PENYANYI BOLLYWOOD, JUBIN NAUTIYAL KEMBALI HANGATKAN PENTAS MEGA STAR ARENA MALAM INI!
PENYANYI popular Bollywood, Jubin Nautiyal bakal kembali menghiburkan peminat di Malaysia menerusi konsert “Jubin Nautiyal Live in Kuala Lumpur 2026” yang dijadual berlangsung pada hari ini, 9 Mei 2026 di Mega Star Arena, Sungei Wang.
Konsert yang dinanti-nantikan peminat muzik Hindi itu dijangka membawa pengalaman penuh emosi dan nostalgia menerusi deretan lagu hit nyanyian Jubin yang terkenal dengan vokal romantik dan balada menyentuh hati.
Penganjuran konsert ini diterajui oleh iGPFunky, sebuah platform hiburan Malaysia yang aktif membawa persembahan antarabangsa berkualiti kepada peminat tempatan.
Persembahan tersebut dijangka berlangsung selama lebih kurang 3 jam dengan himpunan kira-kira 70 buah lagu termasuk sesi interaktif bersama penonton, sekali gus memberi peluang kepada peminat menikmati pengalaman lebih dekat bersama artis kesayangan mereka.
Jubin sebelum ini pernah mencipta kenangan manis bersama peminat Malaysia menerusi konsertnya di Kuala Lumpur pada tahun 2022 yang mendapat sambutan hangat.
Kepulangannya kali ini sekali lagi membuktikan populariti luar biasa penyanyi lagu-lagu hit Bollywood ini dalam kalangan peminat tempatan, seperti “Tum Hi Aana”, “Raataan Lambiyan” dan “Lut Gaye” dan ‘Zindagi Kuch Toh Bata’ yang dinyanyikan bagi filem ‘Bajrangi Bhaijaan’ lakonan Salman Khan.
Konsert di Kuala Lumpur ini dijangka menghimpunkan peminat dari seluruh negara termasuk penggemar muzik Bollywood dari negara jiran seperti dari Indonesia.
Lebih menarik, persembahan tersebut bukan sekadar hiburan semata-mata, malah turut diserikan dengan sesi interaktif bersama penonton.
“Akan ada banyak lagu-lagu yang akan membuat penonton menari bersama,’ ujar Jubin ketika ditemui pada sidang media singkat yang di adakan di Spice Garden Express, Kuala Lumpur, semalam (8 Mei 2026).
Menurut beliau, pendekatan ini memberi peluang kepada peminat untuk merasai pengalaman lebih dekat dengan artis kesayangan mereka, sekali gus menjadikan setiap detik konsert lebih bermakna dan peribadi.
Perjalanan seni Jubin Nautiyal, 36, yang dipenuhi dengan dedikasi dan keikhlasan jelas terpancar dalam setiap persembahannya. Lagu-lagu yang sering membawa tema cinta, kerinduan dan harapan terus menjadi penghubung emosi antara beliau dan para pendengar menjadikannya sebagai 'playback singer' yang popular
Dengan kehangatan sambutan yang dijangka tercetus malam ini, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan muzik, tetapi sebuah pengalaman yang menggabungkan emosi, interaksi dan keindahan seni—membuktikan mengapa nama Jubin Nautiyal terus kekal relevan dan disayangi ramai waima diikuti seramai 12.5 juta pengikutnya di platform instagramnya, @jubin_natiyal
Tiket konsert telah mula dijual menerusi platform rasmi ticket2u dan mendapat perhatian besar daripada peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan persembahan bertenaga Jubin secara langsung di pentas Malaysia.
Kehadiranya ke Malaysia juga membwa kenangan dan kerinduan terhadap makanan di Malaysia.
“Sudah tentu saya akan menikmati makanan yang sedap di Malaysia seperti ‘satay’ dan sebagainya.” ujarnya yang sentiasa kelihatan ceria sepanjang sesi bersama media namun seperti biasa tiada siapa pun dibenarkan membuat ‘live streaming’ atau pun bergambar bersama nya.
Dalam pada itu, Jubin juga tidak menolak untuk mempelajari beberapa lagu yang popular di Malaysia namun masih dalam perancangan.
Begitu pun konsert malam ini akan diiringi oleh seorang pempengaruh lagu-lagu Bollywood tempatan yang digelar puteri_bollycover yang sering mendapat undangan untuk persembahan awal di acara atau pentas lagu-lagu Bollywood.
#JubinNautiyalLiveInKualaLumpur2026 #IGPFunky #PuteriBollycover #Bollywood


Tiada ulasan:
Catat Ulasan