Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

PENANG AUTOSHOW 2026 CATAT IMPAK LUAR BIASA, RAIH POTENSI JUALAN RM201.96 JUTA

 


EDISI sulung Penang Auto Show 2026 melabuhkan tirainya dengan pencapaian yang amat membanggakan, sekali gus melakar mercu tanda baharu sebagai peluasan regional pertama bagi jenama Malaysia Autoshow. 


Dianjurkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), pameran yang berlangsung selama empat hari itu berjaya menarik kehadiran 38,815 pengunjung serta menjana anggaran RM201.96 juta dalam potensi jualan, sekali gus memperkukuh permintaan terhadap inovasi automotif dan mobiliti generasi baharu di wilayah utara.


Sepanjang pameran berlangsung, keyakinan kukuh pengguna terhadap solusi mobiliti termaju dicerminkan menerusi aktiviti pasaran yang sangat rancak dengan merekodkan 439 tempahan rasmi kenderaan dan melebihi 930 sesi pandu uji.


Keberhasilan ini disokong penuh oleh penyertaan 15 jenama automotif terkemuka serta lebih 50 pempamer yang memamerkan teknologi kenderaan terkini, produk pasaran pasca-jualan (aftermarket), dan aksesori gaya hidup. 


Majlis perasmian acara berprestij ini telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, sebagai tanda komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memacu inovasi dan pembangunan industri di koridor utara.


Acara ini turut menjadi tumpuan utama peminat automotif menerusi tontonan eksklusif dan pelancaran enam model kenderaan baharu yang amat dinantikan di pasaran. 


Antaranya termasuklah SUV tegap berkonsepkan urban Jetour T1 yang kini dibuka untuk tempahan pada anggaran harga RM143,800 hingga RM153,800, serta varian hibrid-petrol GWM Tank 300 HEV. 


Tidak ketinggalan, Pro-Net menyuntik keterujaan dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan menerusi kemunculan Proton e.MAS 5 dengan warna ikonik Jade Green


Sementara itu, segmen mewah dan prestasi tinggi menyaksikan Hyundai membuka tempahan bagi IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N, di samping memberikan previu eksklusif model flagship IONIQ 9 serta Denza Z9 GT.



Melengkapkan kemeriahan trend automotif semasa, Carsome membentangkan perkongsian informatif mengenai kepentingan ketelusan dalam pasaran kenderaan pramilik. 


Manakala jenama tayar gergasi Dunlop memilih platform ini untuk meraikan kemunculan semula mereka di pasaran Malaysia selepas sedekad menyepi, dengan memperkenalkan rangkaian produk terbaharu termasuk Blue Response TG yang direka khusus buat keperluan kenderaan elektrik.


Signifikan pameran ini sebagai pemacu ekosistem automotif negara terus diperkukuh dengan keberangkatan rasmi Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato' Seri Utama Ramli Ngah Talib dan isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin.


FOTO kredit: FB Raja Noora Ashikin.

Di samping urusan perniagaan, para pengunjung dan keluarga turut dihiburkan dengan pelbagai aktiviti gaya hidup termasuk perhimpunan kelab kereta, pertunjukan lampu Tesla yang memukau, serta persembahan tribute Hari Pekerja oleh ikon rock tanah air, Dato’ Awie.

Kemuncak acara penutup menyaksikan pengumuman pemenang bagi siri peraduan bertuah yang menawarkan hadiah lumayan. 

Seng Siew Lean dinobatkan sebagai pemenang bagi peraduan "Book a Car, Win a Car" dan membawa pulang sebuah Chery Tiggo 7 PHEV CSH, manakala hadiah utama bagi cabutan bertuah berupa sebuah JAECOO J5 dimenangi oleh Siti Rahemah binti Alaw Deen.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz menyatakan bahawa maklum balas luar biasa daripada pelbagai pihak memperkukuh rasional kepentingan memperluaskan pameran automotif berkualiti ke peringkat serantau. 


Langkah ini amat penting bagi memperkasakan ekosistem automotif nasional, mempercepatkan penerimaan teknologi, dan membina penglibatan awam yang lebih besar ke arah agenda transformasi mobiliti negara berpandukan Dasar Automotif Nasional (NAP2020). 


Selepas kejayaan di Pulau Pinang, pameran automotif terbesar ini dijadualkan kembali menemui peminat tahun hadapan menerusi Malaysia Autoshow 2027 yang akan berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS).


Artikel berkaitan sila rujuk LINK INI.



#PenangAutoShow #Proton #Carsome #Dunlop #Jetour #MARii #Automatif #fyp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan