Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

PEDULI INSAN BERLEPAS KE LUBNAN DALAM MISI BANTUAN MUSIM SEJUK & KECEMASAN GEMPA SYRIA TURKIYE


PADA 6 Februari 2023 lalu, dunia digemparkan dengan tragedi amat menyayat hati apabila gempa bumi  besar  melanda bahagian tengah dan selatan Turkiye dan Utara Syria.


Setekat ini dilaporkan jumlah mangsa yang disahkan terkorban di kesemua 10 wilayah terjejas berjumlah lebih dari 31,000 nyawa manakala 158,165 orang mangsa telah dipindahkan keluar dari kawasan bencana.


Dalam usaha membantu meringankan penderitaan rakyatnya, Pertubuhan Peduli Insan Malaysia, salah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) telah berlepas menuju ke Lubnan pagi semalam. (15 Februari 2023).


Dua misi utama yang dibawa kali ini meliputi Bantuan Musim Sejuk 3 Negara serta Bantuan Kecemasan Gempa Syria Turkiye


Pasukan Peduli Insan akan berada di Lubnan bagi menyantuni dan mengedarkan bantuan kepada lebih 10,000 pelarian Syria yang menjadi pelarian di negara itu sebelum bertolak ke wilayah Gaziantep, Turkiye dan utara Syria bagi misi bantuan kecemasan gempa bumi.



Menurut Pengerusi Pertubuhan Peduli Insan Malaysia, Mohd Luqmanulhakim Mohd Redzuan, beliau memaklumkan perancangan ini sudah dilakukan lebih dari sebulan yang lalu. 


“Pasukan Peduli Insan akan pergi ke Lubnan dahulu untuk memberikan bantuan musim sejuk di mana alatan seperti alat pemanas, bahan bakar, set pakaian musim sejuk, kotak makanan serta makanan panas siap hidang akan diagihkan mengikut keadaan mereka dan keperluan mendesak ketika ini,”  katanya.


Manakala bagi Misi Bantuan Kecemasan Gempa Syria Turkiye, ia dilancarkan sejurus selepas mendengar khabar duka yang melanda Turkiye dan Syria yang mengakibatkan kemusnahan serta kerosakan hampir 30,000 bangunan. 


Menurut beliau juga, fokus utama bantuan kecemasan gempa ini diberikan kepada rakyat Syria sendiri serta pelarian Syria yang berada di Turkiye selepas melihat bantuan dunia lebih tertumpu kepada Turkiye


Bagi tujuan penyelarasan dan koordinasi bantuan yang diperlukan, Peduli Insan akan melihat rencana keperluan daripada Kementerian Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD)



“Kami juga akan bergerak ke Turkiye dan Syria di dalam usaha menyampaikan bantuan daripada para penyumbang untuk mangsa gempa yang kini angka kematian sudah mencecah 36,000 mangsa. Peduli Insan telah mengeluarkan dana kecemasan awal berjumlah RM250,000 untuk kegunaan segera dalam memberi bantuan kepada mangsa gempa di Syria dan Turkiye bermula hari pertama berlakunya bencana ini. 


"Setakat ini kami menerusi pasukan di pejabat Peduli Insan di Syria dan Turkiye telah mengedarkan bantuan dari segi sokongan peralatan mencari dan menyelamat, makanan panas siap hidang, selain daripada agihan bantuan musim sejuk berbentuk set pakaian musim sejuk, selimut tebal serta sokongan perubatan dan pemulihan trauma kepada kanak-kanak dan kini keseluruhan dana yang telah berjaya dimanfaatkan adalah melebihi RM600,000,” tambah Mohd Luqmanulhakim.


Peduli Insan turut memaklumkan hasil dana kecemasan itu telah berjaya disalurkan melalui lebih 10,000 makanan panas yang diusahakan sendiri melalui dapur Peduli Insan di Azaz, Syria


Selain daripada itu, 14,000 liter diesel bagi kegunaan alatan pemanas telah diberikan kepada masjid-masjid yang menempatkan mangsa gempa bumi, 11,950 set pakaian musim sejuk telah diagihkan, 2,000 selimut tebal telah diberikan dan pasukan Peduli Insan sedang berusaha mendapatkan lebih banyak bantuan. 



“Kami juga sedar tentang trauma yang dihadapi oleh kanak-kanak terutamanya apabila berlaku bencana seperti ini, dan pasukan kami telah memberikan sokongan pemulihan trauma kepada 865 kanak-kanak melalui permainan, gula-gula serta coklat dan juga program penceritaan buku kanak-kanak bagi memastikan mereka dapat berada di dalam keadaan tenang,” sambung Mohd Luqmanulhakim.


Pengarah Jabatan Projek Peduli Insan, Azfar Abdullah turut memaklumkan pasukan Peduli Insan juga memberi fokus bantuan terhadap kanak-kanak yang terkesan akibat bencana itu dan telah mengenalpasti serta memberi bantuan berbentuk lampin bayi, susu formula untuk bayi kepada lebih 200 keluarga yang mempunyai bayi serta anak kecil.



Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan bagi bantuan kecemasan gempa bumi Syria Turkiye boleh membuat sumbangan menerusi akaun rasmi Bank Islam Pertubuhan Peduli Insan Malaysia bernombor akaun 07043011062082 atau menerusi www.peduliinsan.org. 


Bagi mereka yang ingin mendapatkan penjelasan lanjut mengenai Kempen Bantuan Kecemasan Syria Turkiye boleh hubungi talian Peduli Insan melalui nombor 0133968840. 


Ayuh! Bersama-sama kita membantu!



#PeduliInsan #Turkiye #Syria #GempaBumi #MisiBantuanMusimSejuk #Sumbang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan