Produk

[PRODUK][bsummary]

Gaya Hidup

[GAYA HIDUP][bigposts]

Bisnes

[BISNES][twocolumns]

'THE KID FROM THE BIG APPLE' - FILEM HARUS TONTON 10 MAC INI


THE KID FROM THE BIG APPLE

TARIKH TAYANGAN :
10 Mar 2016

BAHASA :
Mandarin, Inggeris

GENRE :
Drama, Komedi

KLASIFIKASI : U

DURASI :
120 minit

PENGARAH :
Jess Teong

BARISAN PELAKON :

Tommy Tam (Hong Kong), Tan Qin Lin, Tan Jason, Jessica Hester Hsuan (Hong Kong), Ling Tang, Kelvin Leong, Lenna Lim


SINOPSIS:

Sarah, seorang gadis berusia 12 tahun dilahirkan dan dibesarkan di New York City. Memandangkan ibunya, Sophia terpaksa bertugas di China untuk beberapa bulan, Sarah terpaksa dihantar kepada atuknya di Malaysia untuk beberapa bulan, walau pun pada hakikatnya ibunya dan atuknya sudah bertahun-tahun berpisah akibat selisih faham..Bagi seorang anak muda generasi gen y seperti Sarah, yang dibesarkan dalam budaya The Big Apple (Amerika Syarikat)  sejak lahir, dia memberontak apabila perlu tinggal dengan atuknya itu  apatah lagi perlu duduk di sebuah pangsapuri yang sempit.Pun begitu, mahu tak mahu, Sarah terpaksa ditinggalkan dengan atuknya buat beberapa bulan. Sejak pertama kali menjejakkan kakinya ke rumah atuknya itulah bermulanya kisah Sarah mengharungi pelbagai perisitwa lucu, sedih, gembira bersama atuk dan kawan-kawannya di situ....

Apa yang terjadi pada akhir filem ini? Dapatkah Sarah menyesuaikan dirinya dengan perbezaan budaya Timur berbanding budaya Barat yang selama ini sudah sebati dalam jiwanya? Segalanya bakal di ketahui apabila anda ke pawagam bermula 10 Mac ini nanti bagi menemui jawapan tersebut.



Filem ini memenangi empat anugerah di Festival Filem Antarabangsa Macau  ke 7  melalui kategori Pelakon Lelaki Terbaik (Tommy Tam ), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Jessica Hester Hsuan ), Penulisan Skrip Terbaik (Jess Teong ), dan Pelakon Baharu Terbaik (Tan Qin Lin) .

Agak menakjubkan apabila ia berjaya menang besar sehingga menewaskan filem hebat seperti 'IP Man 3' lakonan Donnie Yen dalam kategori Pelakon LelakiTerbaik dan Penulisan Skrip Terbaik.

Berpeluang menyaksikan prebiu filem 'The Kid From The Big Apple' atas undangan dari Global Creative and Media Agency (GCMA), Kak Fas akui tidak rugi melapangkan masa di waktu pagi ke pawagam GSC Mid Valley semalam.


Sebenarnya, Kak Fas jarang sekali menonton filem-filem Cina kecuali jika benar-benar dapat pujian daripada teman-teman untuk menontonnya. Terakhir filem Cina yang mendapat pujian dari Kak Fas sudah tentu 'IP Man 3'.

Dan inilah pertama kalinya juga Kak Fas menonton filem arahan pengarah wanita Malaysia, Jess Teong yang juga produser untuk filem 'Paper Moon' (2013) yang memenangi anugerah FIlem Bukan Melayu Terbaik di Festival Filem Malaysia ke 26.

Terbaik, Terharu dan Tertawa!

Itulah 3 'ter...' yang dapat Kak Fas simpulkan setelah menonton filem Mandarin yang mamaparkan nilai-nilai kekeluargaan yang cukup murni untuk ditonton sekeluarga apatah lagi bagi mereka yang mempunyai anak kelahiran luar negara. kebetulan Kak Fas juga mempunyai seorang cucu kelahiran Amerika Syarikat dan kata-kata yang diluahkan oleh Sarah banyak mengingkatkan Kak Fas pada cucu, Iris.


Oops terkeluar dari landasan cerita pula.... ok sambung balik...

Dalam filem ini, Sarah, dipaparkan sebagai seorang anak kelahiran Amerika Syarikat yang telah dipengharuhi budaya Barat namun di dalam jiwanya masih tertanam jiwa seorang bangsa Cina. 

Pemberontakan Sarah dengan pertembungan dua budaya disulam dengan begitu lancar sekali melalui watak cucu dan atuk waima jurang  di antara generasa baru dan lama diwujudkan secara ;subtle' oleh pengarahnya pada  era digital ini.

Dapat dihayati, melalui filem ini, walau pun orang muda diajar untuk menghurmati orang tua namun tidak bermakna orang muda tidak boleh mengajar orang tua terutama perihal penggunaan alat kommunikasi seperti telefon bimbit dan aplikasi 'facebook,' 'twitter' dan instagram mahu pun 'chatting' sekali pun.




Bagi generasi muda, perkongsian cerita peribadi yang berlaku sekeliling sudah menjadi lumrah namun bagi orang dewasa seperti atuk Sarah, tidak semua hal peribadi boleh dikongsikan dalam sosial media. Pengarahnya, memperlihatkan jurang kefahaman mengenai teknologi komunikasi antara atuk dan cucunya begitu berkesan dan mudah difahami malah diselit dengan adegan lucu.

Sesungguhnya, banyak babak-babak dalam cerita ini yang menyentuh perasaan sehingga membuat Kak Fas turut mengalirkan air mata. Malu juga menangis tengok movie tetapi daripada kata bual dan aksi mencuit perasaan antara anak dan ayah, emak dan anak mahu pun atuk dan cucu, semuanya menjadi ramuan, acuan sebuah cerita yang mantap. Tidak hairanlah penulisan skrip terbaik dimenangi pengarahnya, Jess Teong.



Intipati filem ini berlaku dalam realiti hidup sekarang. Inilah sebuah filem yang memaparkan kehidupan sebenar manusia. Setiap watak yang dipaparkan memainkan peranannya menyampaikan mesej tertentu kepada penonton. Resipi kehidupan berkeluarga cukup asam garamnya. Lengkap!

Watak Bao, rakan Sarah, antara yang menghidupkan unsur humor pada filem ini. Gelagatnya yang bersahaja, riang, namun jauh disudut hatinya rasa sepi kerana sikap ibu bapa yang sebuk mampu menyentuh perasaan penonton. Pada babak ini, paparnya mesej antara kejujuran dan sifat rakus manusia yang menghukum tanpa usul periksa.




Dalam pada itu, menariknya filem ini, babak 'flashback' dengan penyuntingan yang licin tidak mencacatkan kelancaran cerita. Walau pun pendek tetapi mampu dirasai dan difahami penonton malah beberapa 'shot' yang tidak ditonjolkan dalam movie dipaparkan pada akhir kredit roll. Jadi ia melengkapi sebarang 'loop hole' jika ada yang menganggu konsentrasi penonton dengan soalan eh kenapa tiba-tiba tiada babak berkenaan contohnya apabila Sarah memberikan hadiah alat penggaru kepada aturnya dengan harapan atuknya itu tidak lagi menggaru belakang pada dinding. Shot tersebut hanya di paparkan pada ruang kredit roll filem.


Banyak lagi babak-babak yang boleh menjadi teladan dan pengajaran bukan sahaja bagi kanak-kanak malah orang dewasa jua. Adegan makan di kedai MacDonald memperlihatkan betapa kanak-kanak sekarang cukup suka dengan makanan ringannya walhal atuk pula nak 'MacDonald' pun payah maklumlah kaum CIna mempunyai kesukaran menyebut sesetengah huruf yang mempunyai abjad 'r', 'd' dan seumpamanya.

Barngkali apa yang mahu dinyatakan di zaman milenium in ialah ungkapan seperti  'aku lebih dahulu makan garam' sudah tidak relevan dengan keadaan dan situasi masa kini. Baik yang tua atau pun yang muda, masing-masing perlu hormat menghormati. namun budaya dan adat resam keluarga harus dipelihara bak kata pepatah Melayu, 'biar mati anak, jangan mati adat'. 

Tetapi masih boleh digunapakai ke pepatah tu? Siapa sanggup mati anak kan? haha.... tak apa lah janji semua faham maksudnya dan hanya mereka yang berpeluang menonton filem  'The Kid from The Big Apple' ini akan mendapat jawapannya,



Jadi.... jangan lupa tandakan 10 Mac ini dalam kalendar anda dan cepat ke pawagam berdekatan. Kak Fas sendiri pun rasanya mahu menonton lagi kerana subjeknya amat menyentuh jiwa.


Paling berkesan bagi Kak Fas terletak pada sepotong ayat yang berbunyi: 'Grandma and grandpa are like stars,not always seen but forever there' yang membawa maksud cukup mendalam apabila dikatakan  'nenek  dan atuk adalah  seperti bintang, yang jarang kelihatan tetapi sentiasa  ada buat  selamanya'. 

Begitulah seperti 'air yang dicincang takkan putus',.. merajuk sejauh mana sekali pun kasih sayang dari ayah dan ibu atau atuk dan nenek akan sentiasa kekal. Hanya masa dan kesabaran pengubat duka sama seperti ibu Sarah,Sophia  yang terpisah dari ayahnya sekian lama tetapi pada akhirnya kasih sayang bertaut semula apabila cucu (Sarah) jadi jambatan penyambung keluarga.

Filem ini khabarnya akan dibawa bertanding dalam beberapa lagi anugerah antarabangsa seperti Golden Horse Awards dan Berlin Filem Awards.  Semoga mendapat lagi anugerah.

Malaysia boleh kan? 




Bintang: *****