MALAYSIA BIKE SHOW 2026: DARI LALUAN OFF ROAD KE TEKNOLOGI EV, SEMUA ADA DI MAEPS!
MAEPS SERDANG – Industri permotoran negara hari ini melangkah ke satu dimensi baharu dengan pembukaan rasmi edisi sulung Malaysia Bike Show 2026 yang berlangsung di MAEPS, Serdang.
Acara yang dijadualkan berlangsung selama empat hari bermula 29 Mei lalu sehingga 1 Jun 2026 ini bukan sahaja menjadi pentas pameran motosikal berskala besar, malah berfungsi sebagai hab pusat bagi mengetengahkan inovasi mobiliti, budaya penunggangan, serta ekosistem dua roda yang semakin rancak di Malaysia.
Majlis perasmian acara yang telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing, melambangkan pengiktirafan kerajaan terhadap kepentingan industri motosikal yang kini bukan lagi sekadar alat pengangkutan, tetapi telah berkembang menjadi elemen penting dalam gaya hidup, pelancongan, dan evolusi automotif nasional.
Pameran ini merupakan hasil penganjuran oleh Moonman Events dengan sokongan strategik daripada Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii) serta kerjasama erat bersama Motorcycle and Scooter Dealers Association (MMSDA).
Sepanjang tempoh pameran bermula jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam, pengunjung disajikan dengan pameran menyeluruh merangkumi tiga dewan besar.
Sebanyak 72 eksibitor telah menghimpunkan 92 jenama motosikal dan aksesori terkemuka, dengan 38 daripadanya merupakan jenama antarabangsa.
Fokus utama pameran ini adalah untuk mempamerkan evolusi mobiliti masa depan, di mana motosikal enjin pembakaran dalaman (ICE) dan motosikal elektrik (EV) diletakkan seiring bagi mempromosikan pengangkutan yang lebih efisien dan mesra alam.
Selain unit jualan, pameran turut menampilkan 304 unit motosikal, 12 motosikal konsep yang inovatif, serta 92 model masa depan yang dijangka akan mencorak pasaran tidak lama lagi.
Salah satu tarikan paling unik yang membezakan Malaysia Bike Show daripada pameran konvensional adalah penyediaan laluan tunggang uji sepanjang 4.2 kilometer.
Laluan ini membolehkan pengunjung merasai sendiri pengendalian, brek, dan karakter 79 buah motosikal dalam persekitaran yang lebih menyerupai keadaan trafik sebenar berbanding trek demonstrasi pendek yang biasa ditemui.
Bagi peminat gaya hidup lasak, pihak penganjur turut menyediakan trek khusus untuk aktiviti enduro dan off-road, selaras dengan trend populariti motosikal jenis pengembaraan (adventure) yang semakin mendapat tempat di hati penunggang tempatan.
Selain daripada aspek pameran dan tunggang uji, acara ini juga meletakkan komitmen yang tinggi terhadap keselamatan jalan raya melalui inisiatif pendidikan.
Pengunjung berpeluang menyertai Safety Riding Challenge, sebuah laluan berhalangan yang direka khas untuk menguji kemahiran kawalan motosikal pada kelajuan rendah, termasuk situasi pusingan U dan ruang trafik sempit.
Bagi penunggang yang lebih mahir, sesi gymkhana turut disediakan untuk menguji ketepatan dan teknik tunggangan lanjutan.
Kesemua aktiviti ini bertujuan untuk membentuk budaya penunggangan yang lebih berhemah, bertanggungjawab, dan berkeyakinan tinggi di jalan raya.
Menjelang hujung minggu, Malaysia Bike Show 2026 dijangka menjadi destinasi utama bagi golongan keluarga dan orang awam.
Selain tarikan motosikal, suasana pesta turut dihidupkan dengan pelbagai persembahan hiburan secara langsung, gerai makanan, serta pelbagai aktiviti interaktif yang menarik.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai jadual aktiviti atau perincian program secara terperinci boleh melayari laman sesawang rasmi di bikeshow.my atau mengikuti perkembangan terkini di saluran media sosial rasmi Malaysia Bike Show atau klik SINI sahaja.
#MalaysiaBikeShow2026 #MaepsSerdang #ICE #EV #SafetyRidingChallenge #fyp




Tiada ulasan:
Catat Ulasan