atau tayangan di kaca tv selepas itu pun diberi royalti. tetapi yang pasti buat langkah awal mereka akan diberikan royalti berdasarkan kepada tayangan filem di pawagam dahulu," jelasnya menjawab pertanyaan Kak Fas.

YKS Film Maker Sdn Bhd telahpun  ditubuhkan oleh Serina dan  pengarah drama dan filem, Yusof Kelama selama lima tahun,  Mereka bersama membangunkan YKS Film Maker Sdn Bhd dengan berkongsi modal serta pengalaman dengan harapan untuk memeriahkan lagi industri perfileman negara. 

Meskipun ketika ini bilangan filem cereka tempatan yang memasuki pawagam semakin bertambah tetapi YKS Film Maker Sdn Bhd tetap yakin dengan masa depan pasaran industri filem dalam menghadapi persaingan yang sengit. Keyakinan ini berasaskan semangat mereka untuk menerbitkan filem sendiri dan menyerahkan kepada masyarakat penonton untuk menilai dan memberi sokongan. 

Antara penaja rasmi Gangsterock ialah King of Rims (http://kingofrims.com.my/) dan Hotel De Art (http://www.hoteldeart.com.my/).

Sila layari https://www.facebook.com/MyRexFilm  untuk maklumat lanjut.

Sinopsis
Shake ( Soffi Jikan ) mencuba nasib menjadi bintang Rock di KL. Dia bertemu dengan Bromo ( Apek ) yang mahu membantunya. Namun Gangster di KL yang menguasai ekonomi menggunakan cetak rompak dan kekerasan untuk menghapuskan saki baki penentangan di kalangan Rockers. Hanya dengan semangat Rockers sejati, bersatu menentang kezaliman, menjadi jalan keluar. Mampukah Rockers bersatu?


Dibintangi

1. SOFFI JIKAN                           - SHAKE
2. SAIFUL APEK                         - BROMO
3. IZZARA AISHAH                     - MALA
4. SHARIFAH AMANI                 - NIAN
5. KHIR RAHMAN                       - KHIDIR
6. AQASHA                                  - RUDE
7. HARUN SALIM BACHIK          - ZUAN     
8. NAMRON                                 - DINO
9. SYAFIE NASWIP                      - RINGGO
10.Z ZAMRIE                                - ZAM

Penampilan Khas

     * FAUZIAH NAWI * CHEF WAN * MR OS * WAN HANAFI SU * 
     * MON RYANTI * KAMAROOL HJ YUSOF * SANI SUDIN KOPRATASA *
     * ITO BLUES GANG * LOMAK KRIS *BENJI * ZAITON SAMEON *