Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

MINGGU PERPADUAN DIRAI AROMA SAMBAL, JOM! KE MUZIUM NEGARA, PELUANG MENANG HADIAH TUNAI!


PESTA Citarasa Sambal Perpaduan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform utama yang mengangkat warisan kulinari negara apabila edisi ke-10 penganjurannya sejak 2023 berlangsung dengan lebih besar dan berimpak, membawa mesej perpaduan rakyat melalui makanan tradisi, khususnya sambal yang menjadi identiti rasa masyarakat Malaysia.


Kali ini penganjuran festival diadakan di Muzium Negara sempena sambutan Minggu Perpaduan Zon Tengah 2026 yang kini sedang berlangsung sehingga 17 Mei ini, dengan sokongan pelbagai agensi lain termasuk kem perpaduan negara.


“Festival ini bukan sekadar acara makanan, sebaliknya menjadi platform budaya yang menyatukan masyarakat pelbagai kaum melalui warisan kulinari yang dikongsi bersama,” ujar Pengerusi Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia selaku penganjur Pesta Citarasa Sambal Perpaduan, Azmi Jaffri yang turut diiringi Timbalan Pengerusinya, Ariff Fadli Abdul Wahab.


AZMI (kanan) bersama Ariff. Antara contoh sambal-sambal yang dipamerkan.


Acara yang berlangsung di Istana 1, Muzium Negara  menyaksikan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang terlebih dahulu menandatangani poster Pesta Sambal sebaik sahaja tiba ke perkarangan Muzium bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Zon Tengah 2026 dan Program Bermalam di Muzium Bersama Belia di Dataran Muzium Negara, Kuala Lumpur pada 16 Mei 2026 semalam.


Tumpuan utama tahun ini diberikan kepada sambal sebagai simbol penyatuan rasa dan budaya, dengan lebih kurang 20 jenis variasi sambal tradisional dan moden dipamerkan di Galeri Sambal. 



Kenapa sambal?


Menurut Azmi, sambal bukan sekadar pelengkap makanan tetapi sudah menjadi satu elemen utama dalam budaya pemakanan masyarakat Malaysia yang sering dicari pelanggan setiap kali ke warung atau restoran.


“Orang datang warung, mereka tak tanya lauk lain dulu, mereka akan tanya ada samba tak? Sebab itu kita kena inovasikan sambal supaya ia terus hidup dan berkembang,” jawabnya.

Festival ini turut mencuri perhatian apabila membuka penyertaan antarabangsa dengan pengenalan sambal dari Indonesia yang memperlihatkan persamaan budaya pemakanan serantau. 



Dalam masa sama, penyertaan komuniti Sabah turut menyerlah melalui hidangan seperti sambal perahu, buah bambangan serta pelbagai sajian etnik Borneo yang memperkayakan kepelbagaian makanan warisan yang dipamerkan.

Komuniti tempatan juga tidak ketinggalan mempersembahkan pelbagai jenis sambal tradisional yang diwarisi turun-temurun, menjadikan festival ini sebagai himpunan besar warisan rasa yang merangkumi pelbagai latar budaya di Malaysia.


Berkongsi lanjut, Azmi menegaskan keyakinannya bahawa festival ini berpotensi menjadi produk pelancongan budaya yang mampu menarik minat pelancong tempatan dan antarabangsa.


Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, terdapat cadangan untuk memperluaskan lagi penganjuran festival pada masa hadapan.



“Saya menerima tawaran untuk membawa Pesta Sambal ke London pada tahun hadapan, satu pengiktirafan yang dilihat mampu mengangkat sambal sebagai ikon kulinari Malaysia di persada global.


“Kita ada banyak sambal warisan yang belum diketengahkan, termasuk sambal biji getah yang mempunyai nilai budaya tinggi walaupun proses penyediaannya lebih mencabar. Bila kita gabungkan kreativiti dan warisan, kita boleh jadikan sambal ini satu produk yang membanggakan negara,” tegasnya.



Sementara itu, kehadiran Cef selebriti Dr Liza Zainol turut menambah tarikan festival apabila beliau turun padang mempromosikan makanan warisan kepada pengunjung.


Dr Liza menegaskan bahawa industri sambal tempatan mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sekiranya wujud kerjasama lebih erat antara pengusaha makanan dan pakar kulinari. 


Menurutnya, masih banyak resipi warisan yang belum diterokai sepenuhnya termasuk sambal daripada pelbagai komuniti dan etnik di Malaysia yang boleh diketengahkan sebagai produk unik negara.


“Kita perlu lihat sambal bukan sekadar makanan tradisi, tetapi sebagai produk inovasi yang boleh dikomersialkan. Kerjasama antara chef dan usahawan sangat penting untuk membawa sambal Malaysia ke tahap lebih tinggi,” jelasnya.



Beliau turut menyokong idea pembangunan produk sambal dalam bentuk moden seperti pek segera atau ‘sambal pouch’ yang lebih mudah dipasarkan dan sesuai dengan gaya hidup masa kini.


Dr. Liza tidak ketinggalan memperkenalkan beberapa inovasi termasuk sambal paru goreng rangup yang digabungkan dengan telur pipit yang enak dihidangkan bersama nasi goreng sebagai satu kombo lengkap.


Selain pameran dan jualan, pelbagai aktiviti interaktif turut dianjurkan termasuk pertandingan makan sambal serta pertandingan inovasi sambal yang memberi ruang kepada peserta menghasilkan variasi kreatif berasaskan bahan tempatan. 


Hadiah wang tunai RM250, RM150 dan RM100 ditawarkan mengikut kategori, sekali gus menambah keterujaan pengunjung yang hadir mencabar tahap kepedasan masing-masing dalam suasana santai.


Secara keseluruhan, Festival Sambal Malaysia terus dilihat bukan sekadar acara makanan, tetapi sebuah platform perpaduan yang menyatukan masyarakat melalui cita rasa, inovasi dan warisan budaya, sekali gus mengangkat sambal sebagai simbol identiti kulinari Malaysia yang semakin mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.



#PestaCitarasaSambalPerpaduan  #MingguPerpaduanZonTengah2026 #MuziumNegara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan