Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

MIMF 2026 KEMBALI , MESIN BERNILAI JUTAAN RINGGIT TARIKAN UTAMA DI MITEC 16 JULAI!


MALAYSIA
terus mengorak langkah memperkukuh kedudukannya sebagai hab industri dan teknologi pembuatan serantau apabila Pameran Jentera Antarabangsa Malaysia (MIMF 2026) kembali bagi kali ke-37.


Bakal berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 16 hingga 18 Julai 2026, ia akan menghimpunkan pemain industri global, teknologi automasi terkini serta penyelesaian pembuatan pintar. 


Berlangsung dari jam 10 pagi hingga 6 petang di Dewan 2, 3 dan 4 MITEC, pameran berprestij itu dijangka menarik lebih 10,000 pembeli perdagangan profesional, pengilang, pelabur serta wakil persatuan industri dari dalam dan luar negara untuk menjalinkan rangkaian perniagaan serta kerjasama strategik.


Sejak diperkenalkan pada tahun 1989, MIMF telah berkembang menjadi antara platform industri pembuatan dan jentera paling berpengaruh di Asia Tenggara dengan fokus utama memperkasakan sektor pembuatan tempatan, meningkatkan kerjasama perdagangan antarabangsa serta memperkukuh rantaian bekalan industri serantau.


Edisi tahun ini menghimpunkan tiga pameran utama iaitu Malaysia International Plastics, Mould & Tools Exhibition 2026, Malaysia International Food Processing, Packaging Equipment & Raw Materials Technology Exhibition 2026 serta Malaysia International Printing & Label Exhibition 2026.


Dianjurkan oleh ES International Event Management Sdn Bhd (ESIEM) dengan sokongan rasmi Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), acara itu turut mendapat kerjasama pelbagai organisasi termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Malaysia Promas International Business Society (PROMAS) dan Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM).


“Lebih 700 reruai bakal mengambil bahagian dengan kira-kira 70 peratus daripadanya terdiri daripada pempamer antarabangsa dari China, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Indonesia, Bangladesh, Thailand, Vietnam, India, Jerman dan Malaysia,” ujar Pengarah Urusan ESIEM merangkap Presiden PROMAS, Dato Chong Chong Tik pada majlis sidang media MIMF 2026 yang berlangsung di MITEC pada semalam, 14 Mei 2026.


DARI Kiri: Chong Chong Tik dan Zainal Abiddin Jaafar.


Turut hadir Presiden Kehormat Seumur Hidup PROMAS, Lady Puan Sri Dr. Susan Cheah, Presiden DPUM, Dato Seri Abu Hassan Mohd Nor; Pengerusi Zajas Sdn Bhd & Rakan Strategik Akademi Halal Antarabangsa Malaysia (MIHA), Datuk Zainal Abiddin Jaafar dan rakan-rakan strategik yang terlibat dari China dan Malaysia.


Menurut Chong Tik, MIMF 2026 akan mengetengahkan pelbagai teknologi serta mesin industri moden termasuk mesin suntikan plastik, sistem blow molding dan extrusion, mesin pemotongan laser industri, sistem pembungkusan dan pelabelan, mesin pemprosesan makanan dan minuman, teknologi pengiklanan digital dan percetakan, paparan LED, robotik industri serta penyelesaian automasi berasaskan kecerdasan buatan (AI).


“Antara yang akan menjadi tumpuan ialah demonstrasi mesin secara langsung serta pameran teknologi kilang pintar yang membolehkan pengunjung melihat sendiri perkembangan terkini teknologi industri dan automasi dalam meningkatkan produktiviti serta daya saing syarikat,” tambah Chong Tik.


Majlis perasmian rasmi akan berlangsung pada 16 Julai 2026 jam 11 pagi dengan kehadiran pemimpin industri, wakil kerajaan, delegasi antarabangsa, badan perdagangan serta wakil diplomatik dari pelbagai negara.


Selain pameran teknologi, MIMF 2026 turut menampilkan pelbagai program strategik termasuk Packaging & Food Processing Business Matching, International Plastics Industry Investment Forum, High-Tech Industrial Showcase serta siri seminar industri melibatkan pakar dan syarikat dari Malaysia, China dan pasaran antarabangsa.


Bagi memperkukuh agenda Revolusi Industri 4.0, satu zon khas AI Smart Manufacturing & Industry 4.0 turut diwujudkan bagi mempamerkan teknologi IoT, robotik, sistem automasi serta penyelesaian digital untuk industri pembuatan pintar.


Dalam masa sama, tumpuan khas turut diberikan kepada sektor halal menerusi fokus terhadap teknologi pemprosesan dan pembungkusan makanan halal, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global serta membuka peluang eksport ke pasaran ASEAN, Timur Tengah dan antarabangsa.


Bagi meningkatkan penyertaan perdagangan, pihak penganjur turut memperkenalkan Program Pembeli khas untuk pembeli perdagangan yang layak dari luar Kuala Lumpur, Selangor dan Seremban. 


Peserta boleh memilih sama ada kemudahan pengangkutan bas percuma, penginapan hotel satu malam atau dana sokongan aktiviti bagi persatuan yang berjaya membawa delegasi pembeli.


MIMF 2026 juga dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan perdagangan dan kerjasama industri antara Malaysia, China dan negara ASEAN menerusi penyertaan pavilion antarabangsa dari Guangdong, Zhejiang, Fujian, Shanghai, Beijing, Korea Selatan, Jepun dan negara ASEAN lain.


Sepanjang berlangsungnya acara itu, pelbagai aktiviti promosi digital, penglibatan influencer serta siaran langsung akan dijalankan dengan sasaran capaian melebihi satu juta tontonan dalam talian di seluruh dunia, sekali gus memberi pendedahan global yang lebih luas kepada syarikat dan jenama yang mengambil bahagian.


ABU Hassan dan Dr. Susan (kiri).


Sementara itu dari pihak DPUM. Abu Hassan dalam ucapan ringkasnya memberi sokongan penuh dengan kehadiran ramai daripada ahli DPUM mahu pun usahawan SME tempatan.


Menurut beliau, MIMF 2026 menjadi platform utama memperkenalkan teknologi moden dan mesin berteknologi tinggi dalam sektor pembungkusan, plastik, pemprosesan makanan, LED, AI serta automasi industri.


Tambahnya, teknologi yang dibawakan tahun ini jauh lebih moden dan mampu membantu industri mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja manual.


“Kalau dulu sesebuah kilang memerlukan 20 hingga 30 pekerja, kini dengan penggunaan mesin moden, operasi boleh dijalankan hanya dengan dua atau tiga orang sahaja. Walaupun kos sebuah mesin boleh mencecah sekitar RM1 juta, ia memberi penjimatan jangka panjang dan meningkatkan produktiviti syarikat,” ulas Abu Hassan.


Beliau percaya kadar syarikat tempatan yang bersedia untuk eksport mampu meningkat daripada sekitar 15 hingga 20 peratus ketika ini kepada 30 hingga 40 peratus pada masa depan menerusi penggunaan teknologi baharu yang dipamerkan dalam pameran tersebut.


“Pameran itu juga memberi peluang kepada usahawan Malaysia melihat sendiri perkembangan teknologi global tanpa perlu ke luar negara,” akhiri Presiden DPUM itu yang turut diiringi Setiausaha DPUM, Datin Seri Norliah Che Mohammad.



#MIMF2026 #DPUM #MITEX #PROMAS #JAKIM #ESIEM #ChinaMalaysia #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan