Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

FILEM TERBITAN PRIMEWORKS STUDIOS DOMINASI KEMENANGAN FFM26


Festival Filem Malaysia ke 26 (FFM26) berakhir malam tadi (1 Nov) dengan kemenangan didominasi  filem-filem terbitan Primeworks Studios (Grand Brillance) di mana filem "KIL' berjaya menggondol Anugerah Filem Terbaik sekali gus Pengarah Terbaik serta Lakon Layar Terbaik oleh pengarahnya Nik Amir  Mustapha.

'KIL' turut memenangi dua anugerah menobatkan pelakon Christine Suzanne meraih trofi Pelakon Harapan Wanita manakala posternya memenangi kategori Poster Terbaik.

Penyampaian Anugerah Filem Terbaik itu yang berjaya menggondol trofi dan wang tunai disampaikan kepada Tengku Iesta Tengku Alaudin (Pengerusi Besar GB)  oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Awaludin Said yang turut diiringi oleh  Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Md Affendi Hamdan dan pemangku Ketua Pengarah Finas, Dr Megat Al Imran Yassin.


Majlis penyampaian anugerah FFM26 berlangsung di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut, Seremban, Negeri Sembilan.

Antara filem lain di bawah terbitan Primeworks Studios yang mendominasi kategori utama FFM26 meliputi Penanggal (dengan Astro Shaw), KL Gangster 2 (bersama Skop Productions) dan Istanbul Aku Datang',

Kesemua filem-filem berkenaan meraih anugerah di mana pengarah Penanggal berjaya menobatkan Ellie Suriaty sebagai Pengarah Harapan manakala filem ini juga memenangi kategori Pelakon Harapan Wanita dan Lelaki Terbaik oleh Christine Suzanne dan Zul Ariffin, Ia juga memenangi Anugerah Sinematofrafi Terbaik (Raja Mukhriz) dan Anugerah Penataan Seni Terbaik (Nazrul Asraff).

Dua buah lagi filem terbitan Primeworks Studios iaitu 'Istanbul Aku Datang' serta 'KL Gangster 2' tidak menghampakan apabila masing-masing membawa pulang anugerah di mana filem arahan Syamsul Yusof meraih kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Dato Rosyam Nor), Penyunting Terbaik  serta Penataan Bunyi Tebaik (Syamsul & Hisham Jupri).

Manakala, 'Istanbul Aku Datang' mengangkat Lisa Surihani sebagai Pelakon Wanita Terbaik serta Tomok bersama Rafidah Abdullah menerusi Anugerah Lagu Asal Terbaik 'Aku Datang'.

Filem 'Tanda Putera' yang gagal tercalon dalam top 5 Filem Terbaik hanya memperoleh kemenangan Anugerah Kesan Khas Terbaik, Anugerah Khas Juri (kerana membawa semangat kenegaraan dan patriotik), Anugerah Skor Muzik Asal Terbaik (Sharon Paul) dan Anugerah Pereka Kostum/Busana Terbaik (Hasnan Yaacob & Fadzillah Abdullah).

Keputusan penuh:


Filem Terbaik: KIL

Filem Bukan Melayu Terbaik
: Paper Moon (Double Vision/Astro Shaw/Passion Entertainment)

Pengarah Filem Terbaik: Nik Amir Mustapha (KIL)

Cerita Asal Terbaik: Mamat Khalid (Rock Oo)

Lakon Layar Terbaik: Nik Amir Mustapha (KIL)

Sinematografi Terbaik: Raja Mukhriz (Penanggal)

Penyunting Terbaik: Syamsul Yusof/ Hisham Jupri (KL Gangster 2)

Filem Box Office: Husin Mon & Jin Pakai Toncit (kutipan RM5.89 juta)

Pelakon Lelaki Terbaik: Rusdi Ramli (Tanda Putera)

Pelakon Wanita Terbaik: Lisa Surihani (Istanbul Aku Datang)



Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Datuk Rosyam Nor (KL Gangster 2)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Umie Aida (Sembunyi : Amukan Azazil)


Pelakon Harapa Lelaki Terbaik: Zul Ariffin (Penanggal)





Pelakon Harapan Wanita Terbaik: Cristina Suzanne (KIL)



Anugerah Kesan Khas Terbaik: Tanda Putera ( Pesona Pictures)

Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman Wanita: Datuk Rosnani Jamil

Anugerah Khas Karyawan Sepanjang Zaman Lelaki: Datuk Rahim Razali

Anugerah Khas Juri :
  •  Tanda Putera (kerana  mengangkat elemen kenegaraan dan patriotisma. 
  •  Papermoon  (memaparkan budaya tempatan)
  •  Kolumpo (kerana memaparkan isu semasa di dalam filem tempatan)


Sementara itu, dari segi pementasan dan persembahan, FFM26 kali ini tidak mengecewakan walaupun mendapat reaksi dingin di kalangan segelintir penggiat filem tempatan.

Rekaan pentas agak menarik malah malam persembahan padat dan tidak meleret di mana lagu-lagu yang dinyanyikan oleh artis-artis terlibat dalam filem yang dipertandingkan tetap menghiburkan. 

Sifu dalan industri muzik, Dato M. Nasir membuka tirai persembahan diikuti seterusnya oleh Tomok, Kumpulan Histeria, Geraldine Gan, Adira,  Alyah dan Fauziah Ahmad Daud yang mendeklamasikan sajak sebagai tribute kepada bintang-bintang lagenda yang telah kembali ke Rahmatullah.

Segmen menghargai jasa dan sumbangan Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee tidak ketinggalan disampaikan secara bersahaja melalui lawak jenaka kumpulan Jambu yang terdiri daripada Tauke, Yus dan Rahim.

Pendekata, dengan kesuraman yang disuarakan terhadap FFM26 tahun ini, ia mampu disegarkan dengan majlis Malam Kemuncak Penyampaian Anugerah FFM26 dalam suasana yang meriah dan tetap glamor oleh para artis yang datang jauh dari Kuala Lumpur ke Seremban.

Gandingan pengacara dan pelakon, Fahrin Ahmad serta Nur Fazura tidak mengecewakan dengan usik mengusik yang spontan malah yang penting tidak meleret panjang. FFM26 turut menyaksikan nama-nama terkenal sebagai penyampai anugerah seperti Datuk Yusof Haslam, Nora Danish, Dato Rosyam Nor, Fauziah Nawi, Rita Rudaini, Tony Yusoff, Nabila Huda, Siti Shahrizah (Eja), Mejar (K) David Teo, A. R. Badul,  Sofi Jikan dan Adman Salleh selaku Ketua Juri filem Cereka.














Tiada ulasan: