PENANG AUTO SHOW TAMPIL KELAINAN, FOKUS EV & KELESTARIAN!
Berlangsung di Pusat Konvensyen Waterfront Pulau Pinang (PWCC), acara berprestij ini bukan sekadar pameran kenderaan biasa, malah ia merupakan satu kenyataan strategik dalam merakyatkan teknologi mobiliti mampan buat komuniti di utara tanah air.
Langkah berani yang diterajui oleh Moonman Events dengan sokongan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) ini dilihat sebagai jambatan penting yang menghubungkan inovasi teknologi global dengan pasaran tempatan.
Memandangkan Pulau Pinang merupakan nadi utama ekosistem pembuatan dan semikonduktor negara, penganjuran di sini memberikan naratif yang cukup kuat tentang evolusi kenderaan moden yang kini sangat bergantung kepada komponen elektronik dan sistem ketersambungan pintar.
Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz, menegaskan bahawa edisi serantau ini adalah manifestasi komitmen mereka untuk memastikan akses kepada teknologi masa depan tidak hanya tertumpu di Lembah Klang.
"Hari ini menandakan satu langkah penting dalam evolusi Pameran Automobil Malaysia kerana kami membawa pengalaman ini ke Pulau Pinang, menjadikannya lebih mudah diakses oleh komuniti dan pemain industri di Koridor Utara.
“Sebagai lanjutan daripada Pameran Automobil Malaysia dwitahunan di MAEPS, edisi serantau ini membolehkan kami meluaskan jangkauan kami walaupun pameran utama tidak berlangsung pada tahun ini, sambil terus memperkukuh penglibatan dan akses awam kepada masa depan mobiliti", kata Azrul Reza Aziz, pada majlis pelancaran ‘Penang Auto Show’ berkenaan yang disempurnakan bersama oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Para pengunjung yang hadir disajikan dengan pengalaman yang cukup mengujakan menerusi penyertaan lebih 50 pameran jenama terkemuka antaranya Proton, Chery, Proton e.Mas, BYD, Bufori, Denza, Dongfeng, GWM, Hyundai, iCaur, Jetour, Kia, Leapmotor, dan Tesla.
Ia turut disokong rakan kongsi dan jenama lain seperti Dunlop, Carsome, Castrol dan lain-lain yang berkaitan industri automatif.
Tarikan utama sudah pastinya tertumpu kepada segmen Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) yang mempamerkan lebih 40 model terkini, termasuk enam pratonton model eksklusif yang belum pernah dilihat di pasaran sebelum ini.
Bagi mereka yang ingin merasai sendiri prestasi jentera masa depan, satu laluan pandu uji sepanjang 4.8 kilometer telah disediakan.
Ciri khas ini membolehkan peminat automotif menilai sendiri aspek keselesaan, pengendalian, dan kuasa pecutan model-model idaman mereka dalam keadaan sebenar.
Sementara itu, Chow Kon Yeow, dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa acara ini merupakan refleksi kesediaan Pulau Pinang untuk kekal kompetitif dalam transisi automotif global.
Menurut beliau, ini bukan sekadar tentang pameran kereta, tetapi tentang bagaimana zon utara meletakkan kedudukan strategik dalam fasa mobiliti seterusnya yang lebih hijau dan pintar.
Chow Kon Yeow menambah, perubahan dalam landskap mobiliti bukan lagi satu kemungkinan, sebaliknya sedang berlaku dengan pantas dan memerlukan kesiapsiagaan semua pihak untuk bertindak secara proaktif.
“Persoalannya bukan lagi sama ada perubahan akan berlaku, tetapi sejauh mana kita bersedia untuk menghadapinya dan bertindak dengan tegas. Masa depan mobiliti akan ditentukan oleh mereka yang menerima inovasi, memperkukuh kerjasama dan bergerak dengan kejelasan hala tuju,” jelasnya.
Menurut beliau, sasaran kenderaan elektrik (EV) merangkumi 15 peratus daripada jumlah keseluruhan industri automotif negara menjelang 2030 menjadi antara fokus utama dalam mempercepat peralihan ke arah mobiliti rendah karbon di Malaysia.
Seiring dengan pertumbuhan pesat jualan EV yang melepasi 30,000 unit pada tahun 2025 mencerminkan momentum kukuh ke arah ekosistem pengangkutan yang lebih lestari dan berteknologi tinggi.
“Kita perlu bergerak ke hadapan dengan penuh keyakinan untuk membina ekosistem mobiliti yang bukan sahaja maju dan berdaya saing, tetapi juga mampan serta inklusif untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyatakan bahawa platform seperti pameran automotif berperanan penting sebagai pemangkin kepada interaksi antara pembuat dasar, pemain industri dan masyarakat dalam mempercepatkan penerimaan teknologi baharu.
Mengakhiri ucapannya, beliau melahirkan penghargaan atas kehadiran semua pihak dan menyatakan rasa bangga dapat bersama-sama menyaksikan pelancaran rasmi acara berkenaan, yang dilihat sebagai simbol kepada kemajuan berterusan industri automotif dan mobiliti negara.
Kemuncak acara akan diserikan dengan sambutan Hari Pekerja pada harri i1 Mei ini melalui program "Tribute to the Workforce".
Bermula jam 3:30 petang hingga 10:30 malam, suasana di PWCC akan bertukar menjadi karnival penuh bertenaga dengan kehadiran ikon rock negara, Dato’ Awie, yang baru-baru ini telah dilantik sebagai Ikon Squad Muda JPJ Malaysia, serta kumpulan Army of Six.
Selain rakaman podcast secara langsung dan pelbagai permainan pentas, pengunjung juga bakal terpukau dengan persembahan cahaya Tesla yang unik sebagai penutup tirai sambutan.
Pendek kata, dengan penyertaan jenama besar seperti Tesla, BYD, Proton e.Mas, dan Hyundai, Penang Autoshow 2026 dijangka menjadi destinasi utama keluarga dan peminat automotif sepanjang minggu ini.
Tiket boleh didapati secara dalam talian melalu LINK INI manakala kemasukan adalah percuma bagi kanak-kanak (12 tahun ke bawah), warga emas, dan golongan OKU yang sah mempunyai kad OKU.
#PenangAutoShow2026 #MARii #MoonmanEvents #Proton #Carsome #PWCC









Tiada ulasan:
Catat Ulasan