SATU MALAM, SATU SEJARAH, 4 LAGENDA INDIE MALAYSIA BERSATU DI PENTAS 'INDIESCOVERY 2026'
Digerakkan oleh pasukan penganjur baharu, RR Entertainment dan disokong oleh Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures, konsert itu lahir daripada keinginan untuk mengangkat semula identiti muzik indie Malaysia yang dilihat semakin tenggelam di sebalik lambakan pengaruh serta trend muzik luar negara sejak kebelakangan ini.
Menurut pihak penganjur, idea penganjurannya bermula daripada perbincangan bersama pasukan tentang bagaimana mahu mewujudkan sebuah platform yang benar-benar meraikan karya dan suara pemuzik tempatan.
“Kami selalu berpesan kepada team kami, bunyi tempatan, bunyi tempatan, bunyi tempatan. Sebab kami mahu meraikan bunyi tempatan yang sebenarnya tidak kalah hebat dengan muzik lain di luar sana,” ujar Herda Prasetiawan selaku penganjur merangkap komposer dan penulis lagu, pada sidang media Konsert Indiescovery di Bayu Seafood Tasik Perdana. Kuala Lumpur baru-baru ini.
Turut hadir isterinya, Norinsyira Muhamad selaku Pengarah RR Entertainment.
Menurutnya, Konsert Indiescovery diwujudkan sebagai sebuah “perayaan muzik indie Malaysia” yang menghimpunkan pelbagai warna dan identiti muzik dalam satu pentas.
“Kalau tengok industri sekarang pada tahun 2025 dan 2026, terlalu banyak bunyi dari luar negara yang sedikit sebanyak memberi impak kepada komuniti indie tempatan. Jadi kami sepakat untuk hasilkan satu konsert yang meraikan muzik Malaysia sendiri,” tambah Herda.
Konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu menampilkan gabungan nama besar seperti Bunkface, Butterfingers, Bittersweet, Kugiran Masdo, serta bakat generasi baharu NOISE, yang diberi kepercayaan membuka persembahan tirai konsert.
Penampilan NOISE mencerminkan komitmen penganjur dalam merapatkan jurang antara legenda muzik indie dan bakat muda yang sedang meningkat naik.
Sambung Herda, pemilihan artis dibuat selepas melalui proses perbincangan panjang bagi memastikan setiap nama benar-benar sesuai dengan konsep yang mahu diketengahkan.
“Banyak perbincangan, banyak keputusan dan juga argument dibuat untuk mendapatkan line-up yang kami rasa paling sesuai untuk Konsert Indiescovery,” katanya.
Walaupun menampilkan nama besar dalam industri, pihak penganjur menjelaskan mereka sengaja memilih pendekatan berskala sederhana dengan kapasiti sekitar 2,400 penonton kerana mahu membina pengalaman konsert yang lebih intim dan berkualiti.
“Kami bukan tak percaya pada kekuatan nama-nama besar ini, tetapi sebagai penganjur baharu kami mahu belajar perlahan-lahan. Kami tidak mahu terus buat skala terlalu besar sebelum benar-benar bersedia,” ujar Hendra.
Beliau menegaskan venue seperti Zepp Kuala Lumpur mempunyai “chemistry” tersendiri yang sangat sesuai untuk konsep festival muzik indie tempatan.
“Disebabkan kapasiti lebih terkawal, penonton boleh lebih dekat antara satu sama lain, lebih mengenali bunyi setiap band dan menikmati pengalaman dengan suasana yang lebih selesa serta akustik lebih baik,” jelasnya.
Sambutan terhadap konsert tersebut juga disifatkan memberangsangkan apabila jualan tiket kategori tiga dilaporkan hampir habis terjual.
“Alhamdulillah, kategori tiga sudah hampir 90 peratus terjual. Masih ada beberapa perkara yang perlu kami selesaikan, tetapi semuanya nampak berjalan mengikut perancangan,” katanya.
Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan acara tersebut.
“Kita patut mengapresiasi kerajaan Malaysia kerana memberikan sokongan kepada industri seni tempatan. Tidak banyak negara yang benar-benar bersungguh-sungguh meraikan muzik dan seni tempatan seperti Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, beberapa artis yang terlibat menyifatkan peluang menyertai Konsert Indiescovery sebagai detik bermakna dalam perjalanan seni mereka.
Mewakili Kugiran Masdo, vokalisnya, Ali Sariah berkata, peluang berkongsi pentas bersama beberapa kumpulan besar indie dalam satu festival selepas sekian lama merupakan sesuatu yang cukup istimewa.
“Ini mungkin kali pertama scene indie dapat menghimpunkan beberapa nama besar dalam satu pentas selepas berdekad lamanya,” katanya.
Kumpulan Masdo mengakui line-up konsert tersebut terdiri daripada kumpulan yang menjadi inspirasi mereka sejak usia remaja.
“Dulu waktu umur belasan tahun saya tengok mereka sebagai sesuatu yang sangat ‘cool’, sampai membuatkan saya mahu menubuhkan band sendiri. Hari ini bila dapat duduk sebaris dan membuat persembahan bersama mereka, ia macam mimpi jadi kenyataan,” tambah Ali yang turut diakui dua lagi rakan anggotanya, Putuceri dan Asmawi yang hadir.
Selain persembahan biasa, konsert berkenaan bakal juga menampilkan elemen nostalgia apabila beberapa artis memberi bayangan konsep “time machine” yang membawa penonton kembali ke era muzik sekitar tahun 1997.
“Atas permintaan penganjur, kami akan membawa penonton kembali ke tahun 1997 dan cuba menghidupkan semula suasana muzik pada era tersebut,” kata Loque mewakili Kumpulan Butterfingers sambil diakui dengan anggukan bersama oleh anggota Kumpulan Bittersweet dan Bunkface yang tidak ketinggalan hadir.
Penganjur berharap Indiescovery bukan sekadar sebuah konsert, tetapi menjadi gerakan untuk menghidupkan semula semangat menghargai muzik indie tempatan.
“Datanglah sendiri ke konsert ini dan lihat apa yang cuba kami sampaikan. Di situ ada mesej tentang nostalgia muzik zaman dahulu dan bagaimana perjalanan scene indie tempatan berkembang sehingga hari ini,” katanya.
Malah, jika sambutan terus memberangsangkan, pihak penganjur berharap Konsert Indiescovery mampu diteruskan sebagai acara tahunan pada masa depan.
“Insya-Allah kalau diberi izin, kami mahu teruskan dengan edisi kedua dan seterusnya selepas ini,” katanya.
Tiket bagi menyaksikan konsert ini boleh didapati secara dalam talian melalui platform rasmi Ticket2U atau tekan LINK INI.
Memandangkan kapasiti ruang di Zepp Kuala Lumpur adalah terhad untuk sebuah acara berprofil tinggi seperti ini, para peminat dinasihatkan untuk membuat pembelian awal bagi mengelakkan kekecewaan.
Jadi...jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah muzik indie Malaysia dalam satu malam penuh nostalgia dan energi ini!
#KonsertIndiescovery #Bunkface #MASDO #Butterfingers #Bittersweet #Hiburan








Tiada ulasan:
Catat Ulasan